Bagaimanapun, sangkaan Muhammad Zulhilmi Mohd., 26, itu meleset apabila tubuhnya berasa seperti berpusing serta bergoyang-goyang sebaik sahaja memasuki ruang ilusi yang diberi nama Vortex Tunnel.

Bahkan, pada mulanya, dia beranggapan bahawa ruang ilusi tersebut hanyalah satu terowong biasa yang mempunyai sebuah jambatan di tengah-tengahnya, sebelum menyedari terdapat beberapa kelainan pada terowong berkenaan.

Antaranya ialah jambatan itu dikelilingi satu dinding kain berbentuk silinder yang berwarna ungu dan merah serta terdapat tompok-tompok bulatan berwarna cerah memenuhinya.

“Sebaik sahaja saya mula berjalan melintasi jambatan itu, secara tiba-tiba dinding kain berwarna-warni itu berpusing-pusing dan membuatkan saya berasa berpusing 360 darjah tanpa henti.

“Saya gagal mengimbangi badan lalu berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang. Sedangkan sebelum memasukinya, laluan ini hanya mempunyai satu jambatan biasa dengan permukaan yang rata,” ujarnya yang pertama kali mengunjungi muzium tersebut bersama-sama seorang lagi rakannya.

Bukan setakat itu katanya, semasa melangkah ke aras dua muzium tersebut, matanya telah tertumpu pada sebuah bilik bertulis Infinity Room yang terletak betul-betul di tengah ruangan aras itu.

“Sebaik sahaja saya menutup pintu tersebut, persekitaran menjadi gelap gelita tetapi mula berubah tidak lama kemudian selepas lampu-lampu kecil yang memenuhi ruang siling bilik tersebut dinyalakan.

“Daripada gelap gelita, siling bilik itu bertukar menjadi satu pemandangan indah seakan-akan ruang angkasa yang dipenuhi bintang-bintang kecil berkelipan,” katanya.

Luah Zulhilmi, kebiasaannya jika bercakap tentang muzium sudah tentu ramai orang yang akan membayangkan mengenai aktiviti melihat artifak dan tinggalan warisan kuno tetapi tidak sama sekali bagi muzium yang baru sahaja dikunjunginya itu.

Terletak di segi tiga emas Kuala Lumpur, Muzium Ilusi adalah perniagaan muzium secara francais yang diperkenalkan oleh syarikat berpangkalan di Croatia dan Malaysia menjadi destinasi ketujuhnya di pasaran global.

Berbeza

Muzium tersebut juga merupakan satu-satunya muzium di seluruh Asia termasuklah Malaysia yang memfokuskan kepada konsep ilusi.

Dibuka sejak Jun lalu, Muzium Ilusi yang berkeluasan 371.6 meter persegi itu mempunyai dua aras dan menawarkan 16 ruang pameran dengan 70 tarikan ilusi termasuk permainan berbentuk pendidikan.

Pengurus muzium, Faizzah Zainudin berkata, muzium itu kali pertama diperkenalkan di Zagreb, Croatia tiga tahun lalu sebelum diperkenalkan ke beberapa negara lain seperti Oman, Austria, Slovenia dan yang terbaharu di Malaysia.

Menurutnya, cawangan di negara ini adalah yang paling besar jika dibandingkan dengan cawangan Muzium Ilusi yang lain.

“Di negara ini sudah terdapat banyak muzium yang berkonsepkan tiga dimensi (3D), tetapi tiada yang khusus kepada ilusi. Disebabkan itu kebanyakan pengunjung yang hadir sering bertanyakan perbezaan kedua-dua konsep tersebut.

“Secara ringkasnya, perbezaan kedua-dua muzium itu adalah dari aspek pengalaman. Bagi muzium berkonsep 3D pengunjung hanya mampu melihat tetapi bagi konsep ilusi, mereka akan dapat merasakannya seolah-seolah seperti melaluinya di dalam dunia sebenar.

“Para pengunjung akan bermain dengan pelbagai jenis ilusi seperti warna, pergerakan serta ruang. Saya yakin muzium ini mampu memberikan lebih kepuasan kepada pengunjung sama ada bersama ahli keluarga ataupun rakan-rakan,” ujarnya.

Antara ruang ilusi yang wajib dicuba oleh pengunjung ialah Vortex Tunnel, Infinity Room dan Anti Gravity Room.

Banyak tarikan

Selain itu, pengunjung juga ditawarkan untuk mencuba bermain di ruang permainan pintar yang semestinya akan mencabar fikiran dan memerlukan setiap orang berfikir di luar daripada kebiasaan.

Terdapat juga pelbagai seni ilusi dipamerkan seperti dinding yang dipenuhi topeng yang seakan-akan menoleh ke arah anda ketika melaluinya.

Bagi memastikan kepuasan dan supaya berpeluang merakamkan gambar kenangan, pengunjung disarankan untuk datang secara berkumpulan sekurang-kurangnya dua orang.

Bagaimanapun, bagi mereka yang hanya berpeluang datang secara individu, pihak kakitangan bersedia membantu pengunjung yang ingin merakamkan gambar kenang-kenangan.

Bercerita tentang waktu operasi dan harga tiket, Faizzah berkata, muzium tersebut dibuka pada setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 11 malam dengan harga tiket sebanyak RM35 bagi dewasa, RM25 untuk umur di bawah 15 tahun dan percuma bagi kanak-kanak yang berusia lima tahun ke bawah.

“Bagaimanapun, harga tersebut hanya untuk warganegara. Untuk pelancong asing harganya berbeza,” jelasnya.

Tambah Faizzah, muzium tersebut adalah sangat sesuai untuk orang ramai terutamanya kanak-kanak untuk mempelajari konsep ilusi yang terdapat di sekeliling kita dalam keadaan bersahaja.

“Dengan adanya muzium ini, Bukit Bintang kini bukan sahaja menjadi tumpuan membeli-belah dan berhibur malah, boleh menjadi tempat untuk menyebarkan pendidikan,” ujarnya lagi.

Mengujakan

Sementara itu, salah seorang pengunjung lagi, Siti Nurulbahiyah Abu Seman, 25, berkata, dia mendapat tahu mengenai tarikan terbaharu itu selepas ia tular di laman sosial Facebook.

“Pada mulanya, saya tidak begitu tertarik dengannya tetapi selepas membaca komen-komen menarik di laman sosial mengenai muzium ini, saya rasa tidak salah jika cuba mengunjunginya terlebih dahulu sebelum memberi sebarang tanggapan.

“Tambahan pula kedudukannya yang betul-betul bersebelahan dengan pusat beli-belah terkenal, Pavilion memudahkan lagi saya untuk mendapatkan pengangkutan awam ke sana,” katanya yang berasal dari Alor Setar, Kedah.

Tambah Nurulbahiyah, sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalamnya dan mencuba beberapa aktiviti, dia sangat teruja apabila dapat melihat ratusan wajahnya melalui ilusi yang dihasilkan daripada pantulan cermin.

“Saya berasakan tidak puas memandangkan dapat mengunjungi muzium ini dalam tempoh masa yang sekejap kerana mempunyai urusan lain, saya pasti akan datang semula ke sini pada hari yang lain,” katanya sebelum pulang.

Muzium Ilusi Kuala Lumpur menyajikan kira-kira 70 pameran ilusi termasuk permainan berbentuk pendidikan yang semestinya akan menguji pemikiran pengunjung.