Selain memerlukan kemahiran khusus, pembabitan seseorang dalam seni kraf tangan turut membantu dalam menerapkan sifat-sifat positif seperti ketekunan dalam menuruti arahan dan ketelitian dalam menyiapkan sesuatu tugasan.

Maka tidak hairanlah pendedahan kepada kemahiran asas dalam seni kraf tangan dijadikan sebahagian daripada mata pelajaran kanak-kanak sekolah di serata dunia termasuk Asia.

Atas inisiatif itu, sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya (UM) dari Kolej Kediaman Kelima telah mengambil sisi positif kemahiran seni tersebut dengan menggabungkannya ke dalam program kemasyarakatan yang dilaksanakan bersama beberapa penghuni rumah jagaan sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Seni kraf tangan yang dipilih mahasiswa tersebut ialah membuat origami. Origami atau seni lipatan kertas berasal dari Jepun. Ia merupakan antara seni kraf tangan yang terkenal di seluruh dunia dan mudah dikuasai oleh pelbagai peringkat umur.

Menurut Khairunnisa’ Fakhrul Anwar, 20, program itu diadakan bagi membina semangat kekeluargaan di antara sukarelawan UM yang terlibat dan penghuni rumah jagaan yang terpilih.

“Kami memilih seni kraf tangan origami dan sulaman benang sebagai aktiviti utama dalam usaha kami mendekati kanak-kanak ini kerana keberkesanannya dalam menerapkan beberapa ciri positif.

“Antaranya nilai bekerjasama, kepimpinan, tanggungjawab dan kreativiti,” kata pelajar tahun kedua Akademi Pengajian Islam UM yang juga merupakan pengarah program berkenaan.

Sambutan

Di samping itu, para sukarelawan juga berpeluang menyuntik motivasi agar sentiasa berani menghadapi cabaran dalam mengejar kejayaan hidup.

Aktiviti seni kraf tangan itu merupakan sebahagian daripada rangka program kemasyarakatan tahunan yang lebih besar yang dinamai Projek Kebajikan Anak-Anak Yatim (Kebatim).

Pelaksanaan program pada tersebut melibatkan 90 orang penghuni dari tiga buah rumah jagaan iaitu Rumah Hope dan Pusat Jagaan Rumah Kesayangan (Rukesa) yang masing-masing terletak di Petaling Jaya, Selangor dan Kompleks Anak Yatim Darul elKifayah di Batu Caves, Kuala Lumpur.

Selain origami, aktiviti menghasilkan rantai kunci sulaman benang juga turut menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta kerana mereka berpeluang mereka bentuk rantai kunci dengan nama masing-masing.

Lebih menggembirakan, apabila mereka dibenarkan untuk membawa pulang rantai kunci hasil kreativiti masing-masing sebagai tanda kenangan.

“Melihat kepada sambutan para peserta dan respons pihak pengurusan rumah kebajikan yang mengambil bahagian, saya pasti program ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan demi menjadi sebuah platform bagi mahasiswa mendekati masyarakat yang memerlukan,” kata Khairunnisa’ lagi.

Sementara itu, pelajar tahun kedua Fakulti Sains UM yang menjadi sukarelawan program, Nur Syafinaz Abdul Rahman, 20, berkata, melalui aktiviti kraf tangan itu, mereka cuba berkongsi kesedaran mengenai kepentingan untuk sentiasa berusaha mempelajari perkara baharu dalam kehidupan.

Program mendekati penghuni rumah jagaan itu turut dilengkapi dengan beberapa aktiviti lain yang berobjektifkan motivasi pendidikan termasuklah aktiviti melukis dan mewarna, kuiz, eksperimen sains dan permainan teka-teki.

Beberapa aktiviti susulan telah pun dirancang oleh penganjur untuk dilaksanakan bersama kumpulan kanak-kanak yang sama dalam masa terdekat seperti kem motivasi dan lawatan ke tempat-tempat menarik.

“Saya bersyukur dengan kehadiran mahasiswa UM yang sudi menziarahi anak-anak di sini melakukan aktiviti yang sedikit berbeza dengan kumpulan mahasiswa yang lain.

“Saya mengharapkan hubungan yang terjalin akan berpanjangan demi kelangsungan motivasi kepada anak-anak di sini bagi mengecapi kejayaan dalam hidup pada masa hadapan,” ujar Raden Nurul Ayunni Shu Mardijaya, 32, yang merupakan Pengurus Rukesa.