Daerah itu pernah menjadi kubu kuat komunis pada suatu masa dahulu.

Di Baling juga berlangsungnya Rundingan Damai Baling antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Parti Komunis Malaya.

Setelah negara mencapai kemerdekaan, daerah itu juga tidak terkecuali daripada menerima pembangunan.

Kini, daerah itu sering dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara kerana mempunyai beberapa lokasi pelancongan yang menarik.

Antara produk pelancongan yang terdapat di Baling ialah Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, Sungai Angkat Ulu Legong, Gua Jepun, Gunung Baling dan Gunung Pulai.

Bagi pelancong yang berkunjung ke Baling, mereka pasti akan mencari tempat penginapan yang sesuai untuk bermalam.

Pengunjung yang melawat daerah itu mungkin boleh menginap di Baling Mountain Garden Village sekiranya mahukan satu tempat penginapan yang mesra untuk keluarga.

Pemilik Baling Mountain Garden Village, Muhammad Halwani Hasbullah berkata, pihaknya menawarkan tempat penginapan yang selesa kepada seisi keluarga yang bercuti ke daerah itu.

“Terletak di belakang Gunung Baling, tempat kami adalah lokasi yang ideal bagi pengunjung yang mencari tempat percutian yang menyenangkan dan jauh daripada hiruk-pikuk bandar.

“Walaupun baru beroperasi pada awal tahun ini, Mountain Garden Village sudah lengkap dengan segala kemudahan,” jelasnya.

Minat

Muhammad Halwani berkata, dia mengambil keputusan untuk membuka calet itu kerana minat dalam bidang tersebut.

Sebelum ini, Muhammad Halwani pernah bekerja di sebuah hotel di Melaka.

Baling Mountain Garden Village mempunyai sembilan bilik iaitu empat jenis Royale Deluxe, Deluxe Queen (dua) dan Deluxe Double Single (tiga).

Kesemua bilik dilengkapi dengan pendingin hawa, televisyen dan mandian air panas.

Selain itu, pengunjung juga akan diberi pilihan sarapan pagi sama ada masakan Melayu ataupun Barat.

Dalam pada itu, Muhammad Halwani menjelaskan, calet itu juga sesuai untuk dijadikan lokasi acara hari keluarga ataupun perjumpaan bersama sahabat.

Jelasnya, calet itu boleh menampung seramai 25 pengunjung pada satu-satu masa.

“Bagi mereka yang ingin mengadakan hari keluarga dan sebagainya, kami juga menyediakan kemudahan untuk mengadakan barbeku.

“Selain itu, kami turut menyediakan kolam renang yang sesuai untuk kanak-kanak mandi-manda,” jelasnya.

Calet itu boleh ditempah secara online melalui aplikasi Agoda dan Trivago.

Bagi pengunjung yang ingin melakukan aktiviti di sekitar Baling, kami juga mempunyai hubungan dengan pengusaha-pengusaha tempatan yang menyediakan pakej seperti berkayak, mendaki gunung serta menjelajah gua.