Satu persatu karya seni yang dipamerkan di ruangan tersebut dilewati orang ramai. Ada yang terpaku dan membelek-belek setiap sudut karya dengan penuh rasa teruja.

Ada pula yang sibuk berbincang tentang sesuatu yang tiada buah butirnya sambil menunjuk ke arah karya yang dipamerkan.

Lontaran suara pengacara majlis yang memenuhi segenap ruang pusat beli-belah terkenal itu menambahkan lagi kemeriahan suasana.

Beberapa ketika, masing-masing duduk di kerusi yang disediakan pihak penganjur dan mendengar dengan penuh tekun setiap bait kata yang dilontarkan.

Pertandingan Seni Siswa Kebangsaan Vision Petron yang berlangsung hari itu menyaksikan 24 mahasiswa dinobatkan sebagai juara dalam beberapa kategori.

Pertandingan anjuran Petron kali keenam yang dibuka kepada semua mahasiswa tempatan dan antarabangsa itu mendapat penyertaan tertinggi iaitu sebanyak 1,676 peserta berbanding tahun lalu.

Dalam kategori baharu yang diperkenalkan iaitu Komposisi Muzik, gandingan padu Sim Er Wen, 22, Sim Li Wei, 24, dan Kelly Chow, 25, membawa pulang hadiah utama dengan mengalahkan 34 penyertaan lain.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 termasuk piala, sijil penyertaan dan barangan premium Petron eksklusif bernilai RM500 setiap satu.

Muzik tradisional

Wakil Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu menghasilkan lagu berjudul Melodi Malaysia dalam satu perspektif patriotik yang luar biasa.

Menurut Er Wen, pasukannya cuba menitikberatkan komposisi, kreativiti dan kemahiran teknikal dengan memasukkan instrumen muzik tradisional seperti sita, tabla, gambus, gamelan dan sebagainya.

“Dalam industri muzik, kebanyakan artis sering mengetengahkan instrumen moden seperti piano dan biola tetapi lupa dengan kekayaan alat-alat muzik tradisional yang kita miliki.

“Ia bukan tidak bagus tetapi lebih baik kita ketengahkan keunikan warisan untuk tatapan dunia,” katanya yang ditemui Kosmo! di Petron Malaysia Refining & Marketing Berhad, Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Er Wen memberitahu, kekuatan muzik yang dihasilkannya adalah dari segi lirik lagu dan komposisi yang berbeza dengan peserta lain.

Cerita anak kedua daripada tiga beradik itu, dia dan dua orang lagi rakan mengambil masa kira-kira empat minggu untuk menyiapkan Melodi Malaysia.

Anak jati Klang, Selangor, itu mengakui berdepan cabaran untuk mencari tenaga pakar dalam membantunya menyiapkan sebuah lagu termasuk menulis lirik dan membuat transkrip.

Penuntut jurusan Animasi di Aswara itu menganggap penglibatannya dalam bidang muzik disebabkan minat yang mendalam dan mahu meningkatkan kemahirannya dalam pelbagai bidang.

Hierarki sosial

Sementara itu, Muhammad Amin Kamarul Bahar, 23, dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor memenangi kategori videografi mengalahkan 98 penyertaan lain menerusi Rest at Trap (R.A.T).

Cerita anak kelahiran Ipoh, Perak itu, dia mengetengahkan jurang hierarki sosial dalam masyarakat yang semakin parah menggunakan watak haiwan untuk membentuk plot penceritaan.

“Setiap lapisan dalam hierarki sosial masyarakat menerima layanan yang berbeza bergantung kepada status seseorang.

“Individu yang kuat membuli yang lemah dan ia merupakan ketidakadilan yang perlu diatasi. Kita tidak boleh terus membiarkan jurang ini berlaku,” katanya.

Menurut Muhammad Amin, pengalaman dibuli sejak tadika membuatkannya begitu trauma sehingga melihat ia sebagai suatu masalah dalam hierarki sosial masyarakat.

Justeru, anak bongsu daripada lima beradik itu mahu membuka mata masyarakat menerusi penghasilan video berdurasi tiga minitnya.

Cerita Muhammad Amin, dia menggunakan perisian Stock Motion untuk menghasilkan bentuk dan ia agak mencabar.

“Pergerakan agak sukar untuk dihasilkan dan saya menggunakan anak patung untuk melancarkannya tetapi masih ada masalah.

“Untuk mengerakkannya agak sukar sebab sekali watak itu terjatuh, satu babak yang dihasilkan perlu dipotong dan dihasilkan semula,” katanya.

Selain itu, dia memberitahu walaupun video berkenaan berdurasi tiga minit tetapi terdapat lebih 1,000 gambar yang perlu diambil bagi membentuk sesuatu pergerakan.

Bagaimanapun, semua itu tidak menghalangnya untuk terus mencuba sehinggalah berjaya menghasilkan sebuah video animasi yang begitu memberi impak terhadap penontonnya.

Batik tradisional

Dalam pada itu, Muhammad Akif Muhammad Azmi, 22, dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor muncul pemenang utama dalam kategori lukisan mengalahkan 475 peserta lain melalui karyanya berjudul Batik Tradisional.

Menurut anak jati Lenggong, Perak itu, dia memilih batik untuk ditonjolkan memandangkan ia mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri.

“Jika dahulu batik sering dikaitkan dengan gadis Melayu yang menjunjung tinggi nilai-nilai murni namun kini ia tidak lagi.

“Karya ini adalah lambang manifestasi daripada rasa kekecewaan terhadap gadis Melayu yang meninggalkan ciri-ciri kemelayuan itu sendiri sebaliknya terpengaruh dengan kemodenan,” katanya lagi.

Jelas Muhammad Akif, dia mengambil masa selama tiga minggu untuk menghasilkan karyanya dengan menggabungkan beberapa teknik.

“Saya cuba menggunakan warna kontra untuk menfokuskan kepada beberapa bahagian di dalam karya tetapi masih dalam kategori warna harmoni,” ujarnya.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, cabaran utama yang dihadapinya adalah pengurusan masa kerana sibuk dengan pengajian.

“Saya perlu mencuri masa sebaik mungkin bagi memastikan karya ini dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dan akhirnya pengorbanan itu berbaloi,” katanya.