Segenap ruang galeri itu dipenuhi dengan ratusan karya arabeloca iaitu gabungan motif arabes dan tempatan yang begitu luar biasa.

Arabes ialah corak hiasan pada catan atau ukiran kayu yang bermotifkan tumbuh-tumbuhan, haiwan mahupun manusia yang disusun dengan garisan bersegi, bergeometri atau ber­lengkok-lengkok.

Setiap satu daripadanya mempamerkan keunikan yang tersendiri dengan mengangkat kebudayaan tertentu dan diselitkan dengan pelbagai corak geometri.

Beberapa minit kemudian, beberapa orang model melangkah keluar dari pentas peragaan dengan pelbagai koleksi skaf bermotifkan arabeloca.

Kesemuanya melangkah dengan yakin persis seorang model profesional dan langsung tidak mempamerkan riak wajah gelisah.

Menariknya, persembahan peragaan skaf arabeloca itu dikendalikan sepenuhnya oleh penuntut tahun dua, Jabatan Tekstil UiTM, Shah Alam menerusi kursus TXD 561, Inovatif Tekstil Kontemporari.

Sesekali penonton bersorak sambil menepuk tangan seolah-olah teruja dan terpukau dengan rekaan yang dihasilkan.

Tema

Paling mencuri perhatian ialah skaf berwarna pastel ciptaan Miera Syasyiela Jusoh, 22, yang mengangkat tema awan larat.

Mengambil masa sehingga empat bulan untuk menghasilkannya, skaf labuh rekaan anak kelahiran Kuala Terengganu itu menjadi pilihan wanita untuk digayakan tanpa mengira cuaca.

“Saya memilih untuk mengangkat tema awan larat kerana ia amat dekat dengan budaya Melayu dan mempunyai nilai yang tinggi dalam seni ukiran Melayu klasik.

“Motif awan larat menggambarkan fikiran orang Melayu dan penghasilannya adalah berdasarkan hubungan yang erat antara masyarakat dengan alam semula jadi itu sendiri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Galeri Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Anak keempat daripada lima adik-beradik itu memberitahu, dia memilih untuk menggunakan warna pastel pada rekaannya supaya mudah untuk disesuaikan dengan baju yang dipakai.

Cerita Miera Syasyiela, dia berdepan dengan beberapa cabaran sebelum dapat menghasilkan skaf yang benar-benar cantik dan berkualiti.

“Kekurangan bahan kajian ukiran awan larat oleh sarjana menyukarkan sedikit proses penyelidikan dijalankan.

“Saya berusaha untuk mencari buku-buku yang berkaitan, mendapatkan maklumat di internet dan merujuk pensyarah bagi memperoleh maklumat tambahan,” katanya.

Selain itu, Miera Syasyiela memberitahu, kesibukannya sebagai seorang pelajar sedikit sebanyak memberikan tekanan kepadanya.

“Kelas saya kadangkala daripada pagi hingga petang dan terdapat pelbagai tugasan lain perlu diselesaikan dalam tempoh tertentu.

“Cabarannya cukup besar untuk saya membahagikan masa dan menyiapkan semua dalam tempoh yang agak terhad,” katanya lagi.

Malah, Miera Syasyiela berkata, dia hampir berputus asa apabila tidak tahu langsung menggunakan perisian Adobe Photoshop.

“Bagaimanapun, tunjuk ajar rakan-rakan telah membantu saya menyiapkan rekaan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penuntut, NurFazliene Nawawi, 22, berkata, dia juga terpaksa menempuh cabaran apabila rekaan awalnya ditolak pensyarah sebanyak tiga kali.

Ujar NurFazliene, walaupun agak kecewa, dia bertekad untuk menambah baik rekaan tersebut seterusnya menghasilkan produk yang mampu memenuhi kehendak pasaran.

Tingkat kemahiran

Hasil usaha kerasnya, NurFazliene berjaya meningkatkan beberapa kemahiran sepanjang menjalankan tugasan berkenaan.

“Proses kritikan dan penambahbaikan berlaku setiap minggu sepanjang empat bulan ini. Saya juga perlu belajar pelbagai ilmu baharu,” kata anak kelahiran Bachok, Kelantan itu.

NurFazliene menghasilkan rekaan skaf arabeloca yang mengetengahkan songket asli dengan perincian berbulu di bahagian tepi.

Skaf berkenaan menggunakan warna-warna yang terang bersesuaian dengan kehendak pasaran di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, anak bongsu daripada sembilan beradik itu memberitahu, tugasan yang diberikan telah mengasah pemikiran kritisnya untuk menyelesaikan masalah.

“Pelbagai masalah timbul sepanjang menjalankan tugasan ini terutamanya dalam menyampaikan idea yang kreatif dan bernas.

“Masalah tersebut mengajar saya untuk berfikir di luar kotak dan perlu berbeza berbanding orang lain,” katanya lagi.

Bagi satu-satunya penuntut lelaki yang mengambil subjek tersebut, Muhammad Syarifuddin Abdul Latiff, 22, tugasan itu membantu meningkatkan keyakinan dirinya untuk berkomunikasi dengan lebih efektif.

Anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu berkata, dia berjaya mengubah sikap pasifnya dengan lebih banyak bertanya, sekali gus meningkatkan pengetahuan dalam penghasilan skaf.

“Proses pembelajaran ini bukan sahaja melibatkan kerja individu tetapi kami bekerja sebagai satu pasukan untuk mempamerkan rekaan-rekaan yang telah dihasilkan kepada umum,” ceritanya.

Rekaan skaf Muhammad Syarifuddin menggabungkan elemen ukiran yang terdapat di sebuah masjid di Mesir dengan motif wayang kulit.

Dalam perkembangan sama, Pensyarah Kanan Jabatan Tekstil UiTM, Prof. Sulaiman Abd. Ghani berkata, subjek TXD 561 menjurus ke arah memperlengkapkan diri penuntut dengan pelbagai kemahiran insaniah untuk dijadikan pengalaman dan panduan dalam industri kreatif yang akan diceburi.

“TXD 561 menguji daya kreativiti penuntut dalam mengenali elemen-elemen tradisi arabes dan menggabungkannya dengan seni budaya Melayu.

“Subjek ini dapat mencungkil bakat generasi muda agar mereka terus berkarya dalam industri dan memenuhi pelbagai cita rasa pasaran,” ujarnya.

Sulaiman berkata, dia mahu menerapkan sifat tanggungjawab dalam diri penuntutnya untuk memahami, mendalami dan memartabatkan seni budaya dalam usaha melonjakkan nama negara di mata dunia.

Persembahan peragaan skaf arabeloca dikendalikan sepenuhnya penuntut tahun dua kursus TXD 561, Inovatif Tekstil Kontemporari Jabatan Tekstil, UiTM, Shah Alam, Selangor.