Malah, seseorang individu itu juga perlu mempunyai tahap motivasi yang tinggi kerana perjalanan untuk mencapai kejayaan penuh dengan ranjau dan liku.

Dalam konteks kejayaan akademik, antara pendekatan yang sering diguna pakai ialah aktiviti dan perkongsian bersama golongan remaja serta belia yang lebih dewasa kerana mereka telah melalui zaman persekolahan sebelum itu.

Perbezaan umur yang tidak ketara ini membolehkan proses pemupukan motivasi dapat dijalankan dengan lebih baik.

Konsep itulah yang cuba diterapkan oleh sekumpulan 30 mahasiswa dari Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, Universiti Malaya (UM) untuk membantu pelajar sekolah membina jati diri agar mampu menjadi pelajar yang cemerlang.

Baru-baru ini, kumpulan mahasiswa terbabit telah berkunjung ke dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2, Shah Alam dan Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (SMSKS), Selangor bagi melaksanakan program bertajuk Remaja Masa Depan (Remade) bersama 500 orang pelajar.

Kejayaan

Ketua program, Muhammad Al Azim Haqimi Yaakop, 20, berkata, acara tahunan yang telah dilaksanakan sejak tahun 2015 itu merupakan sebuah program untuk menggilap bakat dan membentuk sifat kepimpinan pelajar.

Pada masa sama, ia juga mendedahkan pelajar tentang pentingnya pengurusan masa dan penjagaan kesihatan.

“Kami berharap program Remade ini bakal menjadi pencetus kepada kisah kejayaan para peserta pada masa depan,” tambahnya.

Seorang mahasiswa yang bertindak sebagai fasilitator, Wan Ahmad Irfan Ahmad Nazri, 20, berkata, dia begitu teruja selepas terpilih untuk melibatkan diri dalam program tersebut.

Katanya, ia memberi peluang kepadanya berkongsi dengan para peserta yang meminati bidang kejuruteraan.

“Sebagai warga negara pelapis yang bakal menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang, para pelajar seharusnya didedahkan dengan bidang pengkhususan yang bersesuaian sejak awal.

“Ia bagi membuka peluang kepada pelajar untuk terus fokus terhadap minat mereka dengan memberi tumpuan kepada mata pelajaran yang berkaitan selain membina keyakinan diri pada usia muda,” kata pelajar tahun dua Fakulti Kejuruteraan UM itu.

Dalam pada itu, penasihat program, Dr. Saripah Osman berkata, pihaknya mendapat kerjasama yang baik daripada pihak sekolah dan guru-guru yang terlibat.

Guru daripada kedua-dua sekolah berkenaan sangat menggalakkan penglibatan pelajar mereka dalam program sebegitu sebagai usaha tambahan dalam proses pengajaran, pembelajaran dan pemudahcaraan.

Respons

“Walaupun berlangsung dalam masa yang singkat, perkongsian ilmu ini telah memberi impak dan respons yang positif daripada para peserta.

“Saya berharap hubungan yang telah terjalin ini dapat diteruskan oleh para fasilitator untuk jangka masa panjang dalam mendekatkan UM kepada komuniti,” kata pensyarah di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM.

Pengetua Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri pula memberitahu, UM sentiasa menggalakkan para pelajarnya melaksanakan program berteraskan komuniti termasuk menyantuni masyarakat dalam usaha melaksanakan nilai-nilai teras universiti bagi membina modal insan yang holistik.

Secara peribadi, beliau sangat mengkagumi usaha kumpulan mahasiswa terbabit yang sanggup turun padang.

“Pada masa sama, berusaha melaksanakan program bagi berkongsi kejayaan mereka untuk dijadikan motivasi kepada para pelajar sekolah,” katanya.