Altai adalah kawasan puncak beriklim sejuk yang terletak bersempadanan antara Mongolia, Kazakhstan, China dan Rusia. Tidak banyak jalan yang dibina untuk sampai ke lokasi itu.

Persempadanan itu seakan-akan membentuk satu dinding tebal dan tidak ramai pelancong yang berkunjung ke wilayah tersebut.

Ketika berada di lokasi itu, saya berkesempatan berdiri di atas puncak berketinggian 3,000 meter dari aras laut yang terletak di bahagian Bayan Olgii bersama Bikbolat.

Bikbolat merupakan seorang lelaki daripada etnik Kazakhstan yang kelihatan seperti bangsawan.

Dengan menyarung jubah panjang yang diperbuat daripada bulu biri-biri serta mengenakan topi berbulu di kepalanya, seekor burung helang bertenggek di lengan lelaki itu sambil memandang tajam ke langit untuk mencari sesuatu yang akan diburu.

Bikbolat merupakan salah seorang daripada 250 pemburu yang menggunakan burung helang yang tinggal di kawasan itu.

Dia meneruskan seni berkutchi sama seperti yang diamalkan oleh nenek moyangnya di kawasan Asia Tengah.

Berkutchi merupakan tradisi bangsa Mongolia yang menggunakan burung helang untuk berburu di tanah lapang yang luas.

Tradisi itu telah diamalkan daripada generasi ke generasi dan ia wujud sejak 6,000 tahun lalu.

Etnik Kazakhstan membentuk majoriti penduduk di Bayan Olgii selepas melarikan diri daripada tentera kerajaan Rusia pada pertengahan tahun 1800-an.

Dilatih

Para pemburu itu melestarikan cara hidup mereka yang sangat jauh daripada dunia moden.

Mereka dapat bertahan dalam musim sejuk yang melampau dan hidup dalam khemah yang mudah untuk dipindahkan selain melatih burung helang untuk berburu dengan menggunakan kuda.

Burung helang merupakan haiwan yang sangat bebas dan ia perlu dilatih sejak kecil untuk mewujudkan kepercayaan bersama pelatihnya.

Bikbolat menjelaskan bahawa melatih anak burung helang adalah lebih mudah kerana haiwan itu sangat jinak dan tidak agresif.

Namun, burung helang dewasa sebenarnya merupakan pemburu yang lebih baik kerana ia mempunyai naluri pembunuh yang diperlukan untuk menewaskan serigala dan rubah.

Dia memberitahu saya, burung helang betina adalah pemburu yang terbaik, bukan hanya kerana haiwan itu lebih agresif tetapi tiga kali lebih berat daripada burung helang jantan.

Setelah dilatih dalam tempoh beberapa tahun, burung helang akan bertenggek di lengan kiri pemiliknya yang akan pergi memburu sambil menunggang kuda.

Keserasian hubungan antara burung helang dengan pemburu sangat kuat.

Burung helang akan memberi sedikit cakaran di lengan pemburu untuk memberi isyarat bahawa burung itu dapat menghidu bau binatang yang diburu.

Beberapa pemburu Kazakhstan memiliki senapang kuno dari Rusia yang mereka gunakan untuk memburu arnab.

Namun, kebanyakan perburuan diserahkan kepada burung helang kerana daya penglihatan burung itu lapan kali ganda lebih baik daripada mereka.

Kebanyakan haiwan yang menjadi mangsa pemburuan burung helang adalah rubah kerana bulu-bulunya boleh digunakan untuk memanaskan badan pada musim sejuk.

Festival

Selain itu, burung helang tersebut juga memburu burung hantu, serigala dan harimau bintang.

Kebanyakan aktiviti pemburuan dilakukan pada musim sejuk kerana burung helang berasa sangat lapar.

Pada setiap bulan September, satu festival pemburuan burung helang yang digelar Olgii diadakan di ibu kota wilayah tersebut.

Festival itu menarik banyak penyertaan pemburu yang bersaing untuk mendapatkan hadiah wang tunai.

Selain mempamerkan kemahiran mereka, pemuda-pemuda tersebut turut memain alat permainan tradisional Kazakhstan iaitu kokbar.

Kokbar adalah satu permainan tarik tali yang menggunakan bulu kambing atau rubah.

Pemain akan berada di atas kuda dan akan cuba mengutip duit syiling tanpa turun daripada kuda.

Semasa pesta Olgii, golongan wanita akan menunjukkan kebolehan mereka menunggang kuda.

Namun kini, tradisi yang diamalkan sejak sekian lama itu mungkin akan hilang sedikit masa lagi.

Penerokaan secara meluas terhadap tanah-tanah di Mongolia sejak beberapa tahun lalu akan menyebabkan hidupan liar yang diburu burung helang itu berkurang.

Ketibaan pelancong yang ramai juga memberi tekanan terhadap pemeliharaan hidupan liar di lokasi itu.

Selain itu, kini banyak keluarga daripada etnik tersebut telah menghantar anak-anak mereka ke bandar untuk mencari pekerjaan.

Bikbolat memberitahu, memburu kini menjadi kurang penting untuk kelangsungan hidup.