SFV atau sebelum ini dikenali sebagai Selangor Tropical Fruits Garden merupakan sebuah ladang buah-buahan tropika, kebun sayuran dan haiwan. 

“Menghirup udara segar pada waktu pagi dengan pemandangan buah-buahan yang menghijau ini sememangnya cukup mempesona.

“Selain itu, kicauan burung yang merdu disulami angin sepoi-sepoi bahasa yang membawa haruman buah-buahan masak ranum menambahkan lagi keterujaan saya untuk melawat ladang ini,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! di Bestari Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah gadis yang berasal dari Puchong itu, dia turut berpeluang menikmati kesegaran air kelapa pandan bersama buah-buahan tempatan di sebuah rumah tradisional di ladang berkenaan.

“Pada mulanya saya ingat tempat ini kecil tetapi selepas habis mengikuti kesemua lawatan di ladang ini ternyata ia sangat luas dan banyak tanaman sayuran dan buah-buahan. 

“Antara pokok buah-buahan yang ada termasuk belimbing, jambu batu, rambutan, pulasan, betik, nangka, mangga, durian dan pisang,” ujar pekerja swasta sebuah syarikat di ibu kota itu. 

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Munira Izzati Mangsor, 25, memberitahu, dia merasakan sendiri keunikan yang ditawarkan di SFV. 

“Saya dibawa melihat tanaman herba yang mempunyai khasiat tersendiri. Menariknya, di taman herba ini juga terdapat ditanam pokok mentega, herba dan rempah ratus yang ditanam di dalam landskap yang indah dengan gabungan pelbagai spesies.

“Kemudian, saya dibawa menaiki trem untuk meneroka sekitar ladang yang menawarkan pelbagai keunikan dan boleh mengetahui jenis tanaman yang ada di kiri dan kanan dengan penerangan daripada jurupandu,” jelasnya yang juga bekerja di sebuah syarikat agensi pelancongan di Lembah Klang.

Menurut Pengurus Agro Pelancongan SFV, Md. Saad Mahsah, berkeluasan 946 hektar, SFV dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada Julai 2014.

Katanya, selepas melalui penambahbaikan dan peningkatan kemudahan, pada Julai 2017 SFV secara rasminya berwajah baharu dengan konsep pelancongan dan pendidikan berasaskan pertanian.

Terdapat beberapa perhentian yang akan dilalui oleh para pengunjung dengan trem. Di perhentian pertama, pengunjung akan berhenti di taman rusa yang dihuni oleh kawanan rusa daripada spesies rusa demoransis. 

“Dalam perjalanan menaiki trem pengunjung akan melalui kawasan tanaman rambutan, limau kasturi dan beberapa pokok yang sedang berbuah dan menunggu untuk masak.

“Sampai di atas sebuah bukit, terdapat taman arnab dan anjung tinjau yang menjadi perhentian kedua. Pengunjung boleh melihat sekitar SFV melalui anjung tinjau, bermain dengan arnab yang comel serta jinak bersama dua ekor landak kecil. 

“Di sebelah kanan taman arnab ini pula terletak taman permainan kanak-kanak yang memberi peluang kepada si kecil bersuka ria,” katanya.

Tambah Md. Saad, selepas berhenti seketika di taman arnab, penerokaan ladang diteruskan menuju ke lokasi persinggahan seterusnya. Namun sebelum itu, pengunjung dibawa melalui kawasan kebun sayur yang diusahakan oleh pekebun menerusi Program Usahawan Tani.

“Antara sayur yang ditanam termasuklah bendi, sawi, tembikai, tin, terung, kangkung dan keledek. Paling mencuri tumpuan adalah pokok pisang yang ditanam secara tersusun.

“Memasuki kawasan yang sedikit berhabuk dan laluan berbatu, pengunjung akan melalui kebun madu kelulut. Pengunjung berpeluang menghirup sendiri keenakan madu kelulut dari sarang tersebut,” ujarnya.

Sampai ke perhentian ketiga, tambah Md. Saad, terdapat sebuah rumah tradisional yang diperbuat daripada kayu cukup mendamaikan dikelilingi pokok jambu dan pokok kelapa pandan.

Pengunjung juga berpeluang menikmati keenakan air kelapa pandan yang cukup menyegarkan bersama buah belimbing, nangka madu dan jambu.

Bilik Seminar

Antara kemudahan infrastruktur lain di SFV ialah pavilion dan bilik seminar berkapasiti 60 orang untuk kursus atau seminar.

Pavilion tersebut merupakan sebuah ruang tinjau setinggi tiga tingkat. Tingkat paling atas merupakan ruang tinjau utama kepada pengunjung yang dapat melihat hampir keseluruhan kawasan penanaman SFV.

Ia juga dilengkapi dengan sebuah dewan seminar yang mampu memuatkan 30 orang pada satu-satu masa, manakala di tingkat bawah terdapat sebuah surau dan dua bilik rehat selain sebuah Makmal Bioteknologi.


“Gabungan pelancongan agro, ekopelancongan dan edutourism ini juga menjadikan SFV percutian lengkap yang sesuai untuk seisi keluarga, sekali gus menjadikannya ia destinasi unik.

“Menariknya lagi, kami turut menerima anugerah Pengalaman Terbaik Pelancongan Agro Kategori Emas 2017 daripada Majlis Pelancongan Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya.