Ketika itu, dia bersama beberapa orang rakannya menyampaikan sumbangan kepada penoreh getah menerusi Misi Prihatin Penoreh Getah di Sik, Kedah.

Apabila melihat sendiri kesusahan yang ditanggung golongan kurang bernasib baik terdetik di hatinya untuk terus menjadi sukarelawan.

Maka, apabila YPI menubuhkan Skuad Muda Prihatin (SMP) pada Januari lalu sebagai platform untuk memperkasakan peranan belia, dia adalah orang pertama yang mendaftarkan diri.

Pelbagai program kebajikan dianjurkan bagi membantu golongan kurang bernasib baik termasuk Ziarah Kasih orang kelainan upaya (OKU) yang telah berlangsung baru-baru ini.

Ziarah Kasih OKU adalah aktiviti menziarahi serta menyampaikan sumbangan secara berkala yang dilakukan sekurang-kurangnya sebulan sekali sejak 2008 melibatkan ibu tunggal, OKU, anak yatim, miskin bandar dan luar bandar.

Bantuan yang diberikan berupa barangan keperluan harian seperti beras, minyak, gula, tepung, susu pekat, kopi dan lain-lain barangan dapur serta sedikit wang tunai yang disumbangkan oleh orang ramai.

Keprihatinan

Anak kelahiran Kuantan, Pahang itu berkata, dia menimba pelbagai pengalaman berharga sepanjang terlibat dalam program Ziarah Kasih OKU.

“Saya melihat sendiri seorang penerima sumbangan membuat lapik duduk beroda untuk mudahkan pergerakannya dalam rumah yang agak sempit.

“Malah, seorang lagi penerima sumbangan sudah mengalami kecacatan anggota kaki sejak berusia belasan tahun dan pasangannya juga merupakan seorang OKU akibat kemalangan jalan raya,” katanya yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Justeru Najmi berkata, banyak perkara dipelajari mengenai erti kehidupan apabila berkongsi pengalaman dengan golongan yang kurang bernasib baik.

Cerita pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal, Universiti Kuala Lumpur itu, anak muda perlu turun padang dan merasai sendiri pengalaman berbakti kepada masyarakat supaya mereka tidak berasa selesa dengan kedudukan sedia ada.

“Walaupun hanya turun mendengar luahan dan keluhan mereka, namun ia cukup memadai kerana mampu meringankan beban emosi yang ditanggung.

“Kadang-kadang golongan ini tiada tempat untuk mereka bercerita dan meluahkan kesengsaraan yang ditanggung. Oleh itu, apabila kita mengambil berat setidak-tidaknya mereka tidak berasa dipinggirkan,” katanya lagi.

Menurut Pengurus YPI, Nur Sakinah Mohd Yusoff, terdapat empat keluarga OKU di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Cochrane dipilih untuk menerima sumbangan di bawah program Ziarah Kasih OKU.

Nur Sakinah berkata, walaupun sumbangan yang diberikan sekali sahaja, namun ia bergantung pada keperluan keluarga penerima.

“Terdapat beberapa kes sebelum ini yang memerlukan bantuan lain seperti kos perubatan dan kediaman. Oleh itu, pihak YPI menjadi pemudah cara supaya sumbangan akan terus diberikan pada keluarga berkenaan.

“Keluarga yang telah dan akan diziarahi ini dibantu sesuai dengan keperluan mereka dan sumbangan yang diperoleh daripada orang ramai,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli SMP, Muhamad Asraf Muhamad, 24, berkata, program Ziarah Kasih OKU mampu mendidik jiwa untuk lebih empati terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

Cerita anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu, banjir besar yang melanda negeri Serambi Mekah tersebut pada 2014 banyak memberi kesan kepada hidupnya.

Sokongan

Justeru, dia bertekad untuk turun padang memberikan sokongan moral kepada golongan ini kerana tidak ada hal yang lebih diperlukan selain semangat.

“Saya menyertai program ini bersama rakan-rakan seperjuangan SMP bagi memberi sokongan kepada keluarga OKU yang sangat memerlukan bantuan, terutamanya dari segi moral dan kewangan.

“Program sebegini sememangnya mampu membuka pintu hati dan minda untuk lebih empati terhadap orang lain,” kata anak kelima daripada enam orang adik-beradik itu.

Menurut Muhamad Asraf, Ziarah Kasih OKU membawa sinar kegembiraan terutama kepada orang tua, fakir miskin dan kanak-kanak.

“Saya begitu tersentuh melihat seorang bapa yang OKU hanya tinggal berdua bersama anaknya yang berusia sembilan tahun, manakala isterinya sedang menjalani rawatan kanser payudara di Kelantan.

“Anak kecil itulah yang menjaga dan merawat bapanya setelah pulang dari sekolah. Setidak-tidaknya, dengan sokongan moral yang kita berikan mampu membuatkan kanak-kanak tersebut bangkit untuk berjaya dalam hidup,” ujarnya.

Muhamad Asraf berkata, program Ziarah Kasih OKU perlu diperluaskan kerana masih ramai anak muda yang ingin turun padang menjadi sukarelawan, namun tidak mengetahui caranya.

“Kebanyakan rakan yang sebaya dengan saya ingin menjadi sukarelawan tetapi mereka tidak tahu platform yang boleh digunakan untuk menghulurkan khidmat bakti.

“Setidak-tidaknya apabila semakin ramai anak muda yang turun padang, maka sumbangannya juga akan bertambah dan kelompok yang dibantu juga dapat diperluaskan,” katanya lagi.