Ia jelas kelihatan pada raut wajah letih dan lesu 30 peserta yang menyertai program Wild Jolobu menjelajah Taman Negeri Kenaboi baru-baru ini.

Disebabkan rasa teruja, peserta yang terdiri daripada wakil media, agensi pelancongan dan Tourism Malaysia Wilayah Tengah (TMWT) itu tetap bersemangat.

Tepat 11 pagi, para peserta dibawa dengan kenderaan pacuan empat roda (4x4) ke Taman Negeri Kenaboi yang terletak dua kilometer dari Kampung Chennah.

Sejurus tiba, para peserta diberi taklimat ringkas mengenai aspek keselamatan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dan dibahagikan khemah masing-masing.

Salah seorang peserta, Marion Fernando, 24, berkata, program yang diikutinya memberi pengalaman baharu kepadanya kerana dia berpeluang untuk bermalam di dalam khemah sambil menikmati keindahan alam semula jadi hutan berkenaan.

“Ini pertama kali saya bermalam di dalam khemah kerana sebelum ini jika ada aktiviti melibatkan masuk ke dalam hutan, saya hanya tidur di calet atau asrama yang berdekatan dengan lokasi.

“Meskipun, terdapat kemudahan bilik asrama yang disediakan di Taman Negeri Kenaboi ini, tetapi apa salahnya mencuba sesuatu yang baharu,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Chennah, Jelebu baru-baru ini.

Terletak di dalam Hutan Simpan Kenaboi seluas 9,450 hektar, Taman Negeri Kenaboi yang dahulunya dikenali sebagai Taman Alam Liar Negeri adalah unjuran penghujung Banjaran Titiwangsa yang menyediakan pelbagai ikon pelancongan menarik seperti Jeram Berungut, Lata Kijang dan Gunung Besar Hantu.

Selain itu, Hutan Simpan Kenaboi juga kaya dengan pelbagai tumbuhan seperti orkid liar, tumbuhan herba, paku-pakis dan palma. Tambahan lagi, Jelebu terkenal sebagai kawasan lindungan hujan kerana terletak di dataran tinggi dan keadaan muka buminya berbukit-bukau.

Tambah Marion, pengalaman ke Jeram Berungut pula tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya. Hal ini kerana tiada jalan mudah dan singkat untuk ke tempat berkenaan yang juga dikenali sebagai Lord of The Rings Malaysia dan terowong dalam kalangan penduduk Orang Asli.

Katanya, dia perlu berjalan kaki sekitar 45 minit dari tapak perkhemahan dengan menelusuri Sungai Kenaboi yang berarus deras itu. Walaupun air sungai separas lutut, seseorang yang jatuh ke dalam air tersebut mampu dihanyutkan dengan arus air berkenaan.

Air sungai

“Jeram Berungut ini terbentuk seperti terowong dengan tebing batu setinggi 40 meter dan dipenuhi lumut di dinding-dinding batunya, seolah-olah anda sedang menelusuri sungai di dalam sebuah gua, pemandangannya begitu mempesona umpama lukisan minyak yang cantik.

“Air sungainya pula sangat jernih dan dingin sehingga mampu membuatkan jari-jemari anda seperti mengecut walaupun baru 10 minit berendam di dalam air,” ujarnya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Ekspedisi ke Taman Negeri Kenaboi tersebut turut mendapat kerjasama dari segi bantuan dan perkhidmatan teknikal daripada Hikers Climber Adventure Team Sdn. Bhd.

Pasukan tersebut menawarkan aktiviti pengembaraan lasak termasuklah perkhemahan, 4X4, kem pembangunan modal insan, meredah hutan, flying fox, abseiling dan tubing.

Pengarah Operasinya, Ahmad Nazri Ismail berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dalam mempromosikan Taman Negeri Kenaboi sebagai destinasi utama ekopelancongan di negeri berkenaan.

Aktiviti popular

Katanya, antara aktiviti yang paling popular dan sering dilakukan di Taman Negeri Kenaboi ialah berkayak tiub atau lebih dikenali sebagai tubing.

“Aktiviti tubing biasanya dilakukan di kawasan jeram yang tidak begitu dalam iaitu sekitar 1.2 meter kerana ia lebih bersifat santai namun masih ada cabaran yang dapat dirasai peminatnya.

“Bagi melakukan aktiviti ini, perkara paling mustahak ialah tiub dan biasanya menggunakan tiub tayar lori,” katanya yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam mengendalikan aktiviti lasak di negara ini.

Jelas Ahmad Nazri lagi, dari segi aspek keselamatan, setiap peserta perlu memakai jaket apungan keselamatan yang sudah diperiksa tahap kemampuan apungannya oleh operator kerana jaket keselamatan mempunyai tarikh luputnya iaitu bergantung kepada jumlah penggunaannya.

“Ketika melakukan setiap aktiviti air, jaket keselamatan ini penting kerana sukar untuk menduga keadaan arus sungai ini.

“Meskipun, ia dilakukan di kawasan cetek, jika seseorang itu panik seperti tiub terbalik atau bocor, insiden kemalangan seperti lemas boleh berlaku.

“Oleh itu, tanpa mengira seseorang itu boleh berenang atau tidak, pemakaian jaket keselamatan adalah penting,” ujarnya yang turut mengingatkan para peserta sentiasa memakai topi keselamatan ketika melakukan aktiviti tersebut.

Aktiviti tubing biasanya ditawarkan pada harga bermula RM30 dan jarak laluan tubing sejauh 500 meter dan ia bergantung kepada persekitaran semasa.

Menariknya mengenai aktiviti tubing, walaupun setiap peserta hanya perlu duduk di dalam tiub, tetapi mereka perlu bijak mengawal pergerakan tiub supaya tidak terbalik atau tersangkut.

Sementara itu, bagi salah seorang peserta luar negara, Chinatsu Gomi, 19, mengakui pengalaman selama dua hari satu malam mengikuti program Wild Jolobu anjuran TMWT itu memberi pengalaman menyeronokkan.

Berbanding di negara asalnya Jepun, Gomi memberitahu, aktiviti-aktiviti seperti meredah hutan, menaiki 4X4 dan flying fox di hutan berkenaan tidak dilakukannya di sana.

“Saya amat gembira kerana berpeluang mengikuti ekspedisi ini, sudah pastinya saya akan merindui air terjun Lata Kijang yang mempesonakan setinggi 90 meter.

“Saya berharap dapat datang ke sini lagi pada masa akan datang bersama-sama keluarga atau rakan-rakan,” ujarnya yang mengikuti latihan praktikal di salah sebuah agensi pelancongan di ibu kota.

Taman Negeri Kenaboi di Jelebu, Negeri Sembilan menjadi lokasi ekopelancongan popular bagi penggemar aktiviti lasak dan kenderaan pacuan empat roda dari dalam dan luar negara.