Seharusnya anak-anak muda mengejar peluang dan memenuhi masa dengan melakukan kebaikan dan ibadat. Pasti ramai di antara kita berebut-rebut untuk bersolat sunat, bersedekah, berzikir dan berdakwah di bulan mulia ini.

Di antara kebesaran dan keistimewaan Ramadan adalah dengan hadirnya malam yang teramat mulia iaitu lailatulqadar.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda,

“Sesiapa melaksanakan solat pada malam lailatulqadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan,” (Hadis Riwayat Bukhari).

Dikatakan juga ibadah yang dilakukan pada malam tersebut adalah yang lebih baik daripada ibadah dalam 1,000 bulan.

Daripada hadis ini, dapatlah kita simpulkan bahawa keistimewaan malam lailatulqadar tiada bandingannya.

Namun begitu, janganlah anak-anak muda asyik menilik jika malam ini atau malam itu adalah malam lailatulqadar.

Lebih eloklah jika kita beristiqamah dalam melakukan amal dan terus-menerus beribadat sepanjang Ramadan yang tinggal.

Penulis sedar, ramai di antara anak muda yang liat untuk melakukan ibadat kerana dirasakan terbeban. Jadi, apa salahnya jika yang terbeban itu diringankan?

Amalan utama

Suka penulis kongsikan kaedah mudah yang boleh diikuti anak-anak muda untuk meraih kemenangan pada hujung Ramadan.

Antara amalan utama bulan Ramadan ialah bersolat sunat. Jika dirasakan sukar untuk berterawih 20 rakaat di masjid, ringankan dengan melakukan lapan rakaat sahaja. Jika masih terasa susah, lakukan sahaja solat terawih di rumah.

Paling tidak, lakukan dua rakaat solat sunat. Jangan disebabkan terasa berat, langsung apa pun tidak dibuat. Ada juga yang hanya semangat pada awal Ramadan. Yang penting, istiqamah dengan amalan!

Bukankah Rasulullah SAW sendiri berasa amat senang dengan amalan yang dilakukan terus-menerus, sekalipun ia adalah amalan sederhana yang kecil?

Sama juga konsepnya dengan amalan-amalan yang lain; berterusanlah bersedekah setiap hari, walaupun dalam jumlah yang sedikit.

Jangan tunggu saat punya wang yang banyak baru hendak bersedekah. RM5 pun tinggi nilainya bagi tangan yang menerima.

Gunakanlah teknologi untuk membantu usaha melakukan amalan. Terdapat begitu banyak aplikasi telefon pintar yang dapat anda gunakan. Contohnya Quran Majeed dan Muslim Pro akan membolehkan anak-anak muda mengakses kepada ayat suci al-Quran serta tafsirnya sekali di mana-mana sahaja.

Ada juga aplikasi Mengaji yang diasaskan selebriti tempatan Caprice yang menyertakan sekali doa-doa amalan seharian yang sungguh berguna. Sungguh mudah, bukan?

Dalam asyik mengejar amalan, jangan pula kita lupa untuk menyantuni hubungan kemanusiaan. Ramadan adalah masa untuk kita memperbaiki segala aspek kehidupan.

Hilang sabar

Jangan sampai beralasankan puasa, ada antara anak muda yang hilang sabar menaikkan suara apabila ada yang tidak kena. Bukankah sabar itu separuh daripada iman?

Penulis kerap kali mendengar cerita masyarakat bukan Islam diherdik dan dimarahi kerana menjamah makanan di hadapan orang yang puasa.

Pelik juga, bukankah yang puasa itu kita, kenapa pula mereka yang ditidakkan haknya? Yang penting adalah saling menghormati di antara satu sama lain.

Letakkan perasaan empati melebihi yang lain, insya-Allah tidak sukar untuk bertolak-ansur sesama kita.

Semoga dengan saranan yang diberi, anak-anak muda akan terus bersemangat dan beristiqamah dalam mengutip keberkatan Ramadan.

Hanya tinggal beberapa hari lagi untuk kita bersama-sama berusaha mendapatkan keberkatan bulan ini.

Namun jangan pula dibiar segala macam perkara baik ini terhenti sekadar pada bulan mulia ini sahaja. Penulis mengharapkan anak-anak muda akan menjadikan Ramadan kali ini sebagai titik tolak untuk perubahan yang positif dalam segenap aspek kehidupan.