Lebih manis, kejayaan itu diraikan bersama Suhaimi Abd. Rahman, 60, atau lebih dikenali sebagai Amy Search yang turut membawa isterinya, Norhasniza Hassan.

Amy berkata, kejayaan itu merupakan kenangan manis baginya setelah merancang hampir dua tahun.

Dia mendaki bersama 24 orang peminat daripada pelbagai lapisan usia dari Malaysia dan Indonesia.

“Saya amat teruja menunaikan impian ini bersama isteri dan para peminat kerana kami saling melengkapi dalam mengejar impian masing-masing sepanjang ekspedisi ini.

“Banyak kenangan yang kami kutip bersama dan saya berharap kejayaan ini akan memberikan kenangan terindah buat peminat saya selama-lamanya.

“Segala-galanya adalah kerana semangat dan kawalan mental yang kuat. Ini kerana jika semangat kita kuat dan kita benar-benar inginkan apa yang kita idamkan, kita pasti akan berusaha untuk mendapatkannya,” katanya.

Amy turut berterima kasih kepada isterinya yang selama ini banyak mendorong dan memberikan kata-kata semangat untuk mendaki serta melakukan aktiviti-aktiviti lasak lain seperti berbasikal serta payung terjun.

“Saya akan terus aktif dalam dunia pendakian kerana mendaki dapat memberikan banyak pengajaran dan pengalaman dalam mengenal diri serta kesihatan pada tubuh badan,” katanya.

Kumpulan pendaki itu berjaya sampai ke ABC yang berketinggian 4,130 meter dari aras laut pada 13 April lalu setelah empat hari mengharungi pendakian yang mencabar.

Antara cabaran yang ditempuhi ialah hujan lebat, salji tebal dan suhu yang mencecah negatif 5 darjah Celsius.

Salah seorang pendaki, Jamalnordin Mohamed Taib, 38, berkata, pengalaman mendaki ABC bersama Amy, isteri dan peminatnya adalah satu kenangan indah yang tidak dapat dilupakan.

“Melihat semangat Amy yang kental membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan perjalanan ke ABC. Kami bekerjasama sejak hari pertama hingga selesai misi ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekspedisi merangkap Pengarah Summit Attack Resources (SAR), Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa, 36, pula berkata, dia sangat kagum dengan semangat yang ditunjukkan pendaki sepanjang pendakian ini.

“Dia (Amy) langsung tidak menunjukkan rasa putus asa walaupun mendaki pada usia mencecah 60 tahun.

“Dia sangat gigih membuat latihan dan persiapan yang disusun oleh pihak SAR sejak dari Malaysia lagi. Dia juga mengikut segala panduan dan nasihat yang kami berikan serta sering bertanya untuk mendapatkan maklumat.

Kerja amal

“Dia akan terus membuat latihan untuk ke gunung yang lebih tinggi selepas ini antaranya Gunung Kalapattar dan Everest Base Camp di Nepal serta Gunung Kilimanjaro di Afrika Selatan yang merupakan gunung tertinggi di benua Afrika yang akan diuruskan oleh SAR daripada segi pendakian serta latihan,” katanya.

Pendakian ke ABC mengambil masa selama tujuh hari untuk naik dan turun yang bermula pada 7 April sebelum tamat pada 18 April lalu.

Sepanjang pendakian ke ABC, Amy dan pendaki lain turut melakukan kerja-kerja amal dengan menyumbang peralatan persekolahan seperti alat tulis serta makanan kepada pelajar-pelajar di sebuah sekolah yang daif iaitu sebuah pondok yang dibina hasil daripada sumbangan orang ramai.

Sekolah itu menempatkan kira-kira 15 orang pelajar yang berusia antara tiga hingga lima tahun.

Majlis penyampaian sijil kepada semua pendaki telah disempurnakan oleh Menteri Penasihat dan Kuasa Usaha Sementara di Kedutaan Besar Malaysia di Nepal, Ahmad Phadil Ismail yang diadakan di salah sebuah restoran terkemuka di Kathmandu sebelum pendaki pulang ke Malaysia.