Kehadirannya bersama empat orang lagi rakannya adalah untuk menyertai acara larian Melawati Run 2019 yang akan bermula seawal pukul 7 pagi.

“Hari ini merupakan penyertaan kali pertama saya dalam acara larian seperti ini. Saya sangat teruja kerana menyaksikan ramai peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia turut hadir.

“Kedatangan saya ke sini pada hari ini sebenarnya disebabkan satu matlamat iaitu menurunkan berat badan melalui amalan gaya hidup sihat bersempena tahun 2019 yang baru sahaja memasuki beberapa hari,” katanya ketika ditemui Horizon baru-baru ini.

Kata Muhammad Mudrikah, 27, sebelum ini sudah banyak kali dia membaca iklan larian seperti itu tetapi tidak pernah merancang untuk menyertainya memandangkan dirinya bukanlah seorang yang gemar bersukan.

“Tambahan pula saya sering menyangkakan bahawa acara larian seperti ini disertai oleh mereka yang berpengalaman sahaja.

“Bagaimanapun, ternyata tanggapan saya itu salah kerana boleh dikatakan pelbagai orang menyertainya termasuklah ada yang datang seisi keluarga,” ujarnya.

Menurut anak kelahiran Kelantan itu, keputusannya untuk menyertai larian tersebut turut dipengaruhi oleh kerjayanya sebagai seorang perunding insurans.

Jelasnya, pekerjaan tersebut membuatkannya sering berjumpa dengan ramai orang tanpa mengira usia, malah ada di antaranya mempunyai penyakit berbahaya pada usia masih muda.

Bukan sekadar suka-suka

“Hal ini membuatkan saya sering terfikir bahawa perubahan perlu dilakukan demi kebahagiaan pada masa hadapan. Tambahan pula orang dulu-dulu sering berkata adalah lebih baik mencegah daripada mengubati.

“Jadi, perubahan yang dilakukan saya pada hari ini juga dirasakan bertepatan dengan ketibaan tahun baru. Bagi saya, ia merupakan pengalaman baharu dan ternyata sangat memuaskan,” ujarnya.

Program Melawati Run 2019 boleh dikatakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Taman Melawati (KRTM) sejak tahun 2008 lagi.

Program yang berlangsung seawal pukul 7 pagi itu telah disertai kira-kira 2,100 orang peserta termasuk dari 18 buah negara luar yang mengambil bahagian dalam empat kategori iaitu 15 kilometer (km) terbuka, 15km veteran, 7km individu dan 7km keluarga.

Pengerusi KRTM, Zulkifli Mohamed berkata, penganjuran acara larian bersempena awal tahun 2019 itu adalah sebagai simbolik kepada permulaan amalan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian.

Menurut Zulkifli, larian yang terbuka kepada sesiapa sahaja itu bukanlah sekadar aktiviti suka-suka tetapi sebaliknya bermanfaat dan banyak perkara yang boleh dipelajari menerusi aktiviti seumpama itu.

“Larian merupakan salah satu sukan yang sangat baik untuk kesihatan. Selain menyeronokkan, sukan ini berupaya membina kecergasan seseorang terutamanya ketika menempuh tahap kesukaran yang berbeza sepanjang berlari seperti di kawasan berbukit.

“Selain berlari, para peserta juga berkesempatan menikmati angin pagi yang menyegarkan,” ujarnya.

Mengulas mengenai kelainan yang ditawarkan bagi acara yang memasuki edisi ke-12 itu, Zulkifli berkata, kelainan edisi kali ini ialah pembukaan larian kategori keluarga dengan tawaran hadiah bermula daripada tempat pertama hingga ke-10.

“Kategori keluarga terdiri daripada dua orang dewasa dan dua kanak-kanak. Sebelum ini memang sudah ada yang menyertai larian secara berkeluarga tetapi tidak ada hadiah khusus disediakan.

Acara tahunan

“Tujuan kami mengadakan kategori itu adalah untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan di samping menceriakan lagi acara yang berlangsung,” katanya.

Mengimbas kembali penganjuran acara larian itu pada peringkat awal dahulu, Zulkifli memberitahu, acara itu pada asalnya berbentuk program komuniti sahaja.

“Bagaimanapun, penyertaan yang diterima semakin lama semakin menggalakkan sehinggakan kami memutuskan untuk mengadakannya sebagai acara tahunan bagi KRTM.

“Kami mempunyai perancangan untuk membawa acara ini ke peringkat yang lebih besar seperti antarabangsa dan mendapatkan kerjasama daripada pihak kerajaan seperti Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta daripada kategori keluarga, Mohd. Suhaimi Uzir, 31, berkata, walaupun menetap di Seremban, hal itu tidak menjadi penghalang kepada dia dan keluarga untuk turut menyertai.

Jelasnya, hal itu kerana terdapat kelainan pada acara Melawati Run 2019 yang menyajikan hadiah buat peserta yang menyertai secara berkeluarga.

“Sebelum ini saya memang sudah sering menyertai acara larian dan setiap kali itu jugalah saya akan membawa dua orang anak yang masih kecil dengan menaiki kerusi bayi,” katanya yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.