Kecekapan penggunaan bahasa tersebut bukan sahaja membantu seseorang itu berkomunikasi secara global tetapi proses pembelajaran berkenaan turut membolehkan seseorang itu meneroka teknik pembelajaran yang bermanfaat untuk cabang ilmu yang lain.

Menurut buku Pembongkaran Strategi Rahsia: Kuasai Bahasa Inggeris, lebih kurang 1.5 bilion manusia di dunia bertutur dalam bahasa Inggeris manakala satu bilion lagi sedang mempelajarinya.

Hampir semua acara formal dan sukan dunia dijalankan dalam bahasa Inggeris, misalnya Sukan Olimpik dan Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia. Malah, 75 peratus daripada surat dan poskad di dunia ini ditulis dalam bahasa Inggeris.

Atas hakikat itu, sekumpulan 15 orang sukarelawan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) menabur bakti kepada penduduk Kampung Solob di daerah Sipitang, Sabah untuk membantu meningkatkan tahap pembelajaran bahasa Inggeris mereka.

Ia selaras dengan rangka program Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

Menurut pelajar tahun akhir Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya (UM), Muhammad Irsyad Zaini, mereka meluangkan masa bersama murid-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Solob selama dua minggu terutamanya murid tahun enam yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

 

Aktiviti

“Pelbagai aktiviti pembelajaran dilaksanakan seperti bermain sambil belajar, program literasi dan numerasi (linus), Jom Belajar Iqra’, slot membaca serta motivasi rakan sebaya.

“Murid-murid digalakkan untuk bertutur bahasa Inggeris dalam kesemua aktiviti yang dirancang,” katanya yang terpilih menjadi sukarelawan di Kampung Solob berkenaan.

Tambahnya, kesemua murid turut serta dalam setiap aktiviti yang dijalankan dan mereka begitu teruja kerana dapat melakukan aktiviti di luar jadual pembelajaran.

Tutur Muhammad Irsyad, peluang berinteraksi bersama penduduk kampung sepanjang berada di perkampungan itu membuktikan anggapannya selama ini tidak benar.

“Kita tidak seharusnya menunggu untuk mempunyai ilmu yang mencukupi bagi berkongsi dengan masyarakat setempat. Cukup sekadar dengan minat yang mendalam dan niat ingin membantu, itu sebenarnya yang lebih diperlukan,” jelasnya.

Selain aktiviti bersama pelajar, para sukarelawan juga berpeluang berbakti secara langsung kepada komuniti setempat dan kawasan persekitaran sekolah.

“Bersama-sama orang kampung, kami membersihkan dan menambah baik landskap persekitaran sekolah.

“Paling mengujakan apabila kami berjaya menyiapkan sebuah Pondok Menunggu yang boleh digunakan oleh murid dan ibu bapa yang menjemput mereka pada setiap hari,” ujarnya.