Seni persembahan caklempong pula dikatakan berasal dari Sumatera Barat, Indonesia sebelum dibawa ke Malaysia pada kurun ke-14 oleh pedagang berketurunan Minangkabau yang kemudiannya menetap di Negeri Sembilan.

Sesebuah persembahan caklempong memerlukan iringan beberapa alat muzik lain seperti gendang dan serunai. Ia boleh dipersembahkan secara berdiri, duduk bersila atau dalam pergerakan khas (pacik) seperti berjalan dan berarak.

Caklempong kini biasanya dipersembahkan pada majlis-majlis rasmi atau digunakan sebagai muzik iringan bagi persembahan seni tradisional seperti pencak silat, tarian randai, tarian inai dan tarian lilin.

Bagi memartabat seni persembahan caklempong ini, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang, Negeri Sembilan telah menubuhkan sebuah kumpulan caklempong yang dinamakan Lentera Kesuma.

Kumpulan yang telah ditubuhkan sejak tahun 2017 itu dianggotai oleh 15 orang murid tingkatan dua hingga empat dan sering menyertai pertandingan muzik dan seni persembahan tradisional di seluruh negara.

Bakat dan kreativiti ahli kumpulan Lentera Kesuma telah terbukti apabila dinobatkan sebagai juara kategori caklempong pada beberapa pertandingan muzik peringkat kebangsaan.

Antaranya Festival Seni Muzik Tradisional dan Seni Tari MRSM Se-Malaysia (Fesma) serta Festival Kesenian Muzik Sekolah-Sekolah Menengah Malaysia Peringkat Kebangsaan.

Ketua kumpulan Lentera Kesuma, Anas Azul Sidek, 16, berkata, persembahan Lentera Kesuma boleh dikatakan unik berbanding kumpulan caklempong lain kerana menyelitkan elemen tarian, nyanyian dan sorakan.

“Selain mahir bermain setiap alat muzik caklempong, ahli kumpulan ini juga mampu menyusun sendiri lagu yang ingin dipersembahkan sama ada lagu tradisional atau moden,” katanya.

Tambah Anas, selain mengembangkan bakat seni masing-masing, penyertaannya dan rakan-rakan dalam seni persembahan caklempong sebenarnya adalah sebagai salah sebuah bentuk rekreasi untuk mengisi waktu senggang.

“Secara tidak langsung, ia mampu membantu menangani masalah gejala sosial dalam kalangan remaja.

“Muzik juga dapat memberi penekanan ke arah pembentukan kualiti diri dan sahsiah yang merangkumi aspek emosi, kreativiti, nilai sosial dan etika,” ujarnya.

Berkat usaha gigih semua ahli pasukan, Lentera Kesuma berjaya menjadi johan pada Fesma keenam yang diadakan di MRSM Transkrian, Pulau Pinang.

Kumpulan itu juga memenangi Anugerah Emas sempena Festival Kesenian Muzik Sekolah-Sekolah Menengah Malaysia Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang, Disember 2018.

Guru penasihat Lentera Kesuma, Nurin Alyani Bizaini, 27, pula memberitahu, selain meluaskan pengalaman muzikal dan kesedaran estetik kepada murid, peluang menyertai sesebuah seni persembahan mampu meningkatkan daya komunikasi dan interaksi mereka.

“Seni persembahan caklempong juga melatih mereka untuk lebih berdisiplin dan membantu dalam pembinaan semangat kerjasama berpasukan,” tuturnya.

Lentera Kesuma turut dijemput membuat persembahan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena Konsert Inspirasi Muzikal, mewakili genre muzik caklempong.

Konsert berkenaan turut memuatkan persembahan daripada kumpulan seni tradisional lain seperti tarian tradisional, ghazal, gamelan dan nyanyian.

“Hasrat kami adalah untuk memartabat dan melestari seni muzik tradisional Nusantara ini, bukan sahaja kepada golongan muda di negara ini tetapi ke seluruh dunia.

“Saya percaya dengan sikap saling bekerjasama dan semangat berpasukan yang tinggi, kami mampu meningkatkan mutu seni persembahan caklempong agar setanding dengan seni muzik tradisional sedunia yang lain,” katanya mengakhiri temu bual.