Mereka tidak kisah berkorban masa dan tenaga semata-mata untuk meraih kejayaan pada pertandingan berprestij itu.

“Dalam tempoh tiga bulan sebelum pertandingan, masing-masing menunjukkan komitmen yang luar biasa semata-mata untuk menyiapkan kereta solar ini.

“Kami sanggup berkorban waktu tidur, terutamanya tiga bulan terakhir sebelum pertandingan. Kadang-kadang hingga ke Subuh dan datang semula ke tapak projek selepas dua tiga jam berehat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Usaha mereka berbaloi apabila sebagai wakil tunggal Malaysia, pasukan solar UiTM EcoPhoton sekali lagi berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia baru-baru ini.

Kereta lumba solar yang diberi nama Tuah itu menggunakan empat meter persegi panel solar telah mencipta rekod Malaysia apabila berjaya sampai ke garisan penamat sehari lebih awal.

Pertandingan tersebut yang bermula pada 8 Oktober hingga 15 Oktober lalu turut disertai 46 pasukan lain dari 24 buah negara seluruh dunia.

Perjalanan yang mengambil masa tujuh hari merentasi kawasan pedalaman Australia itu memerlukan setiap pasukan melaporkan diri di sembilan hentian kawalan iaitu di Katherine, Daly Waters, Tennant Creek, Barrow Creek, Alice Springs, Kulgera, Coober Pedy, Glendambo dan Port Augusta.

Bagaimanapun, UiTM EcoPhoton berjaya menamatkan perlumbaan itu sehari lebih awal iaitu pada 14 Oktober sekitar pukul 11. 20 pagi.

Mereka tiba di garisan penamat di Victoria Square City of Adelaide setelah melalui jarak perjalanan sejauh 623 kilometer.

Pasukan tersebut berlepas pada 8 Oktober dari Darwin, Australia. Jelas Amirul Farhan, penglibatan dalam pertandingan tersebut banyak mengajar pelbagai perkara baharu dalam hidupnya.

“Di sini, kami belajar untuk menambah ilmu di luar konteks kuliah kerana tidak semua hal boleh didapati menerusi pembelajaran.

Komunikasi

“Saya berjaya mengaplikasikan segala yang dipelajari menerusi pertandingan ini, malah telah menambah pengetahuan yang mendalam mengenai Kejuruteraan Mekanikal,” tambahnya.

Amirul Farhan mengakui bahawa penglibatannya dalam Pertandingan Solar Dunia Bridgestone 2017 turut mengasah kemahiran komunikasinya.

“Saya lebih yakin untuk melontarkan idea, pandangan dan kritikan. Malah, saya juga dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan baik berbanding sebelum ini,” ujarnya yang kali pertama menyertai pasukan UiTM EcoPhoton.

Selain itu, Amirul Farhan berkata, dia dan rakan-rakannya kini lebih mahir dalam mengendalikan sesebuah kumpulan.

“Cabaran dalam sesebuah kumpulan adalah masalah. Jadi, di sini kita banyak belajar kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah dengan cara berbincang.

“Ia menjadikan saya lebih matang dan bijak mengendalikan masalah walaupun rumit untuk diselesaikan,” jelasnya lagi.

Sementara itu, seorang lagi ahli pasukan UiTM EcoPhoton, Ahmad Aizat Hussin, 24, berkata, penglibatannya dalam pasukan UiTM EcoPhoton memerlukannya berfikir di luar kotak dan lebih kreatif.

“Saya dilatih untuk sentiasa berfikir di luar kotak kerana terdapat pelbagai masalah yang berkemungkinan besar akan timbul daripada setiap keputusan yang diambil.

“Di samping itu, untuk menghasilkan sebuah kereta solar memerlukan seseorang itu kreatif kerana ia melibatkan kemahiran teknikal yang sangat mencabar,” katanya.

Tajaan

Menurut salah seorang ahli pasukan yang juga bekas pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Wan Akmal Hisyam Zainal Abidin, 24, berkata, dia berpeluang menambah kenalan selepas menyertai pertandingan itu.

“Saya berpeluang menambah kenalan dengan rakan-rakan pasukan yang lain. Saya banyak mengambil ilmu daripada mereka dan ini adalah peluang yang terbaik untuk berkongsi pengalaman masing-masing,” jelasnya.

Pengurus Projek UiTM EcoPhoton, Ungku Muhammad Zulhimli Ungku Zakaria berkata, penyertaan pasukannya ke pertandingan antarabangsa itu dianggap sebagai cabaran untuk mengharumkan nama negara di mata dunia.

Katanya, pertama kali UiTM Eco Photon menyertai perlumbaan yang sama adalah pada tahun 2015 dan berjaya meraih anugerah David Fewchuck Spirit of the Event.

“Justeru, kali ini kami membuat keputusan untuk menyertai kategori Challenger yang menfokuskan kepantasan masa,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Ungku Muhammad Zulhilmi, pasukannya banyak mengkaji segala kelemahan pada penyertaan kali pertama sebagai penambahbaikan bagi menghadapi pertandingan tersebut.

“Kami agak ketinggalan pada pertandingan sebelum ini kerana kekurangan teknologi canggih berbanding pasukan-pasukan lain.

“Oleh itu, kali ini kami menambah baik beberapa kekurangan itu termasuklah penggunaan teknologi bagi memastikan misi yang ditetapkan berjaya dicapai,” ujarnya.

Pasukan UiTM EcoPhoton mendapat tajaan utama daripada UiTM Holdings bagi menyertai Pertandingan Solar Dunia Bridgestone 2017.

Ketua Sektor Tenaga dan Fasiliti UiTM Holdings, Datuk Chairil Nazri Ahmad berkata, pihaknya sentiasa menyokong segala usaha untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia.

“Kita mengambil keputusan untuk membiayai kos fabrikasi kereta solar, operasi, pengangkutan dan logistik pasukan UiTM EcoPhoton setelah melihat kesungguhan mereka menjalankan persediaan menghadapi pertandingan tersebut.

“Memandangkan UiTM Holdings mempunyai anak syarikat UiTM Solar Power Sdn. Bhd. yang kini sedang membina loji janakuasa, justeru kita ingin melihat teknologi solar mampu menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Luar biasa

Menurut Chairil Nazri, pembabitan pasukan UiTM Ecophoton membuktikan bahawa penuntut UiTM juga mempunyai kebolehan luar biasa yang patut diketengahkan bakat mereka.

Bagi Chairil Nazri, penglibatan penuntut-penuntut UiTM ini adalah selaras dengan Pelan Induk Teknologi Hijau Negara untuk meningkatkan keupayaan inovasi dalam pembangunan teknologi hijau dan daya saing pada peringkat antarabangsa.

Pertandingan Solar Dunia Bridgestone 2017 diadakan sejak tahun 1987 dengan kerjasama Suruhanjaya Pelancongan Australia Selatan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu Challenger yang menentukan pasukan solar terpantas, Cruiser yang memberi tumpuan kepada kecekapan dan praktikal kereta solar serta Adventure berkonsepkan pemanduan santai.