Menurut bapanya, Mohd. Sabri Yusoff keadaan itu menyebabkan psikologi anak bongsu daripada dua beradik itu sering terganggu sehingga kadangkala tidak mahu ke sekolah.

“Umairah sering sedih apabila tiada rakan mahu berkawan dengannya. Semasa darjah satu dan dua dia selalu tidak mahu ke sekolah.

“Namun, selepas menerima hadiah tangan biomekanik daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), saya lihat dia begitu bersemangat untuk pergi ke sekolah,” katanya ketika dihubungi GenK baru-baru ini.

Khairunnisa Umaira merupakan murid Sekolah Rendah Islam (SRI) Annuriah Addiniah, Sungai Udang, Melaka.

Mohd. Sabri berkata, sumbangan Tangan Biomekanik Cetakan 3D itu telah berjaya memberikan sinar baharu yang membawa keceriaan dan keyakinan diri buat anaknya apabila berhadapan dengan rakan-rakan sekolah.

Dia turut merakamkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada pihak UTeM yang telah berjaya menghasilkan produk inovasi yang memberikan manfaat besar buat anaknya.

Inovasi

Ketua Penyelidik, Ir. Dr. Mohd. Farriz Basar berkata, penghasilan Tangan Biomekanik Cetakan 3D membuktikan barisan penyelidik UTeM serius dalam memperkasakan aktiviti penyelidikan berterusan dan memberi manfaat langsung kepada komuniti dan negara.

“Barisan penyelidik daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP), UTeM telah berjaya menghasilkan produk inovasi Tangan Biomekanik Cetakan 3D.

“Produk inovasi ini adalah bagi membantu golongan yang mengalami kecacatan jari bagi memudahkan mereka menjalani kehidupan seharian dengan lebih sempurna,” ujarnya.

Keistimewaan tangan biomekanik tersebut adalah mampu berfungsi seperti menggenggam, mengangkat, menekan, memicit dan mencengkam.

Walaupun ia tidak boleh berfungsi sama 100 peratus seperti tangan asal kerana tidak mempunyai otot, saraf, ligamen dan tendon tetapi ia mampu menjalankan aktiviti ringkas misalnya memegang botol dan bola.

Majlis penyerahan Tangan Biomekanik Cetakan 3D telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FTKEE), Profesor Madya Ts. Mohd. Rahimi Yusoff pada Persidangan Antarabangsa Teknologi Kejuruteraan di universiti itu baru-baru ini.

Projek sumbangan Tangan Biomekanik Cetakan 3D itu merupakan kerjasama antara UTeM dan Sekolah Rendah Islam (SRI) Annuriah Addiniah.

Sementara itu, pereka produk berkenaan, Mohammad Rafi Omar menjelaskan, Tangan Biomekanik Cetakan 3D adalah cetusan idea daripada sumber terbuka internet yang memudahkan reka bentuk idea produk itu dikongsi secara meluas di alam maya.

Kekuatan

Katanya, reka bentuk tersebut telah dikongsikan kepada pasukan penyelidik UTeM bagi mereka bentuk semula mengikut kesesuaian saiz tangan Umaira.

“Proses reka bentuk ini melibatkan aplikasi teknologi terkini yang terdapat di UTeM selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.

“Antara teknologi terkini digunakan bagi mengimbas tangan Khairunnisa Umaira adalah dengan menggunakan pengimbas 3D bagi mendapatkan saiz sebenar tangan,” terangnya sambil memaklumkan tangan tersebut mengambil masa sebulan untuk dihasilkan.

Sementara itu, bagi menguji kekuatan mengangkat beban Tangan Biomekanik Cetakan 3D pula adalah dengan menggunakan perisian simulasi.

Projek itu adalah hasil kerjasama dan gerak kerja dengan tujuh orang lagi penyelidik UTeM iaitu Muhammad Nur Othman, Arman Hadi Azahar, Shahrizan Sultan, Rabani Abd. Rashid, Mohd. Khairil Zulkhaini, Zuraini Zachariah dan Zahirul Za’im Samin.