Persembahannya merangkumi adunan lakonan, nyanyian, tarian dan alunan muzik daripada peralatan khas seperti semborong, gong, serunai dan cerek.

Sepertimana persembahan mak yong yang popular di Kelantan, persembahan mek mulung mempunyai adat dan kaedah pementasannya yang tersendiri.

Pementasannya dibahagikan kepada beberapa bahagian yang dipanggil senoh dan pertukaran adegan dalam kisah yang disampaikan ditandai dengan nyanyian beramai-ramai.

Aspek lakonannya pula berbentuk naratif yang dijalankan oleh Pak Mulung. Peranannya seakan-akan tok dalang dalam persembahan wayang kulit, namun perbezaannya adalah Pak Mulung turut berlakon dalam sesebuah pementasan mek mulung.

Tradisi ‘bermain’ mek mulung dilihat semakin merosot dek keterbatasannya yang hanya dipentaskan oleh segelintir kecil pewaris keseniannya dari mukim Wang Tepus, Jitra, Kedah.

Selain itu, faktor naskhah pementasannya yang berkisar sejumlah kisah yang sama, watak yang serupa, susunan muzik dan tariannya yang tidak banyak berbeza, mungkin menyukarkan mek mulung untuk diterima oleh khalayak arus perdana.

Namun, keterbatasan itu juga harus dilihat sebagai kekuatannya untuk terus dipelihara sebagai salah satu khazanah seni negara yang tetap mencerminkan nilai-nilai murni masyarakat Melayu.

Sebuah pementasan mek mulung bertajuk Hikayat Dewa Kaca telah dipentaskan di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pementasan yang dijayakan oleh para pelajar Pusat Kebudayaan UM daripada jurusan Tari, Muzik dan Drama ini telah diarahkan oleh penggiat seni tradisional, Zamzuriah Zahari.

Beliau yang merupakan pensyarah tari di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) lebih dikenali dalam arena pementasan mak yong. Namun, beliau juga merupakan antara individu yang banyak membantu mengetengahkan kembali kesenian mek mulung di negara ini.

Menariknya, pementasan Hikayat Dewa Kaca itu turut disertai oleh pelajar bukan Melayu.

Pelajar tahun akhir Pusat Kebudayaan UM, Danesh Raj Nagarajan telah diberi kepercayaan untuk membawakan watak Mak Inang Itam.

Lucu

Wataknya merupakan antara peranan terpenting di dalam pementasan itu kerana telatah Mak Inang Itam perlu dilihat bersahaja dan lucu, namun tetap menerapkan nilai-nilai yang murni dalam menjalankan tugasnya membesarkan si putera raja.

“Walaupun saya sudah lama serasi dengan persembahan kesenian Melayu, terutamanya tarian tradisional, namun peluang untuk menjayakan pementasan Hikayat Dewa Kaca ini tetap mendebarkan.

“Bukan sahaja kami perlu membawakan watak dengan baik, malah penjiwaan karakter yang berkisar kehidupan di istana Kedah kuno ini perlu dibawa dengan berhati-hati, demi memelihara keaslian seni mek mulung yang semakin dilupakan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kebudayaan Kanan, Pusat Kebudayaan UM, Aida Nurul Ain Abdul Rahman memaklumkan, masa depan seni tradisi tempatan seharusnya dijaga, demi kelestariannya dalam membina nilai-nilai kemanusiaan yang murni dalam masyarakat Melayu.

“Usaha pementasan Hikayat Dewa Kaca ini dilihat selari dengan wawasan Pusat Kebudayaan UM dalam memartabatkan elemen kesenian dan kebudayaan tempatan.

“Bersama-sama menora, mak yong, wayang kulit, dan hadrah, mek mulung seharusnya diangkat sama tinggi sebagai salah sebuah bentuk teater tradisi Melayu untuk dipelihara,” ujarnya.

Kata Aida lagi, kelangsungan kesenian mek mulung secara tidak langsung membuktikan budaya Melayu itu sebenarnya penuh adab dan sopan dan sentiasa menjaga hubungan antara individu.

Dalam pada itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bakal mengadakan sebuah pementasan mek mulung bertajuk Hikayat Puteri Duabelas Beradik.

Ia akan diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC), Kuala Lumpur pada 17 hingga 19 Ogos 2018 dengan menampilkan pelakon dan penggiat teater terkenal tanah air serta pelajar-pelajar UM. Orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan persembahan hebat berkenaan.