Riak wajah mereka menunjukkan keterujaan untuk bertemu rakan-rakan sambil tangan menggenggam erat Jalur Gemilang.

Lebih manis, masing-masing memakai pakaian tradisional silang budaya seperti baju Melayu, kurung, kebaya, ceongsam, samfu, sari, kurta dan dhoti.

Program Sayangi Malaysiaku yang berlangsung setengah hari pada hari Jumaat itu melibatkan kira-kira 1,500 orang pelajar sekolah sempena bulan kemerdekaan bagi menyemai perpaduan kaum serta memupuk rasa cinta pada tanah air.

Beberapa sekolah di sekitar Kepong, Kuala Lumpur dan 10 orang warga emas dari Rumah Kebajikan Kepong turut dijemput bagi memeriahkan program yang dirancang itu.

Pelbagai aktiviti berlangsung seperti persembahan pelajar pelbagai kaum, permainan tradisi, demonstrasi masakan dan pertandingan gubahan bunga.

Bagi seorang pelajar, Danial Iqbal Tan Muhammad Hakimi Tan, 17, program itu menjadi platform untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar.

“Seseorang pelajar akan menghayati makna kemerdekaan melalui penglibatan secara langsung sepanjang sambutan bulan kemerdekaan ini.

“Ia akan memberi kesedaran kepada mereka untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh dan memikul tanggungjawab sebagai penyambung legasi kepimpinan sedia ada,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Anak tunggal itu memberitahu, dia mengambil peluang melibatkan diri dalam kumpulan koir yang terdiri daripada 30 orang pelajar pelbagai kaum untuk dipersembahkan sempena bulan kemerdekaan tersebut.

Cerita Danial Iqbal, menerusi koir, dia dapat mengekspresikan rasa cintanya terhadap negara selain memupuk kebersamaan dengan rakan-rakan sepasukan.

“Saya amat teruja kerana pertama kali menyertai koir. Semangatnya lain macam kerana kami mempersembahkan lagu patriotik.

“Lagipun, kami semua terdiri daripada pelbagai kaum dan masing-masing mengetepikan perbezaan warna kulit semata-mata mahu memberikan persembahan yang terbaik,” katanya.

Akrab

Anak jati Kuala Lumpur itu berkata, selepas enam minggu menjalani latihan, dia dapat mengenali lebih rapat rakan-rakan selain menghargai mereka dalam kehidupan seharian.

Cerita Danial Iqbal lagi, hubungan akrab yang wujud itu membuktikan bahawa mereka adalah sebahagian daripada generasi muda yang bersatu padu dan hidup bertoleransi.

Sementara itu, Amanda Ong Sook Chin, 17, berkata, dia berpeluang mengenali budaya rakan-rakan kaum lain menerusi aktiviti permainan tradisi.

Cerita anak sulung daripada dua adik-beradik itu, aktiviti permainan tradisi kena pada masanya kerana kebanyakan permainan tidak dikenali generasi kini dan ia jarang dimainkan.

“Permainan seperti chaturanga amat jarang dimainkan dalam kalangan remaja kerana kebanyakannya telah beralih kepada permainan elektronik.

“Saya sendiri tidak tahu bentuk permainannya. Rupa-rupanya ia melibatkan dua orang pemain yang kemenangannya ditentukan melalui pembersihan terhadap semua bidak lawan kecuali raja,” katanya.

Putu mayam

Timbalan Ketua Pengawas SMK Taman Bukit Maluri, Kepung, Kuala Lumpur itu memberitahu, permainan seperti itu mampu mengurangkan tekanan atau bebanan terhadap pelajaran yang dipelajari pada setiap hari.

“Guru dan ibu bapa yang mengetahui patut mendedahkan permainan tradisional ini kepada generasi muda supaya tidak pupus ditelan zaman.

“Selain membentuk perpaduan dan kerjasama, ia boleh mencegah remaja daripada terbabit dengan gejala tidak bermoral yang membawa kesan buruk kepada diri bahkan negara,” katanya.

Reenitaa Devarajan, 17, berkata, dia berbangga kerana dapat memperkenalkan masakan tradisi kaum India iaitu putu mayam kepada rakan-rakannya.

Cerita Reenitaa, kebanyakan generasi masa kini hanya didedahkan dengan kuih-muih moden serta kuih tradisional tanpa menggunakan cara tradisional termasuk secara gotong-royong seperti amalan orang-orang terdahulu.

“Kuih tradisional dan cara penyediaan yang asli perlu terus didedahkan kepada golongan muda agar generasi masa depan itu berpeluang menikmati keenakannya serta dapat melihat keunikan pembuatan kuih tradisi itu.

“Sekiranya tradisi ini dapat dikekalkan, ia secara tidak langsung menjadi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara untuk melihat secara lebih dekat proses pembuatan kuih tradisional,” katanya.

Menurut anak bongsu daripada dua adik-beradik itu, rakan-rakannya dapat melihat sendiri proses menghasilkan putu mayam daripada menggaul tepung beras dengan santan, menekan doh menggunakan acuan sehinggalah mengukus.

Arissa Ahmad Khairul, 14, berkata, pameran kemerdekaan yang diadakan mampu meningkatkan kesedaran para pelajar untuk lebih menghargai pejuang-pejuang terdahulu yang membebaskan negara daripada ancaman musuh.

Menurut Arissa, ia penting dalam meningkatkan kesedaran generasi muda bahawa keamanan dan kesejahteraan negara yang mereka kecapi pada hari ini tidak datang secara percuma.

Sahsiah

“Generasi muda tidak pernah melalui pahit getir zaman darurat. Mereka lahir dan hidup pada era diwarisi daripada generasi sebelumnya yang terpaksa mempertaruhkan nyawa mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan negara.

“Ia dibayar dengan harga yang cukup mahal melalui peluh keringat, darah serta nyawa pejuang negara terdahulu termasuk anggota pasukan keselamatan,” katanya.

Justeru, anak sulung daripada dua adik-beradik itu memberitahu, menerusi pameran kemerdekaan, pelajar berpeluang menambah ilmu pengetahuan mengenai jerih perih perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan.

Malah, Arissa berkata, inisiatif pihak sekolah menjemput warga emas adalah sesuatu yang berbeza daripada biasa.

“Golongan ini menyedarkan kami untuk sentiasa menghormati orang tua dalam apa jua keadaan. Mereka juga berhak diberi perhatian, penghormatan dan kasih sayang sepenuhnya.

“Ia mengajar kami cara untuk melayani orang tua, sekali gus mengambil pengajaran daripada cerita-cerita lama mereka,” ujarnya.

Pengetua SMK Taman Bukit Maluri, Zainon Harun berkata, program yang julung-julung kali diadakan itu bertujuan untuk menyemai semangat perpaduan kaum serta memupuk rasa cinta kepada tanah air dalam kalangan warga sekolah.

“Pembentukan seseorang modal insan itu terletak pada sahsiah dan kemahiran diri yang pelbagai selain kecemerlangan akademik.

“Menerusi aktiviti seperti ini, para pelajar dapat mencungkil bakat yang terpendam, sekali gus meningkatkan nilai patriotisme dalam diri,” katanya.