Bentuk sistem pendidikan mereka direka khusus bagi mempersiapkan murid-murid ini bukan dari aspek akademik tetapi lebih menjurus kepada aspek kemahiran dan penjagaan diri.

Sebagaimana teknik pendidikan yang lain, ruang sentiasa terbuka buat anggota masyarakat lain yang berada di luar sistem persekolahan untuk sama-sama mengambil bahagian dalam memberi sokongan kepada para pelajar bagi menimba ilmu pengetahuan.

Atas kesedaran itu, Institut Kepimpinan Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) menerusi pensyarahnya, Dr. Donnie Adams Paramasivam telah melaksanakan sebuah program bagi mendekati golongan murid yang sedang mengikuti sistem pendidikan khas tersebut baru-baru ini.

Keupayaan

Program yang dikenali sebagai seminar dan bengkel senaman terapeutik untuk meningkatkan kemahiran sensori anak istimewa itu telah dijayakan dengan bantuan geran penyelidikan daripada Pusat Komuniti dan Kelestarian (UMCares), UM.

Menurut Donnie, tujuan program berkenaan dilaksanakan adalah bagi memberi pendedahan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas mengenai pelbagai kategori kanak-kanak di dalam golongan tersebut.

“Ia juga meningkatkan keupayaan mereka untuk memainkan peranan membantu perkembangan anak-anak mereka dalam aspek emosi, tingkah laku, kemahiran psikomotor dan mengurangkan penampilan kecacatan.

“Anak-anak berkeperluan khas lazimnya kurang melakukan senaman terapeutik sensori di rumah disebabkan kekurangan kemahiran ibu bapa.

“Melalui program ini, para ibu bapa telah didedahkan mengenai teknik-eteknik senaman terapeutik motor kasar dan halus yang berkesan melalui kuliah dan juga tutorial dengan dipantau oleh pelatih,” katanya.

Pemindahan ilmu dan hasil pendedahan yang diterima dalam program itu diharap memberi impak yang berpanjangan kepada keluarga kanak-kanak berkenaan apabila senaman tersebut terus dipraktikkan di rumah masing-masing.

Buku

Program tersebut telah disertai lebih 80 kanak-kanak berkeperluan khas dari beberapa buah sekolah di Lembah Klang termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Damai, SK Satu Sultan Alam Shah, SK Seksyen 11 Kota Damansara, SK Sri Kelana dan SK Damansara Jaya 1.

Dalam pada itu, Pengarah UMCares, Prof. Dr. Norzulaani Khalid berkata, universiti tersebut sentiasa komited untuk menempatkan warganya di segenap aspek usaha pembangunan masyarakat, termasuklah menyokong usaha berkaitan pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas.

“Usaha sebegini diharap memberi impak secara langsung dan tidak langsung dalam usaha negara menangani isu pendidikan yang pelbagai secara konsisten dan berjangka panjang.

“Diharapkan hasil pendedahan yang diterima dalam program ini akan memberi kesan jangka panjang kepada ibu bapa anak-anak berkeperluan khas. Segala ilmu dan kemahiran yang didedahkan kepada mereka semasa program boleh dipraktikkan di rumah,” katanya.

Pada program tersebut, pihak UMCares turut membekalkan buku bertajuk Special Education Handbook of Therapeutic Exercises for Sensory Integration secara percuma kepada semua ibu bapa yang terlibat sebagai bahan rujukan.