Tidak seperti sebelumnya, walaupun sudah biasa dengan alat muzik dram, kali ini terdapat kelainan pada objek yang dimainkan dalam pembukaan majlis sempena sambutan Hari Malaysia di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, September lalu.

Objek dikenali Acun Dram Pusing itu agak berbeza dengan dram-dram yang ada di negara ini.

Dram adalah kelompok alat muzik perkusi yang terdiri daripada kulit haiwan seperti lembu dan kerbau yang direntangkan supaya dapat dipukul dengan tangan atau sebatang kayu.

Selain kulit, terdapat juga dram daripada plastik. Dram mempunyai pelbagai jenis dan nama di seluruh dunia. Antara yang popular ialah dohol, jimbe, tabla, bhangra dan gendang anak.

Zulkhairee yang juga pelajar Fakulti Muzik Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu memberitahu, dia mengambil masa sebulan untuk menyesuaikan diri dengan dram berkenaan.

“Apabila diminta membuat persembahan menggunakan dram ini, saya agak gementar kerana cara mengendalikan dram ini berbeza dengan dram biasa.

“Saya bukan bermain dram ini semata-mata, sebaliknya turut perlu membuat beberapa formasi dan gerakan tarian,” katanya ketika ditemui di Aswara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seorang lagi rakannya, Akmal Iskandar Fauzi, 19, memberitahu, sebaik tamat persembahan, dia didatangi oleh orang awam yang bertanyakan peralatan yang digunakan.

Selain ramai yang ingin tahu tentang dram pusing berkenaan, tidak kurang ada yang mahu mencubanya. Ramai yang mengatakan mereka baru pertama kali melihat dram seumpamanya.

Di samping itu, tidak kurang juga yang memberi maklum balas positif dan memuji persembahan kumpulannya. Sejak itu, Akmal dan kumpulannya yang terdiri daripada empat orang berasa yakin bahawa peralatan muzik berkenaan boleh dikembangkan dan pergi lebih jauh.

Peminat

Bersetuju dengan perkara itu adalah Muhammad Izzran Nordin, 19, yang merupakan salah seorang pemain Acun Dram Pusing berkenaan.

Pelajar aliran gitar Fakulti Muzik Aswara itu menjelaskan, keunikan dram berkenaan mampu menarik lebih ramai peminat alatan muzik.

“Keunikan alat muzik itu terletak pada inovasi baharu yang diperkenalkan oleh pensyarah saya Shamsul Kamal Abd. Rahman. Dia yang mencipta dram pusing ini.

“Saya sendiri agak tertarik dengan teknik yang dipersembahkan oleh Cikgu Shamsul. Oleh itu, apabila diberi peluang untuk menggunakan alat ini, saya teruja untuk mencubanya,” kata pelajar tahun pertama itu.

Remaja yang berasal dari Subang Bestari, Selangor itu mengakui tidak sukar untuk memainkan alat muzik berkenaan kerana ia lebih mementingkan gerakan daripada bunyi dram itu sendiri.

Berbeza dengan dram biasa yang lebih memberi penekanan terhadap pukulan supaya dapat menghasilkan bunyi yang dikehendaki, Acun Dram Pusing lebih mementingkan teknik pusingan dram itu.

“Pergerakan yang seragam akan membuatkan dram ini berpusing seiring, sekali gus menampakkan ia cantik dan menarik untuk dipandang.

Berkumpulan

“Ditambah pula terdapat lampu pada dram ini, ia menjadikan persembahan kami lebih menarik,” ujarnya yang bercita-cita menjadi seorang komposer kelak.

Acun Dram Pusing seeloknya dimainkan secara berkumpulan supaya pusingan dram itu dapat diseragamkan.

Sehubungan itu, Pensyarah Fakulti Muzik, Shamsul Kamal Abd. Rahman berkata, dia menghasilkan empat buah dram pusing supaya dapat digunakan oleh pelajar-pelajar berkenaan. Ini termasuklah seorang lagi pelajarnya, Emeirul Ashraf Jefri, 22.

Katanya, buat masa ini, hanya empat orang pelajarnya yang sanggup menyahut cabaran menggunakan dram berkenaan kerana mereka ingin mencuba sesuatu yang baharu.

“Mereka berjiwa muda yang suka meneroka alat muzik baharu, jadi saya cabar mereka untuk menggunakan dram pusing ini.

“Pada awalnya agak kekok, namun walaupun baru sebulan menggunakan alat muzik ini, mereka sudah berjaya menguasainya,” katanya yang melakukan kajian terhadap dram itu pada tahun 2016.

Shamsul Kamal menambah, pembuatan dram berkenaan tidak begitu sukar, namun kajian yang menyeluruh mengambil sedikit masa.

Sebelum membuat dram pusing, beliau ada merujuk kepada mereka yang lebih pakar seperti Pensyarah Pengendangan Melayu.

Shamsul Kamal memberitahu, beliau mendapat ilham untuk menghasilkan dram berkenaan selepas menghadiri Festival Gendang Korea tiga tahun lalu.

Melalui acara itu, beliau memikirkan sama ada terdapat satu alatan muzik yang boleh dikembangkan sehingga menjadi alat muzik warisan Malaysia.

Kajian

Beliau berpendapat, sejak dahulu lagi negara kurang meneroka dan memiliki alat muzik sendiri. Kebanyakan alat muzik di negara ini dibawa oleh pedagang-pedagang pada zaman dahulu atau diilhamkan dari luar negara.

Sehubungan itu, pensyarah jurusan dram dan perkusi itu mahu mencipta satu alat muzik baharu yang boleh dijadikan sebagai warisan di negara ini.

“Selepas membuat beberapa kajian, saya menjadikan gendang anak, gendang bhangra dan gendang buk (Korea) sebagai inspirasi. Melalui tiga jenis gendang ini, saya diilhamkan dram pusing.

“Selain mempunyai keistimewaan berpusing, dram ini juga lebih ringan dan mudah dibawa,” ujarnya sambil memaklumkan dia menggunakan paip PVC yang dipanggil baluh untuk dijadikan sebagai bahagian badan dram tersebut. Sebelum ini, Shamsul pernah menggunakan paip dan pasu plastik, namun ia mudah pecah selain tidak kukuh.

Tali dipasang pada dram berkenaan supaya dapat menghasilkan bunyi yang berbeza-beza apabila dipukul. Caranya, adalah dengan menyelaraskan dan mengawal tali mengikut kehendak bunyi yang ingin dihasilkan.

Pada masa akan datang, Shamsul Kamal berharap dram berkenaan dapat digunakan secara meluas, terutamanya pelajar-pelajar yang mencari alat muzik baharu untuk diteroka.

Malah, beliau juga berharap Acun Dram Pusing dapat digunakan pada mana-mana persembahan kerana keunikannya.

Acun Dram Pusing lebih ringan, mudah dibawa dan menghasilkan bunyi melalui pergerakan, ia menjadi opsyen kepada pelajar-pelajar yang mencari alat muzik baharu untuk diteroka.