Di atas padang bapanya lincah merencana serangan dan mencuri bola daripada kaki pihak lawan.

Kehebatan bapanya yang sering menjadi bualan membuatkan A. Kisshaen, 22, memasang impian untuk mengikut jejak langkahnya.

Pada usia 14 tahun, dia menyertai pasukan Hyper Rich sebagai pemain simpanan.

Pelbagai kejohanan bola sepak mahupun futsal telah disertainya untuk menambah pengalaman.

Terkini, pasukannya berjaya ke kejohanan Neymar Jr’s Five 2018 yang melayakkan mereka mewakili Malaysia untuk beraksi pada peringkat dunia di Instituto Projeto Neymar Jr., São Paulo, Brazil, Julai depan. Pasukannya akan bersaing dengan 64 buah pasukan dari seluruh dunia.

Neymar Jr’s Five adalah perlawanan bola sepak anjuran bintang Brazil dan Paris Saint-Germain, Neymar serta Red Bull Product of Europe yang melibatkan lima orang pemain utama dan dua orang simpanan.

Permainan selama 10 minit itu agak unik apabila tidak ada penjaga gol di gawang dan setiap kali pasukan yang bertanding menjaringkan gol, lawannya perlu menyingkirkan seorang ahli.

Setiap pasukan hanya boleh memasukkan dua orang pemain yang berumur lebih daripada 25 tahun.

Pada tahun 2017, lebih 100,000 pemain dari 53 negara bersaing untuk merebut gelaran juara dunia dan telah dimenangi pasukan Romania.

Kisshaen yang merupakan anak kelahiran Puchong, Selangor tidak sesekali menyangka percubaan pasukan Hyper Rich buat kali ketiga akhirnya membuahkan hasil.

Pasukan di peringkat komuniti itu telah bergerak aktif sejak tahun 2000 dan terdiri daripada 15 orang pemain sekitar Selangor.

Kini, pasukan Hyper Rich dikendalikan oleh bapa Kisshaen iaitu Ananthan yang juga merupakan bekas pemain pasukan berkenaan suatu ketika dahulu.

Persediaan

Kisshaen berkata, pasukannya sedang membuat persediaan yang rapi dalam usaha mengharumkan nama negara di mata dunia.

“Kami berlatih tiga kali dalam seminggu untuk meningkatkan kemahiran, stamina dan memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya yang ditemui Kosmo! di ibu pejabat Red Bull di Jalan Gasing, Petaling Jaya baru-baru ini.

Ketika ini, pasukan tersebut berlatih di padang bola sepak pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya.

Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik berkenaan turut memberitahu, mereka turut berenang dan membuat senaman di gimnasium sekali seminggu bagi meningkatkan stamina.

“Berenang dapat membentuk otot seimbang, sekali gus membantu kami kekal cergas,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi ahli pasukan A. Kelvin Raj, 25, memberitahu, pasukannya turut merangka strategi ampuh untuk bertanding di Brazil bagi bersaing dengan negara-negara yang handal dalam sukan tersebut.

Kelvin Raj mengakui bahawa terdapat beberapa cabaran yang perlu ditempuhi dalam usaha memantapkan lagi pasukan berkenaan.

Dia memberitahu, cabaran utama adalah masa yang perlu dikorbankan setiap ahli pasukan kerana mereka sudah berkerjaya dan ada juga merupakan pelajar.

“Masing-masing mempunyai tanggungjawab tetapi misi di Brazil menuntut komitmen semua ahli pasukan.

“Semua ahli perlu berkorban untuk beberapa bulan ini dan merancang jadual latihan dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Malah menurutnya, mereka yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Brazil masih tidak mendapat gambaran sebenar keadaan padang di negara tersebut.

Bekas pemain pasukan Glory FC itu memberitahu, pasukannya telah menghubungi wakil negara pada musim lalu untuk berkongsi pengalaman mereka.

Bagi Kapten Hyper Rich, Naavin Krishnan, 32, tanggungjawab yang perlu dipikulnya agak berat demi mencapai matlamat yang disasarkan di Brazil kelak.

Menurutnya,seorang ketua pasukan yang berkarisma perlu mempunyai kebolehan dalam mempengaruhi rakan sepasukan ketika beraksi dan mampu menjadi ikutan di dalam dan di luar padang.

Persefahaman

“Menjadi lumrah ketika bersaing kadangkala situasi kurang baik pasti akan berlaku sewaktu perlawanan berlangsung dan ketika inilah tugas seorang kapten sangat diperlukan bagi menenangkan rakan yang lain supaya lebih tenang menangani situasi terbabit.

“Sekiranya kapten sendiri gagal menunjukkan satu sikap yang baik secara tidak langsung ia bakal mendatangkan keburukan buat pasukannya,” katanya.

Justeru, usahawan berkenaan memberitahu, sebagai kapten dia akan berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan persefahaman dalam kalangan ahli pasukan.

“Bertengkar adalah perkara biasa dalam sebuah pasukan, namun saya tidak boleh membiarkannya merosakkan prestasi mereka,” katanya lagi.

Namun begitu, anak jati Petaling Jaya itu melahirkan keyakinan bahawa persefahaman yang telah terjalin menjadi kunci kejayaan yang akan mereka bawa ke Brazil.

“Kami sudah bersama terlalu lama ibarat sebuah keluarga. Masing-masing melengkapi antara satu sama lain dan saya yakin mereka akan memberikan yang terbaik demi negara tercinta ini,” ujarnya.

Pasukan Hyper Rich turut dianggotai S. Devan, 33, Abdul Hakim Abdul Rahman, 25, Ahmad Marzuqi Azizi, 25, dan M. S. Vigneshwaran, 25.

Hyper Rich bakal bersaing di Sao Paulo, Brazil bersama 64 buah negara bagi merebut gelaran juara dunia kejohanan Neymar Jr’s Five 2018.