Namun, perkara itu tidak mustahil untuk dicapai sekiranya seseorang itu memiliki iltizam dan keyakinan yang tinggi terhadap apa yang dilakukannya.

Ia telah dibuktikan oleh seorang anak muda, Syed Safuan Syed Rahmatullah yang berjaya memiliki restoran berkonsepkan eksklusif pada usia baru mencecah 26 tahun.

Jelasnya, bergelar ahli perniagaan pada usia tersebut sememangnya menjadi satu kebanggaan baginya kerana ia mampu memberi kepuasan kepada diri sendiri terutama dalam soal kerjaya.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama beliau bagi mengetahui perjalanan hidupnya sebelum bergelar usahawan muda.

1. Boleh ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang anda?

Saya dilahirkan di Taiping, Perak dan merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

Saya berasal daripada keluarga yang sederhana. Datuk dan ibu saya merupakan seorang peniaga tekstil di Taiping.

Selepas tamat tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan St. George di Taiping, saya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang pengurusan pelancongan di Universiti Tun Abdul Razak (UniTAR), Kelana Jaya, Selangor antara tahun 2010 hingga 2012.

2. Apa yang anda lakukan selepas tamat pengajian?

Ketika dalam pengajian, saya pernah menjalani latihan industri di syarikat Garuda Indonesia di Kuala Lumpur.

Selepas tamat pengajian, saya terus memulakan kerjaya di syarikat berkenaan sebagai Eksekutif Jualan selama enam bulan bermula Januari 2012.

Kemudian, saya berpindah ke syarikat penerbangan Oman Air sebagai Eksekutif Jualan dan Pemasaran selama setahun sebelum bertukar ke British Airways dan menjawat jawatan yang sama.

Boleh dikatakan pengalaman kerjaya saya selama kira-kira dua tahun pertama selepas menamatkan pengajian di UniTAR adalah dalam bidang penerbangan.

3. Boleh ceritakan bagaimana anda boleh terlibat dalam perniagaan?

Selepas berhenti kerja dalam bidang penerbangan, saya ditawarkan bekerja sebagai pengurus restoran di Flora Terrace yang terletak di bangunan Hampshire Place, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada Februari 2014.

Walaupun tiada pengalaman dalam bidang pengurusan makanan dan minuman (F&B), tetapi saya menerima tawaran tersebut sebagai satu cabaran untuk mengembangkan kemahiran dan pengalaman bekerja.

Selepas kira-kira dua tahun, minat saya dalam bidang F&B semakin tinggi. Kemudian, timbul idea untuk memiliki restoran sendiri.

Pada Jun 2016, saya mengambil keputusan untuk mengambil alih pemilikan restoran tersebut daripada pemilik asal.

4. Apakah cabaran pertama yang dihadapi sewaktu mengambil alih restoran berkenaan?

Sudah pasti, perkara pertama yang perlu difikirkan ialah modal. Ini kerana, untuk memiliki sebuah restoran berkonsep eksklusif di tengah-tengah Kuala Lumpur, ia memerlukan kos yang sangat tinggi.

Alhamdulillah, berkat kesabaran saya mencari dana selain bantuan daripada ahli keluarga, akhirnya saya mampu memiliki restoran tersebut untuk dijadikan perniagaan pertama.

Memandangkan saya memiliki jiwa yang lembut dan sukakan keindahan, saya telah menghiasi restoran dengan motif flora di segenap ruang siling.

Malah, bagi memberikan kelainan kepada pelanggan, saya juga menyediakan makanan bertaraf lima bintang untuk dinikmati oleh pelanggan.

5. Apa nasihat anda kepada golongan muda yang ingin menjadi usahawan?

Nasihat saya ialah jangan takut untuk memulakan apa-apa perniagaan yang diminati.

Mereka juga tidak perlu takut untuk mencari modal walaupun terpaksa membuat pinjaman di institusi kewangan kerana jika perniagaan dijalankan dengan betul, kesemua pinjaman tersebut pasti dapat dilangsaikan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Paling penting, mereka perlu berdisiplin dan sentiasa mencari idea-idea baharu untuk memajukan perniagaan masing-masing agar dapat bertahan selama mungkin.