Permainan itu dikatakan bermula daripada sebuah kelab bola sepak tempatan di Britain yang bertujuan untuk membantu ahli mereka yang berusia 50 tahun ke atas melakukan aktiviti fizikal.

Permainan itu mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh dunia, terutamanya individu yang mempunyai masalah pergerakan dan mahu mendapatkan manfaat daripada melakukan aktiviti fizikal tersebut.

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya (UM) melihat fenomena itu sebagai satu peluang untuk menangani masalah obesiti dalam kalangan murid-murid sekolah.

“Kami melihat usaha ini sebagai satu penyelesaian yang holistik. Kami bukan sahaja membantu menangani masalah kegemukan dalam kalangan kanak-kanak, namun turut meningkatkan tahap kecerdasan mereka.

“Malah, ia mampu meningkatkan tumpuan kepada pelajaran dan hubungan bersama keluarga serta rakan-rakan,” kata Pakar Perubatan Keluarga dari Fakulti Perubatan UM, Dr. Haireen Abdul Hadi selaku ketua penyelidik program berkenaan.

Menurutnya, kajian terkini mendapati sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan murid-murid sekolah di Malaysia boleh dikategorikan sebagai mempunyai masalah kegemukan berlebihan.

Masalah kegemukan atau obesiti kebiasaannya berpunca daripada cara pemakanan dan gaya hidup yang kurang sihat.

“Kanak-kanak obes juga sering menghadapi masalah hubungan sosial kerana merasa rendah diri dengan keadaan fizikal mereka,” tambah Dr. Haireen.

Pertandingan

Bagi mencapai objektif program yang menerima geran penyelidikan dari Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares) itu, satu pertandingan berbentuk liga diadakan antara lapan buah sekolah rendah di sekitar Lembah Klang.

Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Lelaki Bukit Bintang, SK Methodist, SK Kampung Tunku, SK Damansara Utama, SK Tropicana, SK Seksyen 9 Kota Damansara, SK Seksyen 7 Kota Damansara dan SK Sungai Way.

Menurut Dr. Haireen lagi, sukan itu berisiko rendah dari segi kecederaan kerana antara peraturan yang perlu dipatuhi adalah menegah pemainnya daripada berlari ketika mengawal bola sewaktu permainan.

Selain itu, sebarang sentuhan badan adalah tidak dibenarkan.

“Walaupun peraturan ini menghalang pergerakan pantas, faktor persaingan dalam setiap perlawanan tetap memaksa para pemain untuk bergerak aktif.

“Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada kanak-kanak obes mendapat manfaat daripada aktiviti fizikal dalam suasana permainan yang kompetitif,” tuturnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Perubatan Sukan Fakulti Perubatan UM, Dr. Zulkarnain Jaafar berkata, oleh kerana permainan itu merupakan aktiviti berpasukan yang memerlukan interaksi dan komunikasi yang baik antara ahli-ahli pasukan, semangat berpasukan yang tinggi serta persaingan sihat dapat diwujudkan dalam kalangan peserta.

“Ini juga membantu para peserta dalam hubungan sosial mereka bersama rakan-rakan dan guru,” katanya sambil.

Beliau memaklumkan, para peserta yang terpilih diminta untuk menjalani latihan selama tiga bulan dengan bantuan guru sekolah sebelum menyertai pertandingan itu.

Perubahan

Maklumat fizikal para peserta, seperti indeks jisim badan (BMI) turut direkodkan sebelum dan selepas sesi latihan bagi tujuan rekod serta analisis.

Penolong Kanan Ko-Kurikulum SK Kampung Tunku, Mohd. Salmi Mohd. Nasudin berkata, terdapat perubahan ketara dalam sikap dan aspek fizikal kanak-kanak obes yang terlibat, hanya selepas dua bulan melalui program latihan yang disediakan.

“Kanak-kanak yang sebelum ini sering keletihan, tidak aktif dan tidur di dalam kelas, kini didapati menjadi lebih segar serta aktif.

“Antara perbezaan ketara yang ditunjukkan adalah mereka menjadi lebih bersemangat untuk ke sekolah pada setiap hari serta lebih fokus semasa sesi pembelajaran,” katanya.

Pertandingan walking football yang diadakan di gelanggang futsal Pusat Sukan UM itu dimenangi oleh pasukan dari SK Seksyen 7 Kota Damansara, Selangor.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik pasukan SK Damansara Utama dan SK Sungai Way.

Kesemua pasukan membawa pulang wang tunai, piala pusingan, pingat dan peralatan sekolah.

“UM komited untuk menempatkan warganya di segenap aspek usaha pembangunan masyarakat termasuklah menyokong usaha penyelesaian masalah berkaitan kesihatan murid-murid sekolah.

“Usaha seperti ini diharap dapat memberi impak secara langsung dan tidak langsung dalam usaha negara menangani isu pendidikan yang pelbagai secara konsisten serta berjangka panjang,” kata Pengarah UMCares, Prof. Dr. Norzulaani Khalid yang hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis penutup program.