Satu hari, dalam perjalanan pulang, Noramirah mendapati anaknya Aisy Aqra Khaireel, 4, membaca papan tanda di sepanjang jalan itu.

“Saya tidak menyangka Aisy Aqra boleh membaca papan tanda jalan biarpun sebutannya tidak lancar.

“Tidak sampai lapan bulan belajar di Tadika Genius Solihin dia sudah boleh membaca.

“Saya dan suami cukup gembira dengan perubahan yang ditunjukkannya kerana sebelum ini dia tidak pandai langsung membaca,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tadika Genius Solihin adalah satu pusat pembelajaran dan permainan untuk kanak-kanak berumur tiga hingga enam tahun.

Tadika tersebut diuruskan oleh syarikat Genius Solihin yang mempunyai tiga cawangan di Kepong, Sentul dan Selayang.

Beroperasi pada tahun 2016, Tadika Genius Solihin mempraktikkan ilmu amali pengurusan jenazah, solat dan haji cilik.

Pendekatan

Pengarah Urusan Genius Solihin, Mohd. Azrul Hafizi Akashah berkata, kini tadika itu mempunyai hampir 250 orang murid daripada latar belakang keluarga yang berbeza.

“Pendekatan yang digunakan dalam pembelajaran berasaskan penglihatan, pendengaran dan penulisan.

“Selain buku, kanak-kanak turut belajar menggunakan komputer riba dan televisyen bagi membuatkan kelas menjadi lebih menarik,” jelas Mohd. Azrul ketika ditemui di Tadika Genius Solihin di Sentul baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd. Azrul berkata, Tadika Genius Solihin yang mempunyai moto ‘Bijaksana dan Soleh’ itu menawarkan subjek asas seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.

Subjek tambahan

Tambah Mohd. Azrul, Tadika Genius Solihin turut mengajar subjek tambahan seperti Sains, Jawi, Bahasa Arab Asas, Ibadat dan Akhlak.

“Kita mahu didik anak-anak ini daripada kecil untuk mengetahui asas ilmu ibadat dan akhlak.

“Bila mereka berada di sekolah rendah dan menengah, pengetahuan itu akan berkembang dengan cepat,” ujar bekas pensyarah Perniagaan di Kolej Bersekutu Universiti Teknologi Mara (Unikop), Kuala Lumpur itu.

Dalam pada itu, Mohd. Azrul menjelaskan, bagi memberi keberkesanan dalam proses pembelajaran, Tadika Genius Solihin membuat pengasingan kelas mengikut peringkat umur.

Mohd. Azrul menceritakan, kariernya pada hari ini adalah didorong perasaan rasa bersalah selepas melihat budak-budak di bawah umur menghabiskan masa bermain permainan video dan menghisap rokok.

“Ketika itu, saya berada di pusat internet dan melihat rata-rata pelanggan di situ terdiri daripada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

“Saya sebagai pendidik berasa bertanggungjawab untuk mengubah mereka. Jadi, saya berhenti bekerja sebagai pensyarah dan membuka tadika ini.

“Saya percaya didikan daripada kecil serba sedikit akan mengurangkan kanak-kanak di bawah umur terlibat dalam gejala buruk itu,” katanya yang berhasrat untuk membuka pusat tahfiz di bawah Genius Solihin suatu hari nanti.

Pada awal penubuhannya, Genius Solihin pernah menempuh pelbagai cabaran antaranya masalah pengurusan, keberkesanan dan kepercayaan orang ramai.

Mohd. Azrul yang merupakan lulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara memberitahu, kunci kejayaan pusat tersebut adalah melayan anak asuhan bagaikan anaknya sendiri.