Namun, situasi itu berbeza bagi Mohd. Shahir Ibrahim, 33, kerana ketika orang lain sedang enak dibuai mimpi indah, dia sudah berada di Pullman Putrajaya Lakeside, Putrajaya.

Menurut Mohd. Shahir, dia datang seawal pukul 6.30 pagi ke lokasi itu untuk menguji stamina dengan menyertai larian keselamatan jalan raya, ROSRUN 2017 anjuran Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Uber Sdn. Bhd., bersama-sama peserta lain.

“Acara larian seumpama ini merupakan satu bentuk riadah untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

“Saya sememangnya menyukai aktiviti larian seperti ini kerana ia menjadi satu permulaan yang baik untuk meningkatkan kekuatan dan stamina diri,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! di Pullman Putrajaya Lakeside, Putrajaya baru-baru ini.

Mohd. Shahir memberitahu, ini merupakan kali pertama dia menyertai acara larian yang bertemakan keselamatan jalan raya.

Tema

“Saya tertarik dengan tema yang dibawa oleh penganjur. Mereka berhasrat mendidik para peserta yang datang bagi meningkatkan lagi kesedaran kepada masyarakat berhubung isu-isu keselamatan jalan raya di Malaysia,” ujarnya yang berasal dari Alor Setar, Kedah.

Sementara itu, Mohd. Shukri Jerai, 35, pula menyifatkan, acara yang berkonsepkan larian santai itu bukan sahaja dapat mengisi masa lapang pada hujung minggu tetapi amat baik untuk meningkatkan kesihatan kerana ia mampu menyihatkan tubuh badan.

“Acara larian seperti ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk melakukan aktiviti kecergasan secara beramai-ramai tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Pada masa sama, bagi individu yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai banyak masa untuk bersenam, mereka berpeluang menyihatkan tubuh badan menerusi acara seperti ini,” ujar penjawat awam itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Miros, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, lebih 1,700 peserta menyertai larian yang bertemakan keselamatan jalan raya itu.

Acara berkenaan juga adalah untuk mempromosikan mesej-mesej keselamatan jalan raya dalam kalangan peserta.

Katanya, dua kategori larian ditawarkan iaitu 3 dan 10 kilometer (km).

“Bagi kategori 3km, ia dinamakan sebagai larian peka (alert run) untuk mempromosi tingkah laku pengguna jalan raya supaya sentiasa kekal peka semasa menggunakan jalan raya.

“Bagi kategori 10km pula, ia dinamakan sebagai larian selamat (run safe) bagi mempromosi tingkah laku yang selamat semasa berada di jalan raya,” katanya.

Jelas Lam Thye, aspek peka dan selamat menjadi tema pilihan pada penganjuran kali ini kerana kecuaian pengguna sering menjadi punca utama kemalangan jalan raya.

Simbolik

“Saban tahun, statistik kemalangan jalan raya yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia menunjukkan lebih 80 peratus kemalangan jalan raya berlaku akibat kecuaian pengguna.

“Oleh itu, acara larian ini diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan untuk sentiasa peka dan selamat ketika di jalan raya,” ujarnya.

Selaras dengan tema yang dipilih, peserta larian 3km memakai baju larian khas yang berwarna oren (jingga) manakala peserta larian 10km memakai baju larian berwarna hijau. Seterusnya, petugas-petugas rasmi acara pula memakai baju yang berwarna merah.

“Secara keseluruhan, ia menyerupai warna lampu isyarat. Ini juga merupakan simbolik kepada satu lagi mesej keselamatan jalan raya iaitu mematuhi lampu isyarat,” katanya.