Rata-rata khalayak yang berbicara mengenai filem yang mencatat kutipan box-office hingga AS$1.079 bilion (RM422 bilion) itu menzahirkan rasa terpesona dengan keindahan negara fiksyen dalam naskhah tersebut iaitu Wakanda.

Wakanda yang terletak di benua Afrika bukan sahaja memiliki pemandangan alam semula jadi indah yang masih terpelihara malah merupakan negara tercanggih dari segi teknologinya.

Disebabkan itulah, orang ramai di seluruh dunia kini teruja untuk menjadikan Wakanda sebagai lokasi percutian terindah.

Menariknya, sebuah bandar kecil di Wisconsin, Amerika Syarikat (AS) kini semakin mendapat perhatian ramai ekoran sebuah taman tema yang bernama Wakanda Park.

Laman web pencarian tempat penginapan serta pelancongan, Hotels.com mendedahkan, pencarian bagi Wakanda Park di Menomonie, AS telah meningkat sebanyak 55 peratus dalam tempoh dua bulan lalu.

Selain memiliki nama yang sama, Wakanda Park, Wisconsin juga menawarkan taman tema air yang menyeronokkan dengan populasi penduduk kurang daripada 20,000 orang.

Pengarah Serantau China Raya, Asia Tenggara dan India Hotels.com, Jessica Chuang berkata, filem tersebut telah menyentuh hati dan menarik perhatian berjuta-juta penggemar filem di seluruh dunia.

“Memang filem ini sungguh hebat dan kita sering melihat budaya tersebut menjadi inspirasi kepada variasi pilihan pelancongan.

“Kami gembira melihat para pelancong ingin mencari tempat asal Black Panther yang membawa mereka dari Wisconsin hinggalah ke Jepun. Hidup Wakanda,” katanya menerusi kenyataan akhbar baru-baru ini.

Lonjakan

Sejak mengesan lonjakan dalam pencarian Wakanda Park, Wisconsin, penyelidik laman web berkenaan turut mendapati, permintaan di bandar-bandar lain dengan nama Wakanda atau serupa di seluruh dunia juga semakin memuncak.

Pencarian Wauconda, Illinois (yang juga disebut Wakanda) meningkat lebih 25 peratus manakala Makanda, Illinois, naik lebih 40 peratus.

Malah ada tempat yang lebih jauh lagi, iaitu Wakaya, di Fiji yang meningkat kadar pencariannya sehingga 235 peratus manakala Wakkanai di Jepun pula mencatatkan kenaikan 55 peratus.

Bagi pelancong yang ingin mengunjungi Wakanda Park, Wisconsin, Hotels.com mengesyorkan beberapa tempat penginapan menarik iaitu di Best Western Plus Menomonie Inn & Suites, Hampton Inn & Suites Menomonie-UW Stout dan Cobblestone Inn & Suites di UW Stout Downtown Menomonie.

Bagi individu yang mahu menikmati percutian bertema futuristik, Hotels.com mengesyorkan beberapa lagi hotel yang berupaya bagi menyerlahkan sifat adiwira masing-masing dan menikmati penginapan maya paling canggih.

Antaranya ialah Hotel Container, Kuala Lumpur, Malaysia; Hotel Huis Ten Bosch Henn na, Sasebo, Jepun; Hotel Dream Downtown, New York, AS; Hotel Puerta America, Madrid, Sepanyol dan Yas Viceroy Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu.