Menyedari hakikat itu, Kelab Eleventh Volunteer iaitu Sekretariat Sukarelawan Siswa Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Kesebelas, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Jalinan Kasih @ Kampung Orang Asli Sungai Gabai, Hulu Langat Selangor baru-baru ini.

Program yang berlangsung buat julung-julung kali itu melibatkan 46 orang mahasiswa yang mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPM.

Program selama sehari itu dirangka khusus bagi menerapkan minat dan memupuk semangat anak-anak Orang Asli dari suku Temuan dalam menuntut ilmu di samping menyumbang bakti kepada masyarakat.

Cakna

Salah seorang peserta, Nur Afifah Ngasri, 21, berkata, program itu dapat memupuk sikap cakna seseorang mahasiswa terhadap isu semasa dalam masyarakat sekeliling.

“Mahasiswa memainkan peranan penting untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat terutamanya dalam aspek pendidikan.

“Program seperti ini menjadi platform untuk menzahirkan rasa prihatin dan cakna dalam kalangan mahasiswa berhubung isu semasa yang berlaku,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Nur Afifah berkata, program Jalinan Kasih @ Kampung Orang Asli itu mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan Orang Asli.

“Program ini bukan sahaja disertai oleh kanak-kanak tetapi ibu bapa turut mengambil peluang untuk mempelajari asas-asas membaca.

“Kami bukan sahaja berpeluang mengajar kanak-kanak tetapi dapat mengaplikasikan ilmu yang ada kepada orang dewasa,” ujarnya.

Menurut Nur Afifah, pelbagai program lain turut dijalankan termasuk ceramah kebersihan, sukaneka dan gotong-royong membersihkan kampung bagi mengeratkan ukhuwah sesama masyarakat.

“Kesemua aktiviti yang dijalankan memberi ruang kepada mahasiswa untuk mendekati masyarakat Orang Asli dengan lebih dekat lagi seterusnya dapat menyelami isi hati mereka.

“Ia menjadi batu loncatan untuk golongan muda menyumbang sesuatu kepada pembangunan masyarakat khususnya mereka yang memerlukan perhatian,” jelasnya lagi.

Terapi

Sementara itu, Pengarah Projek, Siti Bassyirah Ibrahim, 23, berkata, pihaknya terpanggil untuk menganjurkan program itu kerana terdapat ramai anak-anak Orang Asli yang tidak mendapat pendidikan di sekolah.

“Masih ramai anak Orang Asli yang tidak mempunyai sijil kelahiran sehingga menyebabkan ibu bapa tidak boleh menghantar mereka ke sekolah.

“Justeru, kami rasa mereka perlu diberi kesedaran berkaitan kepentingan menuntut ilmu bagi memastikan masa depan yang lebih terjamin,” jelasnya.

Menurut Siti Bassyirah, perancangan yang teliti dan kerjasama daripada semua pihak menyumbang kepada kejayaan program itu.

“Kami mengambil masa selama tiga minggu untuk merancang program ini dengan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak.

“Tinjauan awal juga telah dilakukan di kawasan perkampungan Orang Asli bagi melihat sendiri keadaan di sana. Perbincangan bersama Tok Batin dibuat bagi memastikan aktiviti program memenuhi keperluan golongan sasaran,” katanya.

Bagi S. Suganthi, 22, dia melihat peluang membantu kanak-kanak Orang Asli dalam pembelajaran sebagai salah satu cara terapi menenangkan fikiran daripada pembelajaran.

“Saya begitu teruja melihat mereka menunjukkan minat untuk mempelajari sesuatu yang baharu dalam hidup mereka. Ia menjadi satu terapi untuk diri saya menenangkan fikiran.

“Pada masa sama, saya juga dapat memberi motivasi kepada kanak-kanak ini supaya belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading,” katanya.

Menurut Suganthi, minatnya untuk menyertai program itu didorong oleh perasaan tanggungjawab menyumbang kepada masyarakat Orang Asli.

“Sudah menjadi tanggungjawab seorang mahasiswa untuk berkhidmat kepada masyarakat dan menyedarkan mereka tentang kepentingan pendidikan.

“Program ini berjaya melatih saya untuk turun padang, mendekati masyarakat Orang Asli dan berkongsi ilmu yang ada bersama mereka,” tambahnya lagi.