Saat melangkah masuk ke dalamnya pula, terasa kantung oksigen terisi penuh dengan udara segar dek landskap persekitaran yang seakan-akan terhijab daripada asap pencemaran kenderaan dan industri perkilangan. Medium pergerakan pengunjung hanyalah berjalan kaki, berbasikal atau menaiki trem mengelilingi taman.

Hakikatnya, kurang 500 meter dari pintu pagar masuk, pengunjung perlu melalui kawasan perumahan penduduk dan hiruk-pikuk bandar raya Shah Alam.

Malah, kedudukannya yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur menjadikan TBNSA antara lokasi riadah pilihan warga kota yang mahu menghabiskan cuti hujung minggu bersama insan tersayang.

Tidak hairanlah 600 tempat letak kereta awam yang disediakan mula dipenuhi kenderaan pengunjung seawal pukul 8 pagi khususnya pada hujung minggu.

Bagi Siti Herdawati Hamidun, 35, kunjungan kali pertama bersama suami, anak-anak dan adiknya itu ternyata sangat menyeronokkan.

“Saya pernah berkunjung ke sini beberapa tahun lalu sewaktu bergelar pelajar di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam untuk tugasan lukisan.

“Namun kali ini lebih istimewa kerana saya ditemani keluarga. Kami dapat melakukan aktiviti riadah bersama-sama dan menghabiskan waktu cuti hujung minggu dengan lebih bermakna memandangkan ada masanya suami perlu bekerja pada hujung minggu,” ujarnya sewaktu ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Rusa jinak

Graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka yang kini bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Jalan U3, Seksyen U3, Taman Subang Perdana itu memilih untuk bersiar-siar di taman dengan menaiki basikal dan menyewa tiga buah basikal pembawa untuk dirinya, suami dan adik bongsu.

Tiga orang anaknya masing-masing berumur sembilan, lima dan satu tahun pula kelihatan sangat gembira kerana dibawa melawat ke kandang rusa dan berpeluang untuk memberi makan haiwan jinak itu.

Pengunjung yang bercadang untuk berbasikal di taman botani dengan jolokan Paru-Paru Bandar Raya itu perlu tiba awal pagi supaya tidak hampa kerana basikal yang ada habis disewakan.

Kunjungan Mohammad Ismail, 45, ke TBNSA pula berlaku secara kebetulan kerana menemani isterinya yang perlu menghadiri kursus bersama rakan-rakan guru Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 Kota Damansara, Petaling Jaya di situ.

“Cuaca hari ini sangat baik dan saya tidak sabar untuk mengelilingi taman. Anak saya juga teruja untuk mengunjungi Rumah Iklim Sederhana Empat Musim terutama untuk melihat salji,” kongsinya yang ditemui di tempat menunggu trem bersama anak perempuan berusia lapan tahun.

Sejarah

Mengimbau sejarah awal pembangunan taman botani tersebut, TBNSA yang asalnya dikenali sebagai Taman Pertanian Bukit Cerakah mula dibangunkan pada 24 April 1986 sebelum dimasyhurkan menjadi Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada tahun 1991.

Nama TBNSA sekarang adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada tahun 2007 untuk membangunkan hutan tropika berkeluasan 20 hektar itu menggantikan nama lamanya iaitu Taman Pertanian Malaysia.

Tujuan TBNSA dibangunkan adalah sebagai pusat kecemerlangan negara dalam bidang pendidikan, penyelidikan saintifik dan pemuliharaan bagi pembangunan botani, hortikultur, pertanian serta bidang-bidang lain yang berkaitan dengannya.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Jamalullail Mokhtar, 29, berkata, dia dan rakan-rakannya memilih untuk mengadakan hari keluarga bagi mengeratkan persahabatan dan melarikan diri daripada kesibukan bekerja selama lima hari seminggu.

“Komitmen kerja harian menyebabkan kami sukar untuk bertemu muka dan berkongsi cerita.

“Justeru, peluang untuk beriadah bersama dalam persekitaran semula jadi pada hujung minggu bukan sahaja dapat mengumpulkan kami semua, malah ia juga dilakukan dengan cara lebih sihat,” kongsi anak kelahiran Segamat, Johor itu sewaktu ditemui di tempat aktiviti memanah di Taman Haiwan.

Antara tarikan lain di TBNSA ialah Taman Hiasan, Rumah Iklim Sederhana Empat Musim, Taman Rempah-Ratus dan Pelbagai Minuman, Taman Kaktus, Taman Konservasi Herba dan Tumbuhan Ubatan serta Taman Buah-Buahan Tropika.

Selain itu, pengunjung juga boleh melihat keunikan reka bentuk rumah tradisional negeri-negeri di Malaysia yang terletak di Kampung Idaman taman botani tersebut.

Tidak ketinggalan, pencinta sukan lasak pula boleh mencuba aktiviti yang disediakan di Taman Cabaran Skytrex dengan membuat tempahan awal atau bagi mereka yang inginkan kelainan dengan memancing menggunakan umpan tiruan, bolehlah menyertai aktiviti fly fishing yang terdapat di Empangan Air Kuning TBNSA.

Konsep taman dalam bandar di Taman Botani Negara Shah Alam menjadi alternatif riadah keluarga untuk memanfaatkan waktu cuti hujung minggu.