Perjalanan dari rumahnya ke taman itu kira-kira 15 minit.

Ia menjadi kebiasaan bagi How Yang, jika ada waktu terluang dia bersama-sama beberapa rakan yang lain akan pergi ke taman itu untuk beriadah.

“Bagi saya taman ini merupakan tempat riadah yang begitu sempurna kerana terdapat pelbagai kemudahan.

“Di sini pelbagai aktiviti riadah boleh dilakukan sama ada berjoging, berbasikal, senam aerobik dan juga bermain layang-layang,” jelas pelajar Universiti Kolej Tuanku Abdul Rahman itu.

Tambahnya, dia selalu datang ke taman itu pada sebelah petang untuk berjoging.

Memiliki landskap yang indah dan memukau hati pengunjung Taman Metropolitan Kepong sentiasa menjadi pilihan warga kota untuk beriadah.

Di taman tersebut pengunjung boleh bersiar-siar menikmati keindahan kawasan rumput yang menghijau serta tasik yang jernih airnya.

Bagi How Yang sendiri, selain berjoging kunjungannya juga adalah untuk bersenam di gimnasium terbuka di taman itu.

“Kemudahan yang ada di gimnasium ini amat sesuai untuk pengunjung bersenam,” jelasnya.

Gimnasium terbuka itu yang dilancarkan pada 30 Jun lalu merupakan salah satu usaha untuk menggalakkan cara hidup sihat dalam kalangan rakyat negara ini.

Ia dikenali sebagai Laman Cergas AIA Vitality yang diwujudkan oleh AIA Bhd. (AIA) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Laman cergas itu direka khas di taman tersebut dengan matlamat untuk menggalakkan rakyat Malaysia lebih cergas dengan bersenam.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan juga menyatakan bahawa dalam tempoh 30 tahun lepas, kadar kegiatan fizikal dalam kalangan rakyat Malaysia telah berkurang dan bilangan pesakit diabetes jenis dua meningkat empat kali ganda dan kadar kegemukan juga melonjak sebanyak 280 peratus.

Gaya hidup sihat

Ketua Pegawai Eksekutif AIA, Anusha Thavarajah berkata, dalam tempoh sedekad pihaknya melihat peningkatan kadar diabetes dan kegemukan yang membimbangkan di negara ini.

Jelasnya, atas sebab itu ia mendorong pihaknya untuk menggalakkan semua rakyat Malaysia menjalankan gaya hidup yang lebih sihat.

“Matlamat utama kami dengan pelancaran Laman Cergas AIA Vitality ini adalah untuk bersama-sama menggalakkan rakyat mengamalkan kehidupan sihat menerusi aktiviti fizikal bermula dengan komuniti di Taman Metropolitan Kepong ini.

“Dalam jangka masa panjang, kami berharap lebih ramai rakyat negara ini mula menggerakkan otot badan dan menjadi lebih sihat,” katanya.

Tambahnya, untuk masa hadapan AIA komited untuk menambah laman cergas itu di taman-taman yang sering menjadi tumpuan masyarakat beriadah.

Berdasarkan Indeks Kehidupan Sihat AIA 2018, tahap kepuasan rakyat Malaysia terhadap kesihatan telah meningkat daripada 79 peratus pada tahun 2016 kepada 82 peratus tahun ini.

Percuma

Peningkatan itu memberi penanda bahawa rakyat Malaysia mahu melakukan sesuatu yang bermanfaat dan semakin menitikberatkan soal kesihatan. Mereka juga didapati menghabiskan masa sekurang-kurangnya 3.5 jam seminggu untuk bersenam pada tahun ini berbanding tahun lalu hanya 2.6 jam.

Anusha menjelaskan, Laman Cergas AIA Vitality dibina berlandaskan niat untuk memudahkan rakyat negara ini untuk bersenam.

“Kami menawarkan penyelesaian untuk menangani kekangan seperti masa dan menyediakan kemudahan ini. Pengunjung boleh terus menggunakan alatan senaman di gimnasium luar ini secara percuma.

“AIA telah berganding bahu dengan Fitness First untuk memilih mesin senaman yang sesuai dalam menggerakkan seluruh badan bagi semua peringkat kecergasan dan lapisan masyarakat,” jelasnya.

Terdapat lapan alat senaman seperti monkey bar, tekan tubi, langkah kaki dan senaman dada di laman cergas tersebut dan setiap satunya dilengkapi kod QR.

Melalui kod tersebut, pengguna akan dihubungkan dengan video yang menayangkan cara untuk menggunakan alatan senaman itu dengan betul.

Anusha menjelaskan, dengan adanya laman cergas itu, ia akan memberi ruang tambahan kepada pengunjungnya untuk bersenam.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Syed Fernarsh Syed Badlishah, 30, berkata, Laman Cergas AIA Vitality itu memudahkan pengunjung untuk melakukan aktiviti senaman jalanan.

Bentuk badan

Dia yang merupakan pengamal senaman tersebut menjelaskan, kemudahan yang disediakan itu sudah mencukupi untuk melakukan senaman ringan tanpa perlu ke gimnasium lagi.

“Dengan alatan yang disediakan di sini, pengunjung boleh bersenam dan dalam masa sama boleh membentuk badan agar kelihatan lebih menarik.

“Selain itu, ia juga dapat menjimatkan kos kerana kemudahan ini boleh digunakan secara percuma oleh semua orang,” ujarnya.

Tambahnya, dia berharap dengan tersedianya kemudahan itu pengunjung Taman Metropolitan Kepong boleh menggunakan setiap alatan senaman itu dengan sebaik-baiknya.

Tegasnya, kemudahan tersebut perlu digunakan dengan berhemah dan elak daripada melakukan perkara yang boleh merosakkannya.

Dalam usaha menggalakkan cara hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia, AIA Bhd. mengambil inisiatif mewujudkan Laman Cergas AIA Vitality di Taman Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur