Walaupun dia merupakan pelajar aliran seni di Kolej Tingkatan Enam Shah Alam (KTESA), namun untuk menghasilkan sebuah lukisan yang di luar pengetahuannya bukan satu perkara mudah. Lebih mencabar, Deanna Sorfina baru pertama kali mendengar mengenai STEM.

“Selepas mendapat tahu makna STEM, apa yang berada dalam fikiran saya ketika itu ialah gambaran futuristik. Bayangan itu ada tetapi saya tidak pasti apakah ia sesuai untuk diletakkan di lukisan atau sebaliknya.

“Namun setelah diberikan penerangan dan melalui proses perbincangan berkumpulan, barulah saya dan rakan-rakan tahu makna sebenar STEM dan menyiapkan tugasan yang diberi sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Dalam program dikenali sebagai Meneroka Dunia Sains itu, seramai 40 pelajar KTESA dan Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya, Selangor terpilih untuk menyertai program berkenaan.

Dengan menggunakan cat akrilik sebagai medium, mereka diminta untuk menterjemah pemahaman mengenai bidang STEM dengan menghasilkan sebuah lukisan di atas kanvas.

Kajian

Menurut Deanna Sorfina lagi, dia mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan lukisan berkenaan kerana ingin menghasilkan sebuah karya yang baik. Lukisan di atas kanvas berkenaan adalah kali kedua pernah dilakukannya.

“Jangka masa sebulan yang diberi telah digunakan sebaik-baiknya. Bukan sahaja untuk menyiapkan lukisan, namun turut digunakan untuk mengenali rakan lain dengan lebih rapat dan mengaplikasikan teknik persepsi dan komunikasi dalam pembelajaran harian.

“Di pihak saya sendiri, saya memasukkan elemen teknologi dengan melukis gambar robot. Selain itu, saya turut meletakkan gambar-gambar berkaitan zarah, atom dan molekul bagi mewakili bidang sains,” jelasnya yang menamakan lukisannya Now, Everything.

Jelasnya yang bercita-cita menjadi seorang pensyarah, Now, Everything bermaksud era moden yang mempunyai segala-galanya. Oleh demikian, dia menghasilkan lukisan yang mempunyai kesemua unsur berkaitan STEM.

Program berkenaan telah dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) dengan bekerjasama Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares).

Sementara itu, Pensyarah PASUM merangkap Ketua Program berkenaan, Prof. Madya Dr. Roslinda Ithnin berkata, semasa memberitahu pelajar-pelajar mengenai program berkenaan, ramai yang tidak pernah mengetahui tentang STEM.

“Keperluan kepada STEM wujud apabila kehendak terhadap bidang kerja tersebut adalah jauh lebih tinggi berbanding bidang lain.

“Maka, pelajar perlu bersedia dengan mendalami bidang ini tetapi masalah wujud apabila pelajar masih tidak dapat memenuhi kriteria tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Galeri Seni UM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Roslinda lagi, program Meneroka Dunia Sains itu diilhamkan menerusi sebuah kajian khusus yang dijalankan bekas peguam terkenal di Amerika Syarikat iaitu Amy E. Herman.

Pemahaman

“E. Herman mengadakan program pembangunan diri melalui lukisan seni yang pada asalnya telah dibangunkan bagi meningkatkan kemahiran persepsi dan komunikasi pelajar jurusan perubatan dengan pesakit.

“Hasil keberkesanan program yang dijalankan E. Herman, banyak agensi kerajaan seperti polis, universiti dan hospital telah mengguna pakai program tersebut termasuklah Biro Siasatan Persekutuan (FBI),” ujarnya.

E. Herman juga merupakan seorang penulis buku. Antara bukunya yang terkenal ialah Visual Intelligence.

Namun, kata Roslinda, program tersebut tidak bermaksud untuk mengubah cara pembelajaran pelajar. Ia lebih kepada pendedahan teknik alternatif dalam peningkatan dua kemahiran penting iaitu pemahaman persepsi dan komunikasi yang cekap.

“Oleh demikian, menanam minat kepada pelajar untuk menyambung pelajaran dalam bidang berkaitan STEM perlu dilakukan sejak dari sekolah lagi.

“Kemahiran ini adalah penting untuk dikuasai oleh pelajar tingkatan enam yang berhajat untuk meneruskan pengajian di universiti kelak,” ulasnya.

Dalam pada itu, seorang lagi pelajar, Desmond Raj berkata, menerusi program berkenaan, ia memberi gambaran yang lebih jelas mengenai apa itu STEM.

“Sebelum ini saya mempunyai persepsi yang salah mengenai STEM, saya ingatkan stem sel yang ada pada daun itu,” ujarnya sambil tertawa.

Desmond menghasilkan lukisannya bersama dua orang lagi rakannya iaitu Adlina Fikriyah Amiruddin dan Choong Yong Xin dengan menggunakan teknik mewarna dan menampal.

Mereka hanya mengambil masa dua hari untuk menyiapkan lukisan berkenaan.