Masing-masing memakai baju-T tanpa kolar dengan kasut sukan pelbagai warna.

Riak wajah mereka menunjukkan keterujaan. Barangkali, tidak sabar untuk mengatur langkah menyelesaikan cabaran ACCA Walk the Talk Treasure Hunt yang akan menguji mental dan fizikal mereka.

Program yang dianjurkan oleh ACCA itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan etika dan kemahiran profesional dalam kalangan bakal akauntan.

Sebanyak 21 pasukan yang terdiri daripada 84 orang penuntut institusi pengajian tinggi dan rakan-rakan kongsi majikan mengambil bahagian bagi merebut hadiah utama iaitu wang tunai bernilai RM4,000, sijil serta trofi.

Setiap pasukan perlu menempuh enam cabaran yang berkaitan dengan pembelajaran Modul Etika dan Kemahiran Profesional (EPSM) sebelum diberikan petunjuk untuk diselesaikan pada peringkat akhir.

Ia termasuklah aspek etika dan profesionalisme, keberkesanan peribadi, inovasi dan skeptisisme, kesedaran komersial, kepimpinan dan kerja berpasukan serta komunikasi dan kemahiran interpersonal.

Cabaran

Muhammad Aman Zakwan Salim, 20, yang mengikuti kursus ACCA di Kolej International Education Centre (INTEC) berkata, program berkenaan menjadi platform untuk meningkatkan kebolehpasarannya dalam industri kelak.

“Kritikal dan mencabar sekali. Para peserta perlu menyelesaikan cabaran yang disediakan secara beretika.

“Sebagai contoh, pada cabaran kelima peserta dikehendaki menyelesaikan kajian kes yang diberikan dan panel penilai akan meneliti sama ada ia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau sebaliknya,” katanya yang ditemui Kosmo! di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Anak sulung daripada dua beradik itu memberitahu, para peserta dituntut untuk berfikir secara kreatif dalam menyelesaikan kajian kes berkenaan.

“Peserta boleh saja mengambil jalan mudah dengan menipu tetapi ia bertentangan dengan etika kerja. Oleh itu, mereka terpaksa berfikir secara kreatif bagi menyelesaikannya.

“Begitu juga dalam konteks kerjaya ini kelak, mereka perlu bijak mengendalikan masalah tanpa perlu mengambil jalan mudah,” katanya lagi.

Bagi Khairun Nor Atiqah Zaidi, 20, program berkenaan menuntut para peserta mengaplikasikan teori yang diperoleh dalam dewan kuliah bagi menyelesaikan setiap misi yang ditetapkan.

Anak kelahiran Pekan, Pahang itu mengakui walaupun cabaran-cabaran tersebut hanya menguji pengetahuan asas dalam bidang perakaunan, namun ia memperlihatkan penguasaan pelajar terhadap silibus yang digubal.

“Kegagalan peserta untuk menyelesaikan soalan-soalan yang diberikan dengan betul menunjukkan tahap penguasaan mereka dalam silibus Perakaunan.

“Setiap soalan yang diberikan nampak mudah tetapi menguji keintelektualan peserta untuk memberikan jawapan secara kritikal,” katanya.

Anak bongsu daripada empat adik-beradik itu mengakui dia tidak dapat menjawab semua soalan yang diberikan dengan baik kerana terdapat beberapa isu yang masih baharu dan di luar pengetahuannya.

Isu-isu semasa

Bagaimanapun, penuntut kursus ACCA di INTEC itu tidak mahu berputus asa, sebaliknya akan memperbaiki kekurangan tersebut dalam memastikan dirinya memenuhi kehendak pasaran.

“Sebagai contoh cabaran keenam memerlukan kami untuk mengenal pasti berita yang benar dan palsu. Ia menguji pengetahuan am seseorang akan isu-isu yang berlaku di dalam negara.

“Di sini menyerlahkan lagi sikap bakal akauntan itu sama ada peka terhadap isu semasa atau sebaliknya,” katanya lagi.

Mengulas mengenai persediaannya sebelum menyertai ACCA Walk the Talk Treasure Hunt, Khairun Nor Atiqah berkata, pasukannya banyak menjalankan penyelidikan yang lebih mendalam mengenai enam modul Etika dan kemahiran Profesional (EPSM).

Malah, dia juga turut meningkatkan tahap kecergasan diri menerusi aktiviti berjoging kerana program berkenaan bukan sahaja memerlukan ketangkasan mental tetapi juga fizikal.

Sementara itu, bagi penuntut jurusan Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Muhammad Fakhri Jasmi, 19, program berkenaan telah memantapkan lagi pelbagai kemahiran komunikasi dan interpersonal dalam dirinya.

Menurut anak kelahiran Kajang itu, komunikasi interpersonal amat penting bagi memastikan kelancaran urusan kerja sama ada dalam komunikasi sesama rakan sekerja mahupun dengan pihak luar.

“Tanpa kemahiran itu, perbincangan mengenai sesuatu perkara akan menjadi sukar dan berisiko mencetuskan percanggahan pendapat, sekali gus menjejaskan keberkesanan pelaksanaan sesuatu dasar.

“Lebih memburukkan keadaan, kelemahan dalam komunikasi boleh menimbulkan konflik sama ada secara terang-terangan mahupun terpendam sehingga membawa kepada pertelingkahan yang pasti memberi kesan negatif terhadap sesebuah organisasi,” katanya lagi.

Justeru, Muhammad Fikri berkata, salah satu cabaran yang memerlukan peserta memberi belon ACCA kepada orang awam serta mengambil gambar ketika sedang menuju ke tempat kerja menekankan peri pentingnya kemahiran komunikasi kepada bakal akauntan.

Kepimpinan

Muhammad Fikri memberitahu, cabaran tersebut membantu melahirkan seorang bakal akauntan yang berkebolehan dan berkeyakinan semasa berinteraksi dengan persekitarannya tanpa mengira latar belakang.

Rakannya, Luqman Nordin, 19, pula berkata, para peserta turut didedahkan dengan kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan.

“Bagi saya, inilah peluang keemasan bakal graduan akauntan untuk mempamerkan bakat kepimpinan yang dimiliki supaya menjadi tambah nilai di alam kerjaya kelak.

Menurutnya, kepimpinan yang ada pada diri seseorang akan membantunya untuk membuat keputusan dengan bijak dan tidak menyalahi etika tidak kira dalam kehidupan sehari-hari mahupun di alam kerjaya.

“Pasaran kerja memerlukan graduan yang lebih berdaya saing. Jika tahap keyakinan kurang, pasti wujud jurang dan ini menyukarkan mereka untuk mengisi peluang pekerjaan,” katanya.

Ujar anak kelahiran Batu Berendam, Melaka itu, sekiranya program sedemikian dilaksanakan secara berterusan ia bukan sahaja mampu melahirkan cendekiawan, malah bakal pemimpin yang serba boleh.

“Ini adalah medan untuk melatih diri sendiri, belajar daripada kesalahan dan perbaiki untuk dijadikan pengajaran masa depan. Daripada pengalaman inilah dijadikan bekalan untuk memimpin masa depan,” katanya.

Malah, anak kedua daripada lima orang adik-beradik itu berkata, segala pengalaman yang diperoleh menerusi program itu akan dijadikan sandaran untuk meraih kecemerlangan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara kelak.