Mereka begitu teruja menyaksikan persembahan luar biasa enam orang peserta akhir Festival Monolog yang dianjurkan Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), Minden di Pulau Pinang.

Festival yang berlangsung selama tiga jam itu mensyaratkan peserta untuk membawakan pelbagai watak dalam tempoh beberapa minit.

Keupayaan mempersembahkan teknik monolog yang meyakinkan dan penghayatan ketika membawa pelbagai watak merupakan elemen yang dititikberatkan pada festival berkenaan.

Salah seorang peserta, Kimmy Chia Rose Anne, 21, berkata, dia mengambil peluang menyertai festival itu untuk menyerlahkan bakat yang dimiliki, sekali gus memperoleh pengalaman baharu.

“Saya berpuas hati kerana telah memberikan yang terbaik dan amat gembira apabila penonton menunjukkan maklum balas yang positif.

“Ia menjadi platform untuk saya mencungkil bakat dalam bidang teater, seterusnya memperoleh peluang memperbaiki kelemahan diri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Panggung Pelenggam Cahaya baru-baru ini.

Kimmy mengakui proses pembelajaran dalam seni teater dan drama termasuk pengurusan produksi, penulisan skrip, rekaan set, busana serta props, kesan bunyi dan pencahayaan membantu dia untuk menguasai pentas dengan baik.

Kimmy yang mempersembahkan teater tentang perkahwinan silang budaya antara gadis Cina dan pemuda Melayu mendapat tempat kelima pada festival berkenaan.

“Idea untuk mengangkat tema perkahwinan silang budaya ini diperoleh hasil perbincangan dengan pensyarah.

Lepas tekanan

“Setelah mendapat gambaran yang menyeluruh mengenai konsep yang akan diketengahkan, saya terus membuat latihan kira-kira dua atau tiga jam sehari,” ujar anak kelahiran Kluang, Johor Bahru itu.

Mengimbau penglibatannya dalam persembahan pentas, anak sulung daripada tiga adik-beradik itu berkata, dia sememangnya aktif menyertai pelbagai persembahan tarian sejak di bangku sekolah lagi.

Justeru, apabila ditawarkan untuk menyambung pengajian di USM dalam bidang teater dan drama, dia menerimanya tanpa berfikir panjang.

“Saya suka membuat persembahan kerana ia adalah salah satu cara untuk melepaskan tekanan.

“Apabila kita sudah terbiasa membuat persembahan, maka agak janggal sekiranya ia ditinggalkan,” katanya yang bercita-cita mahu bergelar seorang penggiat seni suatu hari kelak.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Thean Wei Heng, 21, berkata, festival itu membantu dia tampil lebih berani apabila berhadapan dengan ramai penonton.

Wei Heng mempersembahkan idea mengenai konflik yang dihadapi pengantin lelaki apabila pengantin perempuan menghilangkan diri ketika majlis berlangsung.

“Saya menjiwai watak pengantin lelaki itu dan membayangkan sekiranya perkara tersebut terjadi ke atas diri sendiri.

“Apabila dapat menyelami watak itu, baru saya mendapat rentak untuk mempersembahkan jalan cerita dengan baik,” kata anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu.

Menurut Wei Heng, dia menepis perasaan takut untuk berhadapan dengan penonton melalui latihan secara berterusan.

“Hanya melalui latihan saya dapat mengawal perasaan takut. Saya mempelbagaikan bentuk latihan termasuk membuat persembahan di hadapan pensyarah, rakan-rakan dan orang awam.

“Saya juga mencuba teknik yang berbeza dalam menyampaikan dialog untuk mencari keserasian dengan diri,” ujar anak kelahiran Kluang, Johor Bahru itu.

Wei Heng berkata, menerusi penganjuran festival itu, ia sedikit sebanyak dapat menangkis tanggapan salah sesetengah anggota masyarakat yang selama ini menganggap bidang teater dan drama hanya untuk mereka yang mempunyai bakat.

“Sebenarnya, bakat boleh dipupuk asalkan mempunyai minat yang mendalam. Cuma, mungkin disebabkan persepsi mereka yang melihat teater dan drama ini sebagai sesuatu yang sukar, maka ia jarang diceburi.

“Bidang ini perlu dikembangkan sejak pada peringkat sekolah lagi sebagai salah satu subjek kokurikulum dalam usaha untuk mengasah bakat pelajar,” katanya.

Inisiatif

Wei Heng menambah, sekiranya para pelajar diberi pendedahan, mereka akan menjadi lebih bersedia dan memahami selok-belok bidang teater.

Katanya lagi, menerusi pendedahan itu, pelajar sekolah mempunyai lebih banyak pilihan aktiviti kokurikulum yang boleh ceburi.

“Jika pihak sekolah tidak menawarkannya, ibu bapa harus mencari inisiatif menghantar anak-anak untuk mengikuti latihan di mana-mana tempat bagi mengasah bakat mereka.

“Mereka tidak akan rugi kerana banyak manfaat yang diperoleh termasuklah membentuk karakter diri dan disiplin,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Festival Monolog, Tay Kee Ng berkata, festival itu dianjurkan untuk mencungkil bakat mahasiswa selain memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai monolog.

“Ramai yang berbakat tetapi mereka tidak tahu jalan untuk mengetengahkan bakat yang dimiliki. Kami beri peluang kepada mereka untuk menimba pengalaman baharu.

“Ini kerana kebolehan bercakap di khalayak umum adalah suatu bakat yang penting bagi menyediakan mahasiswa yang berkeyakinan tinggi dan berkepimpinan,” katanya.

Malah, festival itu memberi peluang kepada orang ramai untuk mendalami makna monolog menerusi persembahan-persembahan para peserta.

Festival yang dianjurkan buat kali kedua itu menyaksikan Onyeaghala Ugochukwu dinobatkan sebagai juara, sekali gus menewaskan lima peserta lain.

Kebolehan bercakap di khalayak umum adalah suatu bakat yang penting bagi menyediakan pelajar yang berkeyakinan tinggi dan berkepimpinan.