SEBAIK memasuki ruang pameran Kartun & Kita yang terletak di Muzium Negara, Kuala Lumpur, perasaan Nur Syaqilla Sharin, 19, begitu teruja.

Pandangannya terarah kepada satu sudut berhampiran pintu masuk utama galeri tersebut yang menempatkan beberapa karikatur kartun tempatan yang sememangnya popular.

Tanpa berlengah, pelajar program pengajian Sijil Animasi Dua Dimensi dari Kolej Komuniti Kuala Langat, Banting, Selangor itu terus mengambil peluang untuk berswafoto bersama rakan-rakannya sebelum meneruskan lawatannya ke galeri pameran yang disediakan.

“Saya memang meminati kartun, malah saya juga melukis kartun menerusi dua karakter ciptaan saya sebagai mengisi masa lapang.

“Melukis kartun dapat membuatkan saya terhibur selain menjadikan ia sebagai medium untuk meluaskan bakat tersebut,” katanya.

Jelas anak jati Selangor itu lagi, dia mengambil peluang untuk berkunjung ke pameran tersebut bagi menghayati karya-karya kartunis tempatan yang dipamerkan selain mencari idea untuk mengembangkan bakatnya dalam menghasilkan kartun yang lebih berkualiti.

Rakannya, Nur Aizuddin Nor Haidan, 19, pula memberitahu, dia turut bercita-cita untuk mengembangkan industri kartun tempatan dengan menghasilkan lebih banyak karya dalam bentuk lukisan komputer.

“Saya memang meminati bidang grafik komputer dan berhasrat untuk menghasilkan siri kartun sendiri menggunakan teknologi komputer.

“Pada masa ini, saya hanya melukis kartun menggunakan lakaran tangan dan berkongsi karya tersebut menerusi akaun Facebook kerana masih belum mahir menggunakan teknik komputer,” katanya yang juga merupakan pelajar tahun pertama program Sijil Animasi Dua Dimensi dari Kolej Komuniti Kuala Langat.

Pameran Kartun & Kita dianjurkan oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dengan kerjasama Rumah Kartun dan Komik Malaysia dan telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada 23 Januari lalu.

Ia bermula sejak 8 Disember lalu dan berakhir pada 15 April depan. Lebih daripada 500 karya kartun yang dihasilkan oleh kira-kira 200 kartunis tempatan dipamerkan sepanjang tempoh tersebut.

Selain mengetengahkan karakter kartun yang mewarnai industri kartun tanah air, pameran tersebut juga memaparkan sejarah evolusi kartun tempatan yang menjadi tunjang kepada perkembangan dunia kartun di negara ini.

Sambutan hangat

Sejak dibuka kepada orang ramai Disember lalu, pameran tersebut mendapat sambutan hangat daripada pengunjung termasuk pelancong asing yang begitu tertarik dengan karakter kartun tempatan.

Seorang kartunis muda, Mohd. Faris Mohd. Ismail, 36, berkata, kehadiran pengunjung khususnya golongan muda ke pameran itu membuktikan bahawa industri kartun tempatan masih mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Malah katanya, ramai golongan belia yang pernah membesar dengan siri komik dan majalah kartun yang popular sekitar tahun 1980-an dan 1990-an juga menjadikan pameran tersebut sebagai platform untuk mengembalikan nostalgia mereka suatu masa dahulu.

“Saya merupakan antara peminat komik dan majalah kartun seperti Gila-Gila, Ujang, Apo?, Geli Hati, Lawak dan Gado-Gado yang pernah popular suatu masa dahulu.

“Apabila industri komik negara merudum selepas tahun 2000, saya sudah tidak berpeluang untuk berhibur dengan membaca komik dan majalah kartun tersebut.

“Oleh itu, dengan adanya pameran seperti ini, ia dapat mengembalikan semula nostalgia golongan belia seperti saya dengan menghayati watak dan karakter kartun yang dipamerkan,” katanya yang bekerja sebagai editor program di sebuah syarikat media tempatan.

Kembang bakat

Jelas Mohd. Faris lagi, disebabkan minat mendalam terhadap kartun, dia telah mengambil peluang menjadi seorang kartunis secara sambilan dengan beberapa karyanya turut disiarkan menerusi majalah kartun Sempoi yang telah memasuki pasaran tempatan sejak November tahun lalu.

Sementara itu, Editor majalah kartun Sempoi, Shamsul Mohammad Rozial Murad menjelaskan, selain Mohd. Faris, majalah kartun tersebut turut mengetengahkan karya yang dihasilkan lebih 20 kartunis tempatan dengan kira-kira 60 peratus daripadanya merupakan kartunis muda dan baharu.

“Memang ramai golongan muda yang mempunyai bakat dalam bidang penghasilan kartun tetapi disebabkan tiada ruang untuk mengembangkan bakat, mereka memilih medium laman sosial Facebook untuk berkongsi karya.

“Sebab itulah kami menghasilkan majalah ini bagi memberi peluang kepada kartunis muda dan baharu untuk sama-sama memeriahkan industri kartun dan komik tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Bahrin A. Kasim ketika berucap pada majlis perasmian pameran tersebut berkata, selain pameran, pihak Muzium Negara turut menyediakan pelbagai aktiviti sampingan yang boleh disertai oleh para pengunjung.

Antaranya ialah program [email protected] yang menampilkan para kartunis mempamerkan bakat di samping berkongsi pengalaman mereka dalam industri kartun.

Program lain ialah Bila kartun berbicara yang merupakan slot bagi mengupas tema dan topik tertentu selain bengkel animasi.

“Sememangnya pameran Kartun & Kita ini menyajikan banyak maklumat dan idea dalam pelbagai perspektif untuk dihayati oleh anggota masyarakat.

“Ia bukan sahaja platform untuk menghargai jasa dan bakat kartunis dalam memeriahkan industri kartun tempatan tetapi juga sebagai peluang kepada generasi muda untuk mengenali karakter kartun yang pernah popular dalam kalangan masyarakat suatu masa dahulu dan siapakah kartunis yang menghasilkannya.

“Saya berharap melalui program-program yang telah disusun, ia dapat menarik kehadiran orang ramai, sekali gus mengembalikan kegemilangan kartun tempatan seperti yang pernah berlaku suatu ketika dahulu,” katanya.