Namun begitu, bagi beberapa orang penuntut yang mengikuti kursus persediaan pengajian ke luar negara di Kolej INTEC, Malaysia tetap menjadi pilihan utama untuk menyumbang khidmat bakti setelah tamat pengajian kelak.

Bagi salah seorang penuntut Kumpulan Teknikal Jepun (KTJ) INTEC, Ammar Asnawi Badruddin, 20, dia ingin menyumbang dalam bidang pendidikan negara suatu hari nanti sekiranya diberikan peluang.

Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu berkata, impiannya untuk berhijrah dan menimba ilmu di negara Matahari Terbit sudah ditanam sejak kecil lagi.

“Saya memang bercita-cita untuk ke Jepun sejak kecil lagi. Saya mendapat tawaran Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mengikuti kursus ini setelah memperoleh keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu 10A.

“Walaupun kedua-dua ibu bapa saya adalah pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, namun mereka tidak menghalang, sebaliknya memberi galakan dan sokongan supaya saya berusaha sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di INTEC baru-baru ini.

Ammar Asnawi berkata, INTEC membantu mempersiapkan dirinya sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Jepun kelak.

“Semua subjek yang diambil iaitu Fizik, Kimia dan Matematik diajar dalam bahasa Jepun oleh pensyarah-pensyarah dari negara berkenaan,” kata jejaka yang berasal dari Gombak, Selangor itu.

Walaupun agak sukar pada permulaannya tetapi Ammar Asnawi berkata, dia tidak pernah mengenal erti putus asa dalam mendalami bahasa tersebut.

Jelasnya, dia tidak hanya bergantung pada pembelajaran di bilik kuliah semata-mata, sebaliknya turut meningkatkan pemahaman menerusi pembelajaran kendiri iaitu internet.

Selain itu, bekas pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Istana, Banting itu berkata, dia turut menyertai pelbagai program yang dianjurkan termasuk Festival Bahasa Jepun.

Sambung pengajian

“Melalui penguasaan bahasa Jepun, saya yakin dapat mengaplikasikannya nanti apabila menyambung pengajian di sana, seterusnya menyumbang dalam bidang pendidikan negara dengan mengajar mereka yang berminat untuk mendalami bahasa asing berkenaan,” ujarnya.

Begitu juga dengan Najwa Farhana Baharuddin, 20, yang mengikuti kursus A-Level di INTEC berkata, dia bercita-cita untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia sejak di bangku sekolah lagi.

Najwa Farhana yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Rahimah, Klang itu memperoleh 9A dalam SPM.

“Ibu bapa sebenarnya menyarankan saya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan tetapi saya kurang berminat. Saya lebih minat untuk mendalami bidang kejuruteraan kimia. Justeru, saya membuat keputusan untuk mengikuti A-Level sebelum menyambung pengajian di Britain.

“Suatu hari nanti saya berharap dapat menjadi pakar kejuruteraan kimia dan menyumbang kepada pembangunan negara dalam bidang tersebut,” jelas anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik itu.

Sementara itu, Anis Nur Athirah Ahmad Sukari, 19, yang mengikuti kursus South Australia Certificate of Education (SACE) dalam bidang perakaunan berkata, dia mahu mengaut sebanyak mungkin pengalaman apabila menyambung pengajian di Australia, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara kelak.

“Australia kaya dengan budaya dan sistem pendidikannya diperakui sebagai antara yang terbaik. Saya mahu menimba sebanyak mungkin pengalaman di sana dan menyumbang kembali kepada negara,” kata gadis yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu.

Tanggungjawab

Anis Nur Athirah memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM iaitu 10A dan merupakan bekas pelajar Kolej Tunku Kursiah, Seremban, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Anis Nur Athirah berkata, dia mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan apabila diberi kepercayaan menjadi salah seorang pemegang biasiswa Yayasan Tenaga Nasional.

“Saya mahu membuktikan bahawa orang Melayu juga mampu menjadi ahli profesional dalam bidang perakaunan. Ia tidak mudah tetapi dalam hidup tiada satu pun yang mustahil untuk dicapai.

“Paling penting, usaha dan tidak pernah mengenal erti putus asa,” ujar anak keempat daripada lima orang adik-beradik itu.

Bagi Anis Nur Athirah, walaupun ibu bapa dan adik-beradiknya berkecimpung dalam bidang perubatan, namun dia tidak berhasrat untuk mengikuti jejak langkah mereka.

“Mereka adalah sumber inspirasi saya untuk berjaya dalam hidup tetapi saya ingin mencuba sesuatu yang lain,” jelasnya.

Menepis stigma sesetengah masyarakat yang menyatakan bahawa bidang perakaunan terlalu sukar untuk dikuasai, Aminah Muti’ah Mohd. Nasir berkata, akaun bukan semata-mata mengenai angka tetapi lebih daripada itu.

“Ya, sebahagiannya adalah mengenai angka, namun ia lebih kepada kaedah kita menginterpretasikan angka tersebut untuk menambah baik kedudukan sesebuah organisasi atau syarikat,” kata gadis yang berasal dari Temerloh, Pahang itu.

Aminah Muti’ah yang mengikuti kursus Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di INTEC tidak menafikan kurangnya bumiputera yang menjadi akauntan bertauliah.

Bakti

“Saya tidak tahu secara terperinci mengenai industri perakaunan, namun kebiasaannya dalam sesebuah syarikat kita dapati terlalu kurang akauntan bumiputera.

“Justeru, memandangkan kita memerlukan lebih ramai akauntan bumiputera, tidak salah untuk saya menyumbang bakti membantu negara mencapai status sebuah negara berpendapatan tinggi,” ujarnya.

Menurut Aminah Muti’ah, pengalaman yang diperoleh sepanjang mengikuti kursus ACCA sedikit sebanyak membantunya sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Belia adalah aset penting yang perlu digembleng sebaiknya kerana mereka mempunyai aura dan kuasa yang mampu menentukan jatuh bangun pembangunan negara.