PADA asalnya, Fatimah Nasir, 24, dan keluarga datang ke Kuala Selangor, Selangor adalah untuk bertandang ke rumah saudara di sana.

Begitu pun, perjalanan yang mengambil masa hampir dua jam itu tidak berbaloi sekiranya datang dan pulang ke Kuala Lumpur begitu sahaja.

Petang itu, sebaik sahaja pulang dari rumah saudara mereka, Fatimah dan keluarganya mengambil keputusan untuk berkunjung ke salah sebuah destinasi menarik di Kuala Selangor iaitu Bukit Melawati.

Jelasnya, Bukit Malawati mempunyai banyak kisah tersurat dan sejarah mengenai Kesultanan Selangor yang banyak boleh dipelajari oleh golongan remaja.

“Saya rasa alang-alang datang ke Kuala Selangor, lebih baik kami menerokai tempat-tempat menarik di sini.

“Biarpun kerap datang ke Kuala Selangor, namun kami tidak pernah sampai di Bukit Malawati dan paling seronok apabila dapat bermain dengan lutong dan monyet,” jelasnya yang merupakan anak sulung daripada tujuh orang adik-beradik.

Luah Fatimah, ia merupakan pengalaman indah buatnya sekeluarga apabila berpeluang menaiki Bukit Melawati dan melawat tiga lokasi menarik iaitu Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor, rumah api serta Batu Hampar.

Fatimah berkata, lebih menarik apabila berpeluang menaiki pengangkutan trem mengelilingi Bukit Melawati bersama keluarga.

“Berbaloi dengan tiket RM5 menaiki kemudahan trem untuk ke puncak bukit. Trem semakin baik dan kemas bercat baharu, landskap dan jalan raya yang berturap kemas selain kemudahan tandas yang terurus membuat saya lebih selesa.

Artifak

“Itu antara momen yang sangat indah bagi saya. Lebih-lebih lagi dapat melihat panorama dan pemandangan Kuala Selangor dari atas bukit” ujarnya.

Bukit Malawati menyimpan pelbagai sejarah dengan 1,001 kisah seperti Makam Sultan, Batu Hampar dan pusara Panglima Hitam.

Di Bukit Malawati juga terdapat tapak istana lama yang kini dibangunkan dari segi promosi oleh pejabat Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dengan kerjasama beberapa agensi lain seperti Lembaga Muzium Negeri Selangor yang menempatkan pelbagai artifak kesultanan negeri daripada tiga Sultan yang pertama memerintah Selangor.

Menurut Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat, mungkin ramai tidak tahu Bukit Malawati dahulunya adalah pusat pentadbiran bagi kerajaan Kesultanan Selangor, sebelum ia berpindah di Jugra, Banting dan Bandar Diraja Klang sehingga sekarang.

Antara kesan tinggalan sejarah yang masih kukuh sehingga ke hari ini adalah kubu pertahanan yang dibina ketika Kota Melawati di serang Belanda pada tahun 1784.

Selain itu tarikan lain adalah Busut Malawati, Kota Malawati, Tangga Seratus, Meriam 3 Sederet, Meriam Penggawa.

“Sememangnya pencinta sejarah pasti menyukai Bukit Malawati. Antara lokasi lain yang boleh dikunjungi ialah Perigi Beracun yang terletak di hadapan muzium.

“Kononnya zaman dahulu, penderhaka akan ditempatkan di dalam perigi itu lalu air beracun diisi ke dalamnya sehingga paras dagu sebagai penyeksaan terhadapnya,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Monyet jinak

Dalam pada itu, Rahilah berkata, di puncak Bukit Melawati terdapat sebuah rumah api yang masih berfungsi dengan baik dan ratusan ekor monyet jinak sedia dihampiri untuk diberi makan.

“Antaranya jenis monyet adalah Silver Leafed dan Marcaques. Rata-rata pengunjung di sini tidak akan melepaskan peluang untuk merasai pengalaman dikerumuni monyet-monyet ini.

“Cuma awas kerana ada antara monyet-monyet itu yang nakal dan berani mengacah-acah manusia,” tegasnya.

Dekat kaki bukit pula, terdapat Taman Ikan Air Tawar yang menempatkan akuarium ikan air tawar daripada pelbagai spesies seperti ikan kaloi, temakang, sepat, puyu, kelisa.

Menyentuh soal harga, Rahilah menjelaskan, pada hari minggu dan cuti umum pengunjung yang datang perlu menggunakan perkhidmatan trem untuk ke puncak bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Ini kerana, pengunjung yang datang pada hari minggu dianggarkan seramai 3,000 orang. Jadi sebab itu kami menyediakan perkhidmatan ini.

“Harga untuk Bukit Malawati RM3 bagi dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak, manakala sewaan satu trem bagi kumpulan dikenakan RM100 satu perjalanan hari biasa,” tuturnya.

Walau bagaimanapun, pada hari biasa pengunjung boleh datang dan menaiki kenderaan sendiri hingga ke puncak.

Dalam pada itu, hasrat MDKS adalah untuk menjadikan Bukit Malawati sebagai Bandar Warisan dan Pelancongan Kuala Selangor pada tahun 2025.

Warna-warni

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Rohani Yaacob, 45, berpendapat, keindahan landskap dan kemudahan awam yang tersedia di puncak Bukit Malawati hari ini perlu dipuji.

Luahnya, berbeza 18 tahun lalu, kini lokasi tersebut lebih ceria dengan pelbagai kemudahan awam termasuk tandas awam, trem, tempat letak kereta dan tempat berehat yang semakin baik.

“Saya berharap keindahan bukit bersejarah ini dapat dikekalkan dan ditingkatkan pada masa depan.

“Penuh warna-warni, bangunan yang bercat dan terjaga rapi selain kemampuan pihak berkuasa memelihara bangunan kesan tinggalan sejarah yang ada di sini, satu komitmen yang wajar diberi pujian,” jelasnya.

Ujarnya, peninggalan bukit bersejarah itu harus diperkenalkan dengan lebih meluas ke seluruh dunia dan dipelihara agar ‘tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas’.