Bagi mereka yang sudah biasa dengan aktiviti seperti itu, kekurangan atau ketidakselesaan yang terpaksa dihadapi sepanjang berada di lapangan langsung tidak mematahkan semangat mereka untuk terus menabur bakti kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Perkara itu diakui sendiri oleh seorang anak gadis kelahiran Kuala Lumpur, Zuyyin Muhammad Juhari, 25, yang telah banyak melibatkan diri dalam aktiviti seperti itu sejak di bangku sekolah.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Zuyyin bagi mengetahui lebih banyak mengenai pengalamannya sepanjang berkecimpung di dalam aktiviti kesukarelawanan.

1 Boleh ceritakan serba sedikit latar belakang anda?

Saya dilahirkan di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur pada tahun 1992 tetapi dibesarkan di Hulu Langat, Selangor.

Saya pernah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya, sehingga tingkatan lima sebelum melanjutkan pengajian di peringkat diploma di Universiti Selangor (Unisel), Shah Alam dalam perhubungan awam.

Kini, saya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam dalam bidang pengajian yang sama secara separuh masa kerana saya bekerja sebagai kakitangan Jabatan Pemasaran Online, Lazada Malaysia.

2 Sejak bilakah anda mula terlibat dalam program amal dan kesukarelawanan?

Saya mula berjinak-jinak dengan aktiviti seperti ini selepas diberi pendedahan oleh kedua-dua ibu bapa saya yang banyak menghabiskan masa dengan melakukan kerja-kerja amal di sebuah pusat pengajian tahfiz berhampiran rumah kami di Hulu Langat.

Bermula dari situ, saya sudah terbiasa dengan aktiviti amal. Pada usia 12 tahun, bapa mula menghantar saya untuk menyertai pelbagai program yang dianjurkan oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia sebagai sukarelawan.

Ketika melanjutkan pengajian di Unisel pula, saya mula berjinak-jinak sebagai sukarelawan di bawah pertubuhan bukan kerajaan berasaskan kebajikan, Islamic Relief Malaysia.

3 ApaKah yang anda peroleh selepas melibatkan diri dengan program kesukarelawanan?

Para sukarelawan merupakan golongan yang benar-benar ikhlas untuk menghulurkan tenaga dan masa bagi membantu golongan yang memerlukan.

Oleh itu, setiap sukarelawan tidak pernah mengharapkan sebarang bentuk pulangan selepas misi selesai. Mereka lebih mementingkan kepuasan diri setelah meringankan beban golongan yang dibantu.

Disebabkan itu, walaupun tidak dapat menyertai misi bantuan sebagai sukarelawan di lapangan disebabkan kekangan kerja, saya sedaya upaya untuk mencari masa membantu meringankan tugas pasukan termasuk mengumpulkan barangan keperluan sebelum misi berlangsung.

4 Adakah anda masih aktif sebagai sukarelawan?

Disebabkan saya bekerja dan belajar secara separuh masa di UiTM, saya tidak mempunyai banyak peluang untuk menyertai program kesukarelawanan.

Pada masa ini, saya banyak libatkan diri dengan aktiviti amal yang dilaksanakan oleh pihak universiti.

Malah, saya juga kerap ke sebuah rumah jagaan orang-orang tua yang terletak di Ampang, Selangor untuk menghulurkan bantuan.

Biasanya, saya akan ke sana seorang diri atau ditemani ibu bapa dan adik-beradik sahaja. Jika tiada barangan keperluan untuk disumbang, saya tetap akan ke sana untuk bermesra dengan penghuni rumah jagaan tersebut.

5 Apakah nasihat anda kepada golongan muda?

Jika berpeluang, sertailah mana-mana program sebagai sukarelawan kerana ia dapat memberi banyak ilmu dan pengalaman.

Malah, dengan menyertai aktiviti seperti itu, ia dapat membina jadi diri seseorang agar menjadi insan yang lebih bertanggungjawab dan sentiasa mempunyai perasaan kasih sayang sesama insan.

Lebih penting, ia mampu menjadi motivasi kepada diri sendiri agar sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diperoleh kerana masih ramai insan yang kurang bernasib baik berbanding apa yang kita nikmati hari ini.