Kenangan itu dikutip semasa dia bersama 11 orang rakannya mengikuti ekspedisi ke Gunung Chamah dan Gunung Ulu Sepat (CUS) di sempadan negeri Perak serta Kelantan baru-baru ini.

Anak kelahiran Jengka, Pahang itu berkata, dia bersyukur kerana tidak terserempak dengan kedua-dua haiwan liar tersebut.

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku sekiranya kedua-dua haiwan liar itu tiba-tiba muncul di hadapan kami.

“Saya dan kawan-kawan berasa sangat takut tetapi ia satu pengalaman yang menarik untuk dikenang sepanjang hayat,” kata anak ke-11 daripada 12 adik-beradik itu.

Pekerja swasta di Kuantan, Pahang itu menambah, dia belajar banyak perkara baharu sepanjang tujuh hari dan enam malam berada dalam hutan hujan tropika di Banjaran Titiwangsa tersebut.

Bukan mudah untuk menghadapi tekanan mental dan fizikal, namun segala-galanya berjaya diharungi berbekalkan semangat yang tinggi dan tidak mengenal erti berputus asa.

“Perjalanan ulang-alik selama 13 jam dari tapak perkhemahan ke puncak Gunung Chamah adalah antara pengalaman yang menarik untuk dikenang.

Gunung G7

“Laluannya penuh dengan pendakian, menuruni bukit dan lereng-lereng yang curam, merentas anak sungai, memanjat kayu balak yang tumbang serta hutan berlumut yang berselut.

“Semangat yang diberikan kawan-kawan banyak membantu saya menamatkan ekspedisi ini,” kata Norhafizah.

Gunung Chamah yang mempunyai ketinggian 2,171 meter (m) dan Gunung Ulu Sepat (2,161m) dari aras laut berada dalam kelompok tujuh gunung tertinggi di Semenanjung yang turut dikenali sebagai G7.

Bagaimanapun, ekspedisi anjuran Red Ants Hikers dengan kerjasama Agile Adventure itu cukup mencabar kerana pendaki menyelusuri semula trek legenda atau klasik yang menjadi laluan pendaki-pendaki terdahulu.

Presiden Red Ants Hikers, Mohd. Zaid Yaakub, 32, berkata, dia sudah lama merancang untuk menyelusuri laluan legenda ke Gunung Chamah dan Gunung Ulu Sepat.

“Trek ini sudah lama tidak dilalui kerana pendaki kini gemar menggunakan laluan baharu yang lebih mudah dan pendek tempoh perjalanannya.

“Situasi itu menyebabkan trek ini semakin hilang jejak dan kami terpaksa mencantas pokok untuk membuka laluan baharu sambil dibantu seorang jurupandu arah berpengalaman.

“Apa yang lebih penting ialah kami dapat merasai kesusahan yang dialami oleh pendaki-pendaki terdahulu.

“Berdasarkan cerita-cerita yang diperoleh, suatu ketika dahulu laluan ini menjadi habitat haiwan liar seperti gajah, harimau, beruang dan babi hutan.

“Selain terserempak dengan haiwan liar ini, ada pendaki disengat tebuan,” katanya.

Mohd. Zaid memberitahu, selaku penganjur, dia membuat perancangan yang rapi terutamanya daripada aspek bekalan makanan dan tempat tidur pendaki.

Bagaimanapun, keselamatan pendaki sentiasa diberi keutamaan sepanjang ekspedisi itu.

“Saya tidak ada pengalaman menganjurkan trip yang panjang seperti ini. Bekalan makanan yang kami bawa cukup-cukup sahaja.

Talian telefon

“Namun, ia memberikan satu pengalaman yang berguna untuk saya menganjurkan ekspedisi yang sama pada masa hadapan,” tambah yang melengkapkan Misi G7 di puncak Gunung Chamah bersama beberapa peserta lain.

Dalam pada itu, Muhammad Asyraf Abd. Rahim, 25, berkata, jarak perjalanan sejauh kira-kira 96 kilometer selama tujuh hari enam malam sangat mencabar mental dan fizikalnya.

“Namun, detik yang paling mencabar ialah terputus hubungan daripada dunia luar kerana tiada liputan talian telefon mudah alih dan internet sepanjang berada dalam hutan.

“Kami tidak tahu apa yang berlaku di luar sana. Kami hanya berjalan di dalam hutan yang tebal untuk sampai ke destinasi yang telah ditetapkan pada setiap hari.

“Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar dan tiada perkara buruk yang berlaku kepada kami,” kata anak kelahiran Gombak, Selangor itu.

Muhammad Asyraf menambah, berehat di permatang sambil menikmati keindahan alam semula jadi menghilangkan perasaan penat yang dirasai.

Namun, kejayaan melengkapkan Misi G7 di puncak Gunung Chamah dan Gunung Ulu Sepat adalah detik yang paling menggembirakan.

Salah seorang lagi pendaki, Mohd. Syafiq Efendi Ilyas, 25, dari Rawang, Selangor berkata, Gunung Chamah dan Gunung Ulu Sepat memang terkenal dalam kalangan pendaki sebagai gunung yang sangat mencabar.

“Kedua-dua gunung ini mempunyai tahap kesukaran yang tersendiri dan bukan calang-calang pendaki yang mampu menjejakkan kaki ke puncak.

“Ada pendaki yang gagal sampai ke puncak. Saya berterima kasih kepada rakan-rakan yang memberikan kerjasama yang baik bagi merealisasikan misi ini.

“Selain menikmati pemandangan yang cukup indah, ekspedisi ini juga banyak menguji mental dan fizikal kami,” katanya yang turut melengkapkan Misi G7 di puncak Gunung Ulu Sepat.