Begitupun, sesetengah pihak mengimpikan tempat penginapan berbentuk hotel yang berdekatan dengan kemudahan awam, pusat beli-belah dan tempat-tempat menarik.

Di Ipoh misalnya, tidak hairanlah jika Tower Regency Hotel & Apartments (Tower Regency) yang terletak di tengah pusat bandar raya itu menjadi lokasi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Berdasarkan lokasinya yang strategik iaitu berhampiran kawasan tumpuan, Pusat Perniagaan Greentown dan Pekan Baru, Tower Regency dianggap paling sesuai untuk didiami sekiranya anda ingin meneroka keindahan bandar raya Ipoh.

Hal ini kerana ia berdekatan dengan kawasan tumpuan seperti restoran nasi kandar terkenal di Ipoh iaitu Nasi Ganja, pasar lewat malam dan Pasar Karat Ipoh yang lebih dikenali sebagai Loken atau Memory Lane.

Bagi individu yang ingin berkunjung ke Ipoh, anda hanya memerlukan dua jam setengah sama ada menerusi pemanduan kereta dari Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Utara-Selatan atau dengan menaiki perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) dari Stesen KL Sentral.

Beralih ke ruang penginapan, Pengurus Hotel, Mariana Hamid berkata, Tower Regency yang bertaraf empat bintang mempunyai 206 buah bilik dan suite. Begitupun, 34 buah bilik daripadanya adalah jenis apartmen.

“Terdapat lima jenis bilik suite di Tower Regency iaitu Executive Suite, Ambassador Suite, Junior Suite, Presidential Suite serta sebuah Penthouse.

“Bagi yang ingin meluangkan masa pada hujung minggu bersama keluarga, pakej percutian yang ditawarkan di tiga jenis apartmen kami merupakan pilihan yang paling ideal,” katanya.

Moden

Tambahannya, setiap buah apartmen lengkapi dengan ruang tamu dan ruang makan yang berasingan.

Menurut Mariana, perhiasan bilik juga moden dan sangat praktikal. Kesemua bilik lengkap dengan sambungan Wi-Fi percuma, televisyen LCD dan seni reka dalaman yang unik.

“Apa yang menarik, Tower Regency turut menjadi pilihan semua pasukan bola sepak Liga Super, Liga Premier dan Piala Presiden yang bertandang ke Ipoh sama ada untuk bertemu pasukan Perak, kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) mahupun pasukan belia Perak sejak lebih 10 tahun lalu.

Soal makan pula, Tower Regency menawarkan restoran Cafe at 6 yang dibuka bermula seawal pukul 6.30 pagi hingga 1 pagi dan ia merupakan sebuah tempat makan seharian yang menyajikan aneka makanan tempatan serta antarabangsa.

“Para tetamu juga boleh bersantai di ruang menunggu yang disediakan atau membeli barangan keperluan di kedai serbaneka di lobi hotel,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mariana berkongsi, terdapat juga kemudahan lain seperti pusat kesihatan (health centre) iaitu sebuah kawasan layan diri. Para tetamu boleh menggunakan kemudahan gimnasium, jakuzi, mandian sauna dan stim.

Bagi yang mahu bersantai, pihak hotel turut menyediakan kemudahan kolam mandi di aras 6 demi memenuhi kehendak para pengguna.

“Tower Regency juga mempunyai kemudahan 12 buah dewan seminar dan sebuah dewan utama yang mampu memuatkan 800 pengunjung dalam satu-satu masa untuk penganjuran majlis-majlis tertentu serta ruang mesyuarat yang lengkap dengan kemudahan teknologi canggih,” tuturnya.

Secara keseluruhan, hotel ini sangat sesuai buat pengunjung moden yang sukakan keunikan dan kelainan. Jika berkunjung ke Ipoh, anda boleh menginap di Tower Regency.