Daripada rekaan hingga pilihan fabrik, kimono menggunakan kain sutera terpilih dengan teknik jahitan halus, menjadikannya antara busana yang eksklusif untuk dimiliki.

Walaupun kimono kini sering digayakan oleh golongan wanita, namun pakaian tradisi tersebut sebenarnya turut dipakai oleh kaum lelaki.

Itu adalah salah satu perkara dipelajari oleh sekumpulan 31 orang mahasiswa Universiti Malaya (UM) daripada Kolej Kediaman Pertama yang menyertai program pertukaran budaya dan pendidikan ke Tokyo, Jepun baru-baru ini.

Program International Culture and Education Exchange (ICE) itu bertujuan mendedahkan mahasiswa kepada budaya dan cara hidup rakyat Jepun.

Ketua delegasi, Adibah Farliyana Aminordin berkata, bagi mendalami budaya pemakaian dan pembuatan kimono, para peserta program telah dibawa melawat Muzium Seni Itchiku Kubota.

“Muzium yang terletak berhampiran dengan Gunung Fuji itu menempatkan koleksi kimono tradisional yang dihasilkan menggunakan tangan.

“Berbeza dengan corak pada kimono konvensional yang dicetak dengan mesin, kimono tradisional Itchiku dihasilkan menggunakan tangan sepenuhnya. Dikatakan setiap set kimono itu mengambil masa antara satu setengah sehingga dua tahun untuk dihasilkan,” ujarnya.

Fabrik

Menurut Adibah Farliyana, cara pemakaian kimono memerlukan tahap penelitian yang tinggi sebelum boleh disarungkan oleh si pemakai.

“Bukan sahaja proses penghasilannya mengambil masa yang lama bagi memastikan kualiti fabrik yang bermutu tinggi, namun cara pemakaiannya juga memerlukan tahap ketelitian yang tinggi juga.

“Dikatakan setiap kimono yang ingin dikenakan, memerlukan 10 orang pembantu untuk disarungkan kepada si pemakai.

“Para peserta wanita telah dibantu oleh petugas untuk mengenakan kimono dengan cara yang betul, manakala peserta lelaki pula berpeluang untuk mengenakan pakaian ala samurai dan bergambar kenangan berlatarbelakangkan Gunung Fuji,” kata pelajar tahun akhir jurusan Sains Bioperubatan itu.

Malah, menurut Adibah Farliyana, para peserta turut didedahkan dengan teknik penghasilan kimono, termasuklah penghasilan corak dan sulaman pada fabrik yang kesemuanya dihasilkan menggunakan tangan.

“Motif corak yang dihasilkan melalui tenunan tangan ini selalunya diambil daripada keindahan flora dan fauna Jepun. Tenunan dan sulaman di atas kain sutera halus ini memerlukan kemahiran yang amat tinggi dan ilmu tersebut hanya diperturunkan kepada mereka yang tertentu,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang peserta yang merupakan pelajar jurusan Sains Seni Bina, Nazirul Mubin Azizan berkata, dia begitu teruja kerana berpeluang mengenakan pakaian tradisional negara Jepun tersebut.

“Pengalaman ini amat bermakna yang akan dikenang sampai bila-bila. Perasaan itu sukar digambarkan dan indah sekali,” jelasnya lagi.

Warisan

Tambah Nazirul Mubin, perkara baharu yang dipelajari sepanjang program tersebut ialah rakyat Jepun begitu menghargai warisan budaya mereka.

“Mereka amat menghargai budaya warisan peninggalan nenek moyang dan berusaha untuk mengekalkannya supaya tidak ditelan arus zaman.

“Oleh itu, kita wajar mencontohi mereka dan sentiasa menjulang tinggi budaya warisan agar dapat menjadi tatapan anak cucu suatu hari nanti,” jelasnya lagi.

Pengetua Kolej Kediaman Pertama UM, Prof. Madya Firdaus Hariri berkata, menerusi program tersebut para peserta dilatih untuk berfikir secara matang.

“Para peserta didedahkan dengan budaya masyarakat Jepun selain melatih mereka untuk berfikir secara matang dan pantas dalam membuat keputusan bagi menjayakan segala aktiviti yang dirancang.

“Kimono bukan sekadar kostum masyarakat Jepun semata-mata, namun merupakan salah satu simbol budaya Jepun yang paling penting.

“Pakaian ini mencerminkan minda kelas pertama masyarakat Jepun dan ia pastinya akan terus dimartabatkan oleh generasi akan datang,” katanya lagi.

Menurut Firdaus, program tersebut dirangka untuk kelestarian pada masa akan datang.

“Kita akan meneruskan program ini pada masa akan datang dengan menjadikan Seoul, Korea Selatan sebagai destinasi pilihan.

“Pilihan ini dilakukan berdasarkan faktor kekuatan budaya tradisi Korea yang mampu bertahan hingga kini dan keupayaan negara itu menempa kemajuan dalam tempoh yang singkat,” katanya.