MEMORI melawat Tugu Negara di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur kira-kira 17 tahun lalu masih mekar dalam ingatan Ng Wai How, 27.

Anak jati Hulu Langat, Selangor itu begitu teruja melihat sekumpulan anggota tentera mengibar Jalur Gemilang setinggi 15 meter.

Rasa bangga itu membuak-buak kerana dapat melihat sendiri monumen yang menjadi kebanggaan rakyat di negara ini.

Meskipun memori itu telah lama berlalu, jauh di sudut hatinya timbul rasa kecewa kerana kekurangan promosi di sebalik kemegahan Tugu Negara tersebut.

Bertitik tolak daripada itu, dia bertekad untuk mengharumkan nama negara apabila terpilih mewakili Malaysia bagi merebut Anugerah Pereka Muda Asia anjuran Nippon Paint di Universiti Taylor, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

“Saya cuba untuk menggabungkan elemen patriotisme dan teknologi dalam rekaan bagi memelihara nilai sejarah Tugu Negara. Ia adalah sebahagian usaha memelihara warisan peninggalan nenek moyang kita.

“Mungkin panel juri melihat kerelevanannya dalam konteks pembangunan yang semakin pesat masa kini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Pelajar ijazah sarjana jurusan Seni Bina, Universiti Malaya itu merupakan wakil kedua negara yang terpilih untuk menyertai pertandingan tersebut setelah memenangi Anugerah Pereka Muda peringkat kebangsaan sebelum itu.

Kedua-dua mereka bersaing dengan 500 peserta daripada 13 negara di seluruh Asia. Mereka perlu mempersembahkan projek rekaan masing-masing sebelum dianugerahkan gelaran Pereka Muda Asia.

Negara-negara yang bertanding termasuklah Bangladesh, China, Hong Kong, Taiwan, India, Indonesia, Iran, Jepun, Pakistan, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam.

Nasib menyebelahi Wai How dan seorang lagi wakil negara, Shahmeena Labeeb, 27, apabila projek rekaan mereka berjaya menambat hati juri seterusnya berjaya membawa pulang wang tunai AS$5,000 (RM19,388).

Projek rekaan Wai How berjudul War Museum-Extension of Tugu Negara menampilkan enam galeri tematik yang menggabungkan cahaya, bayang-bayang dan tekstur dengan mengekalkan landskap semula jadi tanpa mengganggu ciri-ciri tugu asal.

Resipi kejayaan

Berbicara mengenai kelebihan yang dimiliki, Wai How memberitahu, usaha gigih tanpa mengenal erti putus asa menjadi resipi kejayaannya.

“Saya selalu beranggapan bahawa orang lain lebih baik daripada saya. Ia menyebabkan saya sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik.

“Walaupun seringkali gagal, saya tidak sesekali menyerah kalah. Saya cuba memperbaiki kekurangan diri dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Katanya, dia mencuba nasib kali pertama untuk menyertai pertandingan itu pada tahun 2010 tetapi terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Namun, anak bongsu dari dua adik-beradik itu tetap tidak berputus asa dan menyertai beberapa pertandingan lain dengan mengetengahkan projek yang lain.

Walaupun tidak memperoleh sebarang pencapaian, Wai How optimis dan mula mencari jalan menambah baik idea penghasilan projek.

Dia mengambil keputusan untuk menggunakan projek tesis ijazah sarjana dengan menyertai pertandingan Anugerah Pereka Muda peringkat kebangsaan setelah mendapatkan pandangan daripada penyelia.

“Ketika mempersembahkan idea itu, saya gugup dan semuanya seperti tidak kena sehingga panel hakim meminta saya bertenang.

“Saya bersyukur meskipun tidak yakin dengan diri tetapi panel hakim memahami idea yang diketengahkan dan memilih saya untuk mewakili negara bertanding di peringkat Asia,” katanya.

Potensi diri

Tidak mahu berakhir di situ, dia berazam untuk mendapatkan Lesen Seni Bina Bahagian 3 dalam usaha mengembangkan lagi potensi diri sebagai arkitek yang berjaya kelak.

Sementara itu, Shahmeena yang memenangi Anugerah Pereka Muda Asia bagi kategori reka bentuk dalaman memilih isu kemerosotan jumlah populasi lebah di seluruh dunia sebagai ilham untuk menghasilkan projeknya iaitu Plan Bee-City Beekeeping.

Siswazah Universiti Taylor itu menggunakan kawasan terbiar di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur sebagai tapak projek dengan menggabungkan elemen rekaan sarang lebah.

Anak bongsu daripada empat adik-beradik itu memberitahu, projeknya bertujuan untuk memulihara populasi lebah yang merosot dengan mewujudkan ekosistem yang lebih berdaya tahan dan komersial.

“Sesuatu pembangunan itu perlu menitikberatkan ekosistem yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Tanpa ekosistem yang berdaya tahan, sesebuah pembangunan itu tidak akan mampan,” ujarnya.

Penuntut jurusan Seni Bina Dalaman itu memberitahu, terdapat pelbagai manfaat yang akan diperoleh menerusi projek rekaan tersebut khususnya masyarakat setempat.

“Paling utama, projek ini membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor pertanian selain menambah pendapatan kepada pengusaha madu.

“Produk-produk berasaskan madu yang dijual bukan sahaja menjana keuntungan kepada pengusaha runcit bahkan kepada mereka yang menjual madu lebah,” katanya.

Shahmeena berkata, dalam konteks alam semula jadi pula, lebah dan pendebungaan amat diperlukan bagi pembangunan lestari dan perubahan iklim.

Justeru, Shahmeena menegaskan, pemuliharaan kepelbagaian jumlah lebah amat penting dalam usaha menjamin bekalan sumber makanan berterusan.