Maka tidak hairanlah, ratusan peserta dari 100 buah universiti seluruh dunia berkampung di Qatar National Convention Center pada 11 hingga 22 Mac lalu bagi menyertai Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa (IUADC) ke-5.

Antara yang mewakili Malaysia pada IUADC 2019 ialah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Pada pertandingan debat itu, pendebat USIM, mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai johan.

Bertanding dalam kategori Bukan Penutur Asal Bahasa Arab, pendebat USIM beraksi cemerlang pada peringkat saringan apabila menewaskan pasukan debat daripada University of Utah, (Amerika Syarikat); University of Kerala (India); University New York (Amerika Syarikat); Islamic University of Maldives (Maldives) dan European Institute of Human Science (Jerman).

Pendebat bahasa Arab USIM dibarisi oleh Muhammad Muzakkir Ahmad Dali, Adam Fikry Bakru Razi, Siti Hamidah Hashim dan Suwaibah Mustapha.

Muhammad Muzakkir dan Adam ialah penuntut jurusan Undang-Undang dan Syariah manakala Hamidah dan Suwaibah mengambil jurusan Bahasa Arab.

Ketua kumpulan pasukan USIM, Muhammad Muzakkir, 22, berkata, USIM mengesahkan kemaraan ke pentas akhir apabila menewaskan pendebat daripada Meridian Atuluku University (Turki) pada peringkat separuh akhir sebelum cemerlang di pentas akhir dengan mengalahkan pendebat University Calgary (Kanada) untuk muncul sebagai johan.

Sasaran

“Sejujurnya kami tidak menyangka bergelar juara di pertandingan ini kerana sasaran awal hanyalah separuh akhir.

“Namun, rezeki berpihak kepada kami apabila saya dan rakan seperjuangan berjaya mengekalkan momentum persembahan dan fokus pada setiap pertandingan dari peringkat awal sehingga akhir,” katanya ketika ditemui Genk di USIM baru-baru ini.

Katanya, kejayaan itu juga dapat menebus kekecewaan USIM apabila hanya merangkul naib johan dalam pertandingan sama pada 2017.

Menurut pelajar yang berasal dari Johor itu, perdebatan paling sukar oleh pihak USIM adalah sewaktu di separuh akhir apabila bertemu dengan Turki.

“Memberi kelebihan kepada mereka kerana perdebatan dalam bahasa Arab. Biarpun kami tidak selancar pihak lawan, namun dalam perdebatan bukan bergantung kelancaran bercakap semata-mata tetapi cara berhujah dan idea bernas adalah kuncinya.

“Tekanan itu memang ada tetapi kami dapat mengawalnya hasil latihan intensif individu dan berkumpulan, pembacaan, pertandingan debat persahabatan serta pengalaman menyertai pertandingan sebelum ini,” ujar Muhammad Muzakir yang telah menyertai hampir 15 pertandingan bahasa Arab.

Sebagai juara, pendebat USIM menerima hadiah berupa piala dan sijil penghargaan daripada penganjur iaitu Qatar Debate.

Malaysia meraih kejayaan berganda apabila dua pendebat USIM iaitu Muhammad Muzakkir dan Suwaibah masing-masing tersenarai sebagai pendebat di ranking pertama dan kedua keseluruhan.

Bagi Suwaibah, 20, dia tidak menyangka diumumkan sebagai pendebat ranking kedua kerana saingan dari negara Turki malah pada separuh akhir untuk mengalahkan Universiti Maldive sangat sengit.

“Biarpun sedikit gementar, pengalaman saya berkongsi pentas bersama wakil-wakil seluruh negara amat membanggakan.

Berkat doa

“Pertandingan ini merupakan platform terbaik untuk peserta bertukar fikiran bersama-sama kumpulan yang mencintai bahasa Arab,” ujarnya.

Menurut Suwaibah, rahsia kejayaan adalah berkat doa daripada ibu bapa dan solat hajat, selain sokongan rakan terdekat yang banyak membantu tugasan kuliah, termasuk jurulatih, Ahmad Norsyafwan Norwavi.

“Saya berharap rakan yang lain menjadikan kejayaan ini sebagai inspirasi untuk mempelajari bahasa Arab yang indah dan tidak rugi jika mendalaminya,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Norsyafwan memberitahu, ia merupakan satu kejayaan manis buat USIM.

“Diharapkan kejayaan ini akan menyuntik semangat kepada pelajar yang lain supaya dapat mengekalkan momentum sebegini dalam mana-mana pertandingan,” tuturnya.