Sambil duduk dan beralaskan paha, wanita berusia 29 tahun itu tekun melukis gambar seorang wanita memakai gaun labuh yang bermotifkan hiasan bunga.

Tidak seperti pelukis lain, pemilik nama Lee Sin Yee atau nama komersialnya, Vivian Lee itu menghasilkan lukisan dengan menggunakan bahan asas iaitu biji kopi.

Walaupun kedengaran agak janggal, namun medium itulah yang digunakannya sejak aktif melukis pada tahun 2014.

Menurut anak kelahiran Sungai. Buloh, Kuala Lumpur itu, kopi yang digunakannya tersebut berfungsi sama seperti catan air yang sering digunakan oleh pelukis-pelukis lain.

“Cuma saya menggunakan kopi kerana merasakannya ia unik selain boleh tahan lama jika dijaga dengan baik.

“Malah, menggunakan kopi juga dapat menghasilkan tona warna berbeza-beza sehingga mampu membangkitkan rupa sebenar subjek yang dilukis,” terangnya ketika ditemui Kosmo! di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sambil membetulkan kedudukan kerusinya, Vivian Lee memaklumkan, idea untuk menggunakan kopi sebagai medium di dalam lukisannya timbul berdasarkan minatnya terhadap kopi dan dunia seni.

Barista

Jelasnya, rasa cintanya terhadap kopi dan seni begitu kuat sehingga dia sanggup mengambil dua diploma dalam jurusan berkaitan.

Vivian Lee memiliki Diploma Multimedia Reka Bentuk daripada Kolej Tunku Abdul Rahman dan Diploma Ilustrasi daripada Akademi Seni Dasein. Kedua-dua pusat pembelajaran berkenaan terletak di Kuala Lumpur.

Disebabkan meminati kopi, Vivian Lee pernah bercita-cita untuk menjadi seorang barista.

“Begitupun, peluang menjadi pelukis tiba dahulu dan disebabkan tidak mahu mensia-siakan kesempatan yang baik itu, saya menerimanya dengan gembira sekali.

“Malah, tidak disangka-sangka idea menggabungkan kopi dan lukisan ini begitu berbaloi kerana diterima ramai dan mendapat sokongan daripada masyarakat,” jelasnya kegembiraan.

Tutur Vivian Lee lagi, apa yang lebih menggembirakannya, dia sering mendapat jemputan untuk mengadakan pameran lukisan di luar negara.

Antara pameran dan ekspo yang pernah disertainya adalah Ekspo Kopi Antarabangsa di Melbourne, Australia; Ekspo Makanan dan Kopi di Changi, Singapura; Tapseac Art Fair di Macau, China; Pameran Kafe di Seoul, Korea dan banyak lagi.

Hangus

Tidak ketinggalan acara dan program berkaitan kopi di Malaysia seperti I Love Coffee & Tea di Midvalley, Kuala Lumpur; Festival Kopi dan Manisan di Pulau Pinang dan pameran Kafe & Bakeri di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (PWTC).

Malah, apa yang lebih membanggakan anak kedua daripada tiga beradik itu, dia pernah mengadakan pameran solo dengan mempamerkan karya-karya lukisannya di Galeri Seni Grandezz, EcoWorld, Selangor pada Mei 2017.

Bercerita lanjut tentang cara menghasilkan tona warna daripada biji kopi, Vivian Lee teruja menjelaskannya.

“Mula-mula saya akan mengambil beberapa biji kopi mengikut keperluan untuk dikisar menjadi halus dan hancur. Jumlah pengambilan biji kopi bergantung pada lukisan.

“Jika saya ingin menghasilkan lukisan lebih besar dan permukaannya luas, saya akan mengambil lebih banyak biji kopi,” terangnya yang mempunyai pembekal kopi tersendiri.

Kopi yang digunakan pula adalah jenis kopi hitam tradisional.

Sambung Vivian Lee, biji kopi yang sudah dihancurkan akan disangai sekitar satu jam sehingga hangus bagi mendapatkan serbuk kopi yang hitam dan pekat.

Jelasnya lagi, serbuk yang hitam dan pekat itu akan digunakan untuk mewarna lukisan. Serbuk itu akan dicampurkan bersama air bagi mendapatkan tona warna yang diinginkannya.

Jenama

“Setiap tona warna yang dihasilkan memberi impak berbeza pada lukisan. Walaupun medium asasnya adalah sama, namun sebenarnya ia dapat menghasilkan warna-warna yang berbeza.

“Pada saya, seseorang itu kena pandai mengolah sendiri campuran antara serbuk kopi itu dengan air. Pada mulanya memang agak susah namun lama-kelamaan akan pandai,” katanya yang mula melukis dan mewarna bersama biji kopi dengan menghasilkan lukisan karikatur.

Sebelum ini, Vivian Lee pernah bekerja sebagai pereka grafik selama setahun di sebuah syarikat swasta dan fesyen ilustrator separuh masa, namun mengambil keputusan untuk bergerak sendiri di bawah jenamanya, Vivian Lee Lees Art.

Menerusi jenama sendiri, dia lebih bebas bergerak dalam mengembangkan minatnya.

Sejak bergerak solo, Vivian Lee sering diundang untuk menghadiri pelbagai majlis seperti pelancaran produk, pembukaan butik dan acara kesukarelawan.

Katanya, bagi pelancaran produk, dia diundang untuk mengukir nama pada alat solek, kadbod atau melukis karikatur pelanggan.

“Lazimnya, saya akan dijemput untuk melukis momen-momen indah pelanggan sebagai simpanan dan kenang-kenangan.

“Selain melukis, saya juga boleh menulis tulisan kaligrafi dengan baik. Saya akan menulis nama mereka pada produk yang dilancarkan berkenaan,” tuturnya sambil memaklumkan, banyak kafe di ibu negara yang menjemputnya untuk melukis karikatur atau lukisan dengan menggunakan kopi.

Sehingga kini, Vivian Lee sudah menghasilkan beratus lukisan termasuklah gambar haiwan, bangunan, lokasi pelancongan, potret wajah dan bunga-bungaan.

“Ramai yang membeli lukisan saya untuk dihadiahkan kepada keluarga atau rakan-rakan, malah tidak kurang juga ada yang menyimpan untuk koleksi sendiri.

“Harga yang dijual bermula dari RM200 untuk saiz A4 sehingga mencecah ribuan ringgit bergantung pada saiz kertas dan subjek gambar,” jelasnya.

Vivian Lee pandai mengolah campuran antara serbuk kopi dan air sehingga mampu menghasilkan lukisan yang cantik, unik dan tahan lama.