Ia terbukti apabila ramai antara mereka yang memberi sokongan terhadap pelbagai program dan aktiviti yang dijalankan oleh pelbagai pihak berkaitan untuk menangani isu kemusnahan alam sekitar.

Malah, ada juga yang terlibat sebagai sukarelawan dan sanggup masuk ke kawasan pedalaman untuk melaksanakan program amal bagi membantu golongan yang terjejas akibat kemusnahan alam.

Kepada Sara Dalina Khairil Anuar, 34, dia mempunyai cara tersendiri untuk menzahirkan kecintaannya terhadap alam sekitar.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Sara Dalina.

Boleh ceritakan sedikit tentang latar belakang anda?

Saya dilahirkan di Kuala Terengganu, Terengganu. Saya membesar di sana serta di Shah Alam, Selangor.

Bapa saya merupakan seorang anggota polis hutan (kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am) dan pernah bertugas di sebuah kem di Kuala Terengganu sewaktu saya kecil.

Saya bersekolah di Sekolah Menengah Subang Jaya, Shah Alam sehingga tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sebelum melanjutkan pengajian di peringkat diploma dalam bidang pengurusan multimedia di Akademi Multimedia MTDC.

Apakah yang anda lakukan selepas tamat pengajian peringkat diploma?

Saya memulakan kerjaya pertama di sebuah syarikat swasta sebagai pereka grafik sebelum menjadi eksekutif akaun di syarikat lain.

Pada tahun 2007, saya menjalankan perniagaan sendiri dengan membuka sebuah syarikat pengurusan acara.

Dua tahun kemudian, saya menubuhkan sebuah syarikat yang menyalurkan perkhidmatan memasang perisian teknologi maklumat untuk operasi kilang kelapa sawit menerusi kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar.

Bagaimanakah anda boleh terlibat dengan aktiviti berkaitan alam sekitar?

Ketika bertugas di sebuah resort di Raub, Pahang tiga tahun lalu, saya dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan isu-isu berkaitan alam sekitar.

Bermula dari situlah saya banyak melibatkan diri dengan program-program Peka selain menjadi sukarelawan dalam pelbagai aktiviti melibatkan alam sekitar.

Antaranya ialah penganjuran aktiviti Save Our Rainforest Race atau SORR yang merupakan program tahunan anjuran Peka sejak tahun 2013.

Sepanjang terlibat sebagai sukarelawan dan pencinta alam sekitar, apakah perkara yang telah memberi kesan kepada diri anda?

Pada tahun 2014, saya berpeluang masuk ke kawasan Hutan Simpan Endau Rompin di Johor.

Apa yang memeranjatkan saya ialah terdapat sebuah plot di hutan tersebut yang telah digondolkan akibat pembalakan.

Longgokan najis gajah yang ditemui di situ seolah-olah memberi gambaran bahawa haiwan tersebut hilang arah tuju kerana habitatnya telah musnah.

Satu lagi kejadian ialah ketika saya ke sebuah perkampungan Orang Asli di sebuah hutan di Pahang.

Akibat aktiviti pembalakan haram, kawasan sungai yang dahulunya menjadi sumber air dan makanan kepada mereka telah tercemar.

Apakah nasihat anda kepada masyarakat di luar sana?

Jangan pandang remeh tentang alam sekitar kerana ia menentukan kehidupan kita pada masa akan datang.

Kepada golongan remaja dan belia, ambil peluang untuk terlibat dalam aktiviti berkaitan alam sekitar khususnya sebagai sukarelawan.

Dengan cara itu, mereka akan mendapat lebih banyak pendedahan tentang isu-isu alam sekitar.