Program yang berlangsung di Panggung Seni Pusat Kebudayaan itu menampilkan 14 kumpulan kesenian yang terdiri daripada persembahan kumpulan muzik moden, tarian tradisional, cak lempong, deklamasi puisi, koir, kumpulan vokal, dikir barat, perkusi, nasyid, teater dan alunan qasidah oleh kumpulan taranum.

Empat lagi kumpulan yang terdiri daripada kumpulan keusahawanan mengadakan jualan produk seni seperti buku dan cakera padat, kumpulan seni khat tertumpu kepada pameran hasil tulisan khat serta tayangan video daripada kumpulan multimedia.

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata, spektrum seni itu dianjurkan untuk memperkenalkan kelab tersebut kepada mahasiswa USIM khususnya pelajar-pelajar baharu.

“Dengan adanya program seperti ini, mahasiswa dapat menyerlahkan bakat yang telah diasah melalui modul yang dipelajari oleh Pusat Kebudayaan, USIM.

“Spektrum seni ini sememangnya dirancang untuk menarik minat pelajar USIM menyertai kumpulan-kumpulan kesenian di bawah Pusat Kebudayaan dan kami juga ingin dikenali oleh komuniti di luar USIM melalui aktiviti seni budaya,” ujarnya.

Ismail menambah, ia mampu meningkatkan kemahiran insaniah yang mereka peroleh daripada penganjuran program seni budaya sebelum ini.

Pengerusi Kelab Urus Setia Kesenian Pelajar, Nor Haziq Ikhwan pula berkata, program yang dijayakan oleh ahli kelab Urus Setia Kesenian Pelajar itu mendapat sambutan menggalakkan apabila dihadiri hampir 400 penonton daripada pelbagai fakulti.

Wadah

“Pada awalnya, saya agak risau kerana hujan tidak henti-henti. Kami bimbang tidak ramai yang datang.

“Namun, sangkaan itu salah apabila pelajar sudah membanjiri pekarangan Panggung Seni Pusat Kebudayaan seawal pukul 8 malam,” ujar pelajar tahun tiga Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM itu.

Tambah Nor Haziq, program itu juga dijadikan sebagai wadah untuk menyemarakkan semangat kerjasama, mewujudkan persefahaman dan kerja berpasukan serta jalinan hubungan baik antara ahli kelab bagi meningkatkan kualiti serta produktiviti kerja pada masa akan datang.

Katanya, dia berpuas hati dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli-ahli kelab dan berterima kasih kerana menjayakan program itu sebaik mungkin.

Sementara itu, Laila Asyiqin Mohd. Latif yang merupakan pelajar tahun satu Fakulti Ekonomi dan Muamalat hadir sebagai penonton.

Dia menyifatkan spektrum seni pada malam itu berjaya menarik minatnya untuk menyertai salah satu kumpulan kesenian yang ada di universiti tersebut.

“Saya sangat teruja dengan persembahan-persembahan yang ditunjukkan oleh para pelajar. Semuanya berbakat.

“Rasa seronok dan tidak sangka di USIM juga mempunyai hiburan seperti ini. Namun, mereka tetap menjaga batas pergaulan,” katanya.