Dia yang ditemani rakannya, Mohd. Salleh Abd. Majid hendak menyertai acara larian lasak dalam hutan yang mencabar iaitu King of Kampung Kemensah 2018 (KOKK2018).

Program itu adalah anjuran PACat Adventure Team (PACAT) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kemensah.

Nor Azmi menyertai larian itu bagi mencabar keupayaan dirinya berlari di dalam hutan yang penuh halangan.

“Sebelum ini, saya sering menyertai acara larian maraton. Ini merupakan kali pertama saya menyertai acara larian dalam hutan.

“Bagi saya ia merupakan pengalaman baharu. Ternyata acara seperti ini memerlukan stamina yang tinggi, fokus dan berhati-hati ketika berlari,” jelasnya.

Program KOKK2018 yang berlangsung seawal pukul 6.30 pagi itu disertai lebih 700 peserta termasuk dari 12 buah negara luar yang mengambil bahagian dalam lima kategori iaitu 50km, 30km, 18km, 10km dan 5km.

Larian bermula dan berakhir di dewan orang ramai Kampung Kemensah. Peserta dikehendaki berlari sejauh 1.4 kilometer melalui jalan biasa terlebih dahulu sebelum memasuki hutan Kampung Kemensah.

Nor Azmi yang mengambil bahagian dalam acara larian 30km menjelaskan, walaupun cuaca di dalam hutan sejuk, ia tidak semudah yang disangkakan kerana memerlukan kekuatan dari segi fizikal dan mental.

Cedera

“Laluan yang cukup mencabar terpaksa diharungi seperti bukit, lumpur, semak samun dan paling sukar ialah meredah enam anak sungai.

“Malah ada peserta yang cedera, kejang kaki ketika mengharungi laluan denai dan terpaksa dibawa keluar oleh pihak medik,” jelas bapa kepada tiga orang anak itu.

Dalam pada itu, Nor Azmi berkata, walaupun tumpuannya lebih terarah kepada larian maraton, namun dia lebih puas menyertai pertandingan larian dalam hutan itu kerana dapat menghayati keindahan alam semula jadi.

Tambahnya, sebagai persediaan untuk menyertai acara tersebut dia juga membuat latihan sebulan awal dengan menyertai beberapa larian maraton.

Sementara itu, Pengarah Larian KOKK2018, Arman Salleh Arshad berkata, larian KOKK sememangnya agak mencabar kerana peserta dikehendaki menempuh laluan hutan dan ia dianggap ‘menu’ wajib.

Ia bertujuan adalah untuk mencabar ketahanan fizikal dan mental peserta.

“Laluan dalam hutan Kemensah ini dipanggil ‘Lagend’ kerana ketika zaman pemerintahan British ia merupakan jalan askar-askar berulang-alik antara dua negeri iaitu Selangor dan Pahang.

“KOKK bermula 2014 dan telah memasuki siri keempat pada tahun ini. Alhamdulillah sambutan peserta memberangsangkan terutamanya golongan muda,” jelasnya.

Menurut Arman, larian tersebut bukanlah sekadar aktiviti suka-suka. Ia bermanfaat dan banyak perkara yang boleh dipelajari menerusi aktiviti seumpama itu.

“Ia merupakan salah satu sukan yang sangat baik untuk kesihatan. Selain menyeronokkan, ia juga berupaya membina kecergasan seseorang terutamanya ketika menempuh tahap kesukaran yang berbeza sepanjang berlari.

“Para peserta juga berkesempatan menghayati keindahan alam semula jadi. Ia merupakan salah satu tujuan kami memilih Kemensah kerana memberi peluang kepada peserta untuk berlari menikmati hutan rekreasi ini,” jelasnya.

Keselamatan

Bercakap tentang keselamatan, pasti ramai yang berasa ragu untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti itu. Tambahan pula, laluan yang dipilih adalah mencabar dan memerlukan peserta untuk lebih berhati-hati.

“Peserta tidak perlu risau tentang keselamatan kerana kami mempunyai skuad khas bersedia membantu dan merawat peserta sekiranya berlaku kecederaan dan kejadian yang tidak diingini,” tuturnya.

Amran menambah, larian KOKK itu adalah salah satu acara larian daripada King Series iaitu satu program besar yang dianjurkan oleh pihaknya yang merangkumi King of Sungai Lembing, King of Kampung Kemensah dan King of Bukit Larut.

Tambah Amran, peserta boleh memilih untuk menyertai salah satu daripada tiga acara itu ataupun ingin mencuba kesemuanya.

“Kelebihannya, peserta akan mendapat mata ganjaran bagi melayakkan mereka menyertai larian ultra sedunia yang akan dibuat di Perancis,” ujarnya.

Dalam pada itu, bagi seorang peserta luar negara, Sarah Shalley menjelaskan, dia mengetahui program itu daripada rakan-rakan yang berkongsi mengenainya di Facebook.

Jelasnya, program larian di dalam hutan menjadi kegemarannya kerana halangannya sangat mencabar dan memberi kepuasan kepadanya.

“Saya selalu menyertai program larian jalan biasa dan denai, tetapi program ini amat seronok kerana dikatakan laluan bersejarah askar-askar terdahulu.

“Lagipun, program ini diadakan di kampung. Saya sangat suka suasana kampung dan tidak menyangka di sebalik bandar raya terdapat kampung kecil di hujungnya,” katanya.

Gembira

Shalley mengambil bahagian dalam acara 30km terbuka wanita dan berjaya memperoleh tempat pertama.

Katanya, kemenangan bukan tujuan utama baginya untuk menyertai larian itu, namun ia lebih kepada ingin bergembira bersama rakan-rakannya.

“Saya datang ke sini bersama tiga orang kawan. Salah seorang memang datang untuk melancong.

“Jadi saya ajak dia sertai sekali dan tidak sangka dia boleh menang,” jelasnya.

Tambahnya, laluan paling sukar ialah menaiki bukit yang berseluk dan meredah sungai yang banyak batu dan ranting kayu.

Aktiviti larian lasak dalam hutan mampu mengekalkan kesihatan dan meningkatkan kecergasan para peserta.