Namun, berbeza dengan Richelle Yuxian Khor apabila cuti persekolahannya dikorbankan dengan membuat pelbagai persiapan untuk melayakkan diri ke Cabaran Perdagangan Antarabangsa Serantau FedEx Express/Junior Achievement kali ke-12 (FedEx/JA ITC) yang akan berlangsung pada Ogos depan di Singapura.

Sebelum itu, pada peringkat Cabaran Perdagangan Antarabangsa Malaysia yang berlangsung sejak April lalu, sebanyak 10 sekolah di sekitar Lembah Klang terpilih untuk memasuki ujian saringan. Hanya pasukan di tiga tempat terbaik dipilih ke peringkat akhir.

Menurut Yuxian Khor, persiapan teliti perlu dilakukan kerana bukan mudah ingin memasuki pertandingan antarabangsa berkenaan lebih-lebih lagi apabila sembilan kumpulan lain yang turut bertanding merupakan pelajar yang hebat dan berbakat besar.

“Disebabkan ia merupakan pertandingan yang pertama kali saya sertai, jadi saya dan rakan sekumpulan iaitu Ng E-Shuen mahu melakukan persembahan projek kami dengan sebaik mungkin. Kami tidak kisah apabila perlu berkorban masa kerana kami tahu ia berbaloi.

Produk

“Kumpulan kami dinamakan Oishi Fascination. Kami membawakan produk Kantan’na Niku iaitu sambal segera Bak Kut Teh,” katanya ketika ditemui pada majlis pemilihan tiga kumpulan pelajar yang layak ke Cabaran Perdagangan Antarabangsa Serantau FedEx/JA ITC 2018 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengorbanan dan usaha Yuxian Khor dan E-Shuen berbalas apabila mereka yang mewakili sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seafield, Subang Jaya telah terpilih ke peringkat akhir.

Pada pertandingan itu, Yuxian Khor bersama rakannya dikehendaki membentangkan usul nilai yang unik bagi produk mereka, strategi penentuan harga, pelan pemasaran, pilihan kemasukan pasaran, saluran jualan dan edaran.

“Kantan’na Niku dihasilkan berdasarkan kajian kami terhadap penduduk di Jepun yang amat sibuk dan sentiasa mahukan sesuatu yang mudah untuk dimakan lebih-lebih lagi dalam waktu yang singkat seperti makan tengah hari.

“Seiring dengan tema pertandingan ini yang mahukan kami memasarkan produk ke Jepun, maka kami rasakan ia adalah produk terbaik untuk penduduk di negara Matahari Terbit berkenaan,” ujarnya.

Mesra alam

Dalam pada itu, dua buah kumpulan lagi yang layak ke pertandingan akhir ialah Unbeatable juga dari sekolah SMK Seafield, Subang Jaya iaitu diwakili oleh Lucius Khor Zhe Yi dan Teng Zhen Fa.

Sebuah lagi kumpulan ialah Kooleme dari SMK Bandar Utama Damansara (3), Petaling Jaya yang diwakili oleh Poi Shie Xian dan Leong Yiq Zhenn. Kesemua pelajar itu berusia 16 dan 17 tahun.

Kumpulan Kooleme menghasilkan produk bekas pemanas makanan yang mesra alam manakala Unbeatable menghasilkan makanan penggalak tenaga (energy booster) jenis mochi dikenali Monkey’s Wrench yang kaya dengan sumber utamanya iaitu pisang.

Salah seorang ahli kumpulan Kooleme, Shie Xian ternyata gembira apabila kumpulannya berjaya melayakkan diri ke pertandingan akhir selepas berhempas pulas berlatih.

“Terlalu banyak perkara yang saya belajar melalui pertandingan ini. Jika sebelum ini saya tidak tahu apakah itu pasaran sasaran bagi sesebuah produk, kini saya lebih memahaminya. Ia pengalaman yang sungguh menakjubkan.

“Sebaik mengetahui kumpulan layak ke Singapura, kami nekad membuat persediaan yang lebih terperinci seperti berlatih bercakap dengan lebih lancar,” tuturnya sambil tertawa kecil.

Global

Tiga pasukan yang menang itu dipilih atas ketelitian penyelidikan pasaran, pelan kemasukan pasaran, daya kreativiti dan kemahiran keusahawanan mereka dalam menembusi pasaran baharu.

Pada peringkat itu, pemilihan dilakukan oleh empat orang juri.

Mereka ialah Pengarah Urusan FedEx Express, S. C. Chong; Ketua Pegawai Eksekutif ChristyNg.com, Christy Ng; Ketua Pegawai Kewangan merangkap Ketua Pegawai Operasi Universiti dan Kolej Antarabangsa INTI, Tan Lin Nah dan Timbalan Naib Presiden Universiti Upper Iowa, Kalai Ponniah.

Sementara itu, guru sekolah SMK Bandar Utama Damansara (3), Noor Zaida Mohd. Zairi pula berkata, pelajar memperuntukkan masa, tenaga dan sepenuh hati terhadap projek yang dibangunkan. Semuanya kerana sifat ingin tahu dan ingin mempelajari tentang perdagangan global.

Tuturnya, kedua-dua pelajarnya iaitu Shie Xian dan Yiq Zhenn sering bertanya tentang apa-apa sahaja yang mereka tidak faham.

“Kadangkala saya terpaksa korbankan masa kerana perlu mengajar pelajar di dalam kelas dan pada masa sama memantau projek yang dijalankan oleh kumpulan Kooleme.

“Saya sebagai guru mestilah membantu mereka selagi pelajar itu sendiri mahu meneruskan pertandingan ini.

“Nampaknya, pada peringkat akhir nanti, kami perlu lebih berusaha demi memastikan salah satu daripada kumpulan ini berjaya. Ini kerana mereka bukan sahaja membawa nama sekolah malah turut membawa nama baik Malaysia,” jelasnya.

Dua pasukan dari SMK Bandar Utama Damansara 3, Petaling Jaya dan sebuah dari SMK Seafield akan mewakili Malaysia ke Cabaran Perdagangan Antarabangsa Serantau FedEx Express/Junior Achievement kali ke-11 di Singapura, Ogos depan.