Menyedari hakikat itu, dia mengambil keputusan untuk pergi bercuti ke kawasan yang sunyi dan jauh daripada hiruk-pikuk ibu kota.

Tempat yang menjadi pilihan lelaki berasal dari Klang, Selangor itu adalah The Hid3out, Sungai Tua, Batu Caves, Selangor.

Terletak kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur, The Hid3out menawarkan percutian dalam khemah serba lengkap atau lebih dikenali sebagai ‘glamping’, suatu istilah gabungan antara glamour dan camping.

“Ini kali pertama saya datang ke sini. Saya sangat teruja dapat merasai pengalaman tidur di dalam khemah bersama isteri dan dua orang anak saya.

“Tempat ini dapat memberi ketenangan kepada minda dan fizikal. Ditambah dengan bunyi air sungai yang menjadi terapi terbaik,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.

Mula dibuka secara rasmi pada tahun lalu, The Hid3out sentiasa menjadi pilihan mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan aktiviti luar.

Menurut Mohammed Syukri, The Hid3out juga membolehkannya melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga sekali gus mengeratkan lagi silaturahim yang sedia terjalin.

Jelasnya, antara aktiviti yang sempat dilakukannya adalah berkelah, bersantai di atas buaian dan melakukan acara unggun api.

“Saya rasa sangat berbaloi bercuti di sini kerana terletak berhadapan dengan sungai. Jadi, senang untuk anak-anak saya mandi-manda,” jelasnya.

Kelengkapan

Tambahnya, dia sangat berpuas hati dengan kemudahan dan makanan yang ditawarkan oleh The Hid3out sepanjang dua hari satu malam berada di sana.

The Hid3out didirikan di atas tanah milik persendirian seluas 1.5 hektar di tepi Sungai Tua.

Sungai Tua merupakan kawasan tumpuan pengunjung di sekitar Lembah Klang untuk bermandi-manda dan berkelah dengan keluarga pada hujung minggu.

Pemilik The Hid3out, Danial Marizd berkata, pihaknya memilih konsep glamping bagi memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman berkhemah.

“Kami sedar ramai yang suka aktiviti berkhemah, namun mereka tidak ada bajet untuk beli semua kelengkapan seperti khemah, beg tidur dan peralatan masak.

“Jadi, mereka boleh datang ke sini dengan hanya membawa pakaian dan kelengkapan mandi sahaja,” ujarnya yang berhabis sebanyak RM100,000 bagi membina The Hid3out.

Buat masa ini, The Hid3out dilengkapi empat buah khemah berjenama Coleman. Setiap khemah mampu memuatkan seramai empat orang pada satu-satu masa.

Menurut Danial, aktiviti perkhemahan yang ditawarkan di The Hid3out adalah berbeza sama sekali berbanding di tempat lain

Jelasnya, The Hid3out menyediakan kelengkapan dan kemudahan lengkap seperti tempat tidur, tandas, peralatan masak dan tuala mandi.

“Di sini, pengunjung berpeluang merasai pengalaman tidur dengan selesa sambil dikelilingi alam semula jadi. Setiap khemah di lengkapi satu tilam bersaiz queen, satu tilam bujang, lampu dan kipas.

“Kami juga menyediakan kelengkapan seperti dapur masak, peralatan barbeku, kerusi serta meja makan,” katanya.

Tambah Danial, The Hid3out menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung iaitu barbeku, mandi-manda, berkelah, menyediakan sarapan pagi dan unggun api.

Dia menambah, pihaknya hanya menyediakan kelengkapan dan bahan-bahan barbeku dan sarapan pagi kepada pengunjung.

“Kami sengaja tidak menyediakan makanan kepada pengunjung. Tetapi kami sedia bahan-bahan dan peralatan untuk mereka masak bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Langkah ini bertujuan membantu mengeratkan lagi silaturahim antara ahli keluarga dan rakan-rakan apabila dilakukan secara bergotong-royong,” terangnya.

Salah seorang pengunjung, Illi Hafizah Hisham, 29, berpendapat, The Hid3out menyediakan kemudahan yang sangat selesa dan ia sesuai untuk kanak-kanak.

Wanita berasal dari Ayer Molek, Melaka itu menambah, tapak perkhemahan yang terletak bersebelahan jalan utama membantu memudahkannya datang dan balik.

“Selalu tempat perkhemahan dalam hutan. Pengunjung perlu jalan jauh untuk sampai ke sana. Tetapi di The Hid3Out, ia terletak di tepi jalan,” katanya.

Jelas Illi Hafizah, The Hid3out merupakan lokasi ideal untuk pencinta alam semula jadi memandangkan ia dikelilingi pohon rendang menghijau.