Pondok-pondok kecil usang beratapkan zink lama dan beralas kain di kem tersebut membuatkan hati terasa hiba.

Dari jauh kelihatan sekumpulan kanak-kanak Rohingya berlari dan mengerumuni delegasi kami yang baru tiba bagi menyempurnakan misi amal gotong-royong membersihkan kawasan selain menghulurkan sumbangan peralatan sekolah, pakaian serta makanan kepada mangsa pelarian.

Kemanusiaan

Itulah sebahagian momen yang dialami mahasiswa Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Jumardi Ladun, 25, ketika melaksanakan misi kemanusiaan di India sempena Persidangan Belia Antarabangsa Komanwel baru-baru ini.

Persidangan yang berlangsung selama 18 jam itu adalah anjuran Universiti Delhi dengan kerjasama Pertubuhan Belia Komanwel, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Jaringan Belia Kedutaan Komanwel (CYPAN).

Bagi Jumardi, perasaannya bercampur baur setelah melihat sendiri keadaan pelarian Rohingya di India.

“Kanak-kanak yang datang kebanyakannya berpakaian compang-camping. Sungguh kasihan melihat fizikal mereka yang kurus kering membuatkan kami terbayang betapa bertuahnya anak-anak Malaysia.

“Kehidupan mereka sangat susah dan melarat, hanya bergantung pada sumber pendapatan mengutip barangan terpakai untuk dijual, malah anak-anak kecil terpaksa berjalan kaki sejauh lima kilometer setiap hari ke sekolah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun menurut Jumardi, persidangan yang dihadirinya menjadi platform kepada pemimpin belia dari 52 negara Komanwel seperti Britain, Kanada, Indonesia, Afghanistan, Malawi, Uganda dan Afrika Selatan membincangkan resolusi isu antarabangsa termasuk krisis yang menghantui pelarian Rohingya.

Jumardi berkata, dia begitu teruja kerana diberikan peluang bertemu dengan pemimpin-pemimpin belia dari negara-negara Komanwel.

“Mereka begitu komited dalam menyuarakan pandangan masing-masing. Pelbagai idea yang bernas dilontarkan berhubung krisis yang melanda etnik Rohingya.

“Ia menjadi platform untuk kami menyuarakan pandangan dan mewakili belia di seluruh negara terhadap isu yang sekian lama membelenggu etnik Rohingya,” jelasnya lagi.

Realiti

Dalam pada itu, Jumardi diberikan peluang melihat sendiri realiti kehidupan di kota India dengan menaiki kereta api.

Menurut Jumardi, kehidupan masyarakat India agak sukar apabila urus niaga dilakukan di premis, manakala buah-buahan dan bahan mentah dijual di kawasan yang telah dikhaskan seperti pasar malam.

“Perkhidmatan gunting rambut, menjahit pakaian, memasak mahupun bahan mentah dijual di tepi jalan raya tanpa premis.

“Saya kagum melihat kesungguhan mereka menggunakan setiap ruang untuk mencari rezeki, apatah lagi dengan suasana hiruk-pikuk dan sesak tidak ubah seperti yang dipaparkan dalam filem Bollywood,” katanya lagi.

Jumardi berkata, keadaan jalan raya di India pula tidak terkawal dan membahayakan pengguna yang lalu-lalang.

“Mereka melanggar lampu isyarat dan bunyi hon pula silih berganti. Ternyata pemandu di sini memang kurang sifat sabar.

“Meskipun lampu merah, kenderaan hanya akan berhenti jika ada kenderaan lain membunyikan hon yang panjang. Lebih mengejutkan, kenderaan terus bergerak walaupun pejalan kaki melintasi jalan raya,” ujarnya.