Semakin langkah menghampiri tingkat bawah pusat beli-belah KL Gateway di Bangsar, Kuala Lumpur semakin kuat bau itu boleh dihidu.

Usai tiba di lantai bawah gedung itu, benarlah terdapat satu festival kopi yang dianjurkan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Puncak Alam, Selangor.

Festival yang dikenali Projek Ngopi itu adalah salah satu projek penilaian tahun akhir bagi 19 orang pelajar yang mengikuti program berkenaan.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Projek Ngopi, Nazirah Azhar, mereka memilih tema kopi dalam menjayakan festival berkenaan kerana ingin mengangkat pelbagai jenama kopi tempatan yang bermutu tinggi.

“Banyak syarikat kopi tempatan wujud sejak kebelakangan ini, kualiti yang dihasilkan sudah setanding antarabangsa. Rasanya yang enak juga membuatkan kopi-kopi ini mempunyai pengikut yang tersendiri.

“Namun, oleh kerana kopi-kopi tempatan perlu bersaing dengan jenama antarabangsa, agak sukar untuk meletakkan sesuatu jenama kopi itu kekal relevan sepanjang masa.

“Jadi dengan adanya festival seperti ini, diharapkan ia sedikit sebanyak dapat mempromosikan jenama kopi tempatan,” katanya ketika ditemui di festival Projek Ngopi baru-baru ini.

Antara jenama kopi tempatan yang mengambil bahagian dalam festival yang berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu ialah Kopi Hang Tuah dan Essenso.

Tambah Nazirah, festival itu juga dipilih kerana kopi kini menjadi trend bagi generasi muda untuk mengambil gambar dan memuat naik di laman sosial Instagram.

Lihat sahaja di kedai-kedai atau kiosk kopi, pasti mempunyai sudut mengambil gambar bagi menarik perhatian pengunjung untuk merasai kopi-kopi mereka.

Keadaan itu sekali gus dapat mempromosikan jenama kopi supaya lebih dikenali. Sebenarnya, kopi itu sendiri mempunyai signifikan dan kelebihan yang tersendiri.

Kajian oleh penyelidik dari RMIT Universiti, Melbourne, Australia mendapati, kopi berupaya bertindak sebagai perangsang otak apabila individu memberikan respon.

Satu kajian lain oleh seorang ahli psikofarmakologi dari Universiti of Groningen, Netherlands pula mendapati, seseorang menjadi lebih peka dan pantas menyelesaikan tugasan selepas minum kopi.

Dalam pada itu, pada sepanjang festival Projek Ngopi berlangsung, terdapat pelbagai aktiviti dan pertandingan diadakan seperti bazar kopi, Sembang Kopi, Kopi Jam Session dan Latte Art Throwdown.

Antara salah satu aktiviti yang menarik perhatian pengunjung adalah pertandingan seni kopi latte.

Salah seorang peserta, Mukafi Abdul Rahim, 23, menjelaskan, seni kopi latte adalah kemahiran menghasilkan corak-corak yang ada pada setiap hidangan kopi.

“Ia memerlukan teknik dan kepakaran yang betul untuk menghasilkan corak yang menarik.

“Corak yang dihasilkan bukan sahaja dapat menggembirakan si peminum, malah menjadi faktor pelaris apabila pelanggan memuat naik gambar seni kopi itu di laman sosial,” ujarnya yang bekerja sebagai barista di Common Man Coffee di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Faktor pelaris

Mukafi yang sudah empat tahun berkecimpung dalam dunia barista memberitahu, untuk bergelar barista bukanlah semudah yang dilihat kerana individu tersebut perlu mempunyai keghairahan dan kemahiran menghasilkan secawan kopi yang enak.

Secawan kopi yang dibuat pada suhu yang tepat dengan corak yang terhasil di permukaannya tanpa dikacau boleh kekal walaupun kopi dihirup.

Pada pertandingan itu, seramai 32 orang peserta telah mendaftarkan diri untuk mengambil bahagian untuk menunjukkan kebolehan masing-masing dalam menghasilkan seni kopi latte.

Peserta-peserta itu diberi sebiji dadu yang mempunyai enam corak berbeza iaitu stack tulip, rosetta, wing tulip, angsa, fine line heart dan in heart.

Mereka perlu menggolekkan dadu sebelum menghasilkan corak yang terpampang pada dadu berkenaan.

Shaezwan Effendy telah menjuarai pertandingan berkenaan dengan membawa pulang RM300 manakala Andrini Amirul sebagai Naib Juara dan Ching Ai Juin di tempat ketiga dengan masing-masing memperoleh RM200 dan RM100.

Projek Ngopi telah berjaya menghimpunkan lebih 850 orang pengunjung dan penyertaan 20 usahawan daripada pelbagai syarikat yang mengeluarkan produk kopi tempatan serta kopi era baharu seperti Gloria Jean’s, Vietnam Coffee, Farm Fresh, Collective, Scent & co dan lain-lain.

Promosi

Sementara salah seorang usahawan iaitu Pengurus Majlis Pablo Kitchen, Sharoul Fitri Shamsul, 23, menjelaskan, penganjuran festival Projek Ngopi yang dikelolakan pelajar UiTM memberi peluang untuk mempromosikan kopinya.

“Walaupun sudah setahun lebih mengusahakan perniagaan kopi tetapi saya masih belum yakin untuk membuka kios atau kedai Pablo Kitchen.

“Saya lebih banyak menyertai acara-acara seperti ini bagi memperkenalkan hidangan signatur kami iaitu kopi pisang. Saya mahu perniagaan ini dikenali secara berperingkat dan apabila sudah mencapai suatu tahap memuaskan baru saya ingin membuka kedai,” kata pelajar kulinari dari Universiti UCSI, Kuala Lumpur itu.

Festival Projek Ngopi telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Jaringan Industri, Komuniti, Alumi dan Keusahawanan, Prof. Norminsham Abdul Karin.

Selain itu, selebriti Wan Sharmila turut menyertai Projek Ngopi dalam pertandingan Food Bingo bersama peserta-peserta serta persembahan yang dikenali sebagai kumpulan The Kayoks bagi memeriahkan majlis.

Festival Projek Ngopi anjuran pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan UiTM kerana kopi kini menjadi trend dalam kalangan generasi muda yang gemar mengambil gambar dan memuat naik di laman sosial Instagram.